terima kasih buat kalian semua..

Saturday, July 24, 2010

Dilema isteri mualaf


SAYA wanita mualaf berumur awal 30-an dan sudah berkahwin. Saya mendirikan rumah tangga dengan suami selepas berkenalan hampir 15 tahun.

Perkahwinan kami kini masuk tahun kelima dan dikurniakan dua cahaya mata. Pertengahan tahun lalu saya mendapat tahu suami menjalin hubungan dengan wanita lain yang dikenalinya sebelum kami berkahwin.

Suami mengakui keterlanjuran hubungan mereka dan mengatakan keinginannya untuk berkahwin dengan wanita itu.

Sebagai isteri yang masih menyayangi suami, susah untuk saya menerima keputusan itu selain sedih dengan perbuatannya yang berterusan menjalin hubungan dengan wanita itu.

Keadaan ini memberi tekanan kepada saya dan kami juga kerap bergaduh disebabkan perbuatan mereka yang menyakitkan hati seorang isteri.

Saya cuba untuk terus bersabar, kuatkan hati untuk menghadapi dugaan ini demi anak dan berdoa pada Allah supaya suami berubah. Saya akui suami masih menyayangi saya dan anak dan masih sama-sama menguruskan keperluan kami.

Namun, suami juga abaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam, suami dan ayah apabila bersama wanita berkenaan.

Baru-baru ini saya mendapat tahu keluarga wanita itu mengetahui status suami saya dan mereka mengatakan akan menerima suami saya jika suami menceraikan saya.

Wanita terbabit juga kini kerap memaksa suami menceraikan saya. Pada pendapat Dang Setia, apakah hak dan tindakan yang patut saya ambil sebagai isteri dalam situasi ini?

Dalam keadaan saya masih mencintai suami dan mengharapkan dia berubah, apa perlu saya lakukan untuk menyelesaikan masalah ini?

Seandainya suami menuruti kehendak keluarga dan wanita itu, apakah juga persediaan dan langkah yang perlu saya lakukan?

MUALAF KELIRU


Alhamdulillah kerana saudari tabah menempuh segala dugaan sebagai saudara baru dan masih utuh iman untuk kekal dalam Islam, satu-satunya agama yang diredai Allah untuk kebaikan penganutnya di dunia dan akhirat.

Satu perkara penting yang perlu saudari ketahui sebagai saudara baru - untuk mengenal, mengetahui dan menilai agama Islam, lihatlah pada Islam itu sendiri dan bukan kepada penganutnya.

Ada garis pemisah yang nyata di antara Islam dan penganutnya. Islam itu baik dan sempurna, namun belum tentu semua umat Islam juga begitu.

Jika saudari curiga atau melihat wujud kelemahan pada individu Islam, itu kelemahan individu berkenaan dan bukan kelemahan Islam.

Bak kata seorang penceramah agama dalam satu kuliahnya yang Dang Setia ikuti, jika kita selalu ke disko atau pusat hiburan, besar kemungkinan lelaki yang kita temui untuk menjadi teman hidup adalah kaki disko.

Jika kita gemar turun ke padang untuk bersukan, ahli sukan mungkin menjadi pasangan hidup kita. Begitu juga jika kita selalu ke masjid atau surau, insya-Allah kaki masjid yang boleh kita temui untuk menjadi pasangan hidup.

Saudari antara golongan terpilih yang diberi hidayah Allah apabila dibuka pintu hati untuk memeluk Islam. Manfaatkan hidayah Allah sepenuhnya dan jangan ia terhenti setakat itu.

Sebaliknya, saudari perlu terus berusaha mendekatkan diri dengan Allah supaya lebih banyak hidayah Allah dilimpahkan kepada saudari.

Saudari juga tidak perlu berasa rendah diri kerana saudari mualaf. Di sisi Allah, mualaf atau Islam sejak dilahirkan tidak langsung diambil kira, sebaliknya yang penting ialah setinggi mana keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya.

Malah, sudah banyak berlaku mualaf atau saudara baru mampu menjadi lebih hebat tahap keimanannya terhadap Allah berbanding orang yang Islam sejak dilahirkan.

Dalam negara kita, Ridhuan Tee dan Farid Ravi antara mualaf yang kini menjadi pendakwah Islam, manakala di Barat pasti saudari kenal penyanyi Cat Stevens yang kini lebih popular sebagai Yusuf Islam.

Terus terang, sebagai orang Islam sejak dilahirkan, Dang Setia sangat malu dan berasa diri ini begitu ‘lekeh’ setiap kali melihat Farid Ravi berdakwah dan mengajar ilmu taj- wid al-Quran di kaca televisyen.

Betapa hebatnya dia kerana daripada seorang bukan Islam, kini mampu menjadi guru kepada orang yang beragama Islam sejak dilahirkan. Bukan mustahil saudari mampu menjadi sepertinya, malah Dang Setia berdoa mudah-mudahan itu menjadi kenyataan.

Dalam konteks masalah saudari, Dang Setia berpendapat kemelut itu berpunca daripada sikap suami yang tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Jika dia mengamalkan cara hidup Islam, masalah seumpama ini tidak akan berlaku dalam rumah tangga saudari.

Sebagai isteri, saudari berhak mempertahankan rumah tangga demi kebahagiaan anak, apatah lagi saudari menyatakan masih menyintai suami dan begitu juga sebaliknya.

Bagaimanapun, cara saudari mempertahankan rumah tangga perlu mengikut pendekatan Islam dan jangan sesekali menggunakan kaedah kotor dan syirik seperti sihir.

Banyakkan berdoa kepada Tuhan, solat hajat dan sebelum lakukan solat itu, saudari dinasihat mendirikan solat taubat terlebih dulu bagi menyucikan diri sebelum meminta pertolongan dari-Nya.

Selain itu, saudari harus berusaha menjadi isteri sempurna buat suami. Jaga makan minum, anak, kelakuan, nafkah batin dan sebagainya. Mungkin itu mampu menyedarkan suami saudari satu hati nanti, dia sebenarnya memiliki isteri yang sempurna.

Dang Setia teringat sebuah filem terkenal Hollywood pada 1996 iaitu Jerry Maguire lakonan Tom Cruise. Dalam satu dialog menggambarkan cinta kepada buah hatinya, dia berkata: “You complete me (kamu sempurnakan saya).”

Moral daripada dialog itu adalah, seseorang lelaki sukar berpisah dengan kekasih, apatah lagi isterinya, jika dia berasakan wanita itu adalah pelengkap hidupnya.

Kadangkala sebagai isteri, saudari mungkin berpendapat sudah memberi yang terbaik kepada suami, tapi sebenarnya mungkin masih ada kekurangan di mata suami.
Justeru, banyakkan perbincangan di antara suami isteri supaya masing-masing dapat mengatasi kelemahan, sekali gus menjadikan rumah tangga lebih bahagia.

Bagaimanapun, jika suami enggan berubah dan masih bertegas mengahwini wanita itu, saudari juga perlu melakukan persediaan awal untuk menghadapi keadaan itu, antaranya merujuk kepada pejabat agama berdekatan selain Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), insya-Allah agensi itu boleh membantu dan membimbing saudari.

1 comment:

  1. Ramai yg thu Islam mbenarkn lelaki bkahwin lbih dari 1 tp tahukah mereka lelaki yg bagaimana ya layak dan dbenarkan berpoligami dalam islam?dan tahukah mereka perempuan2 yg bagaimana yg layak untuk bermadu dan dimadu?.Tahukah mereka apa yg sbenar-banarnya dikatakan mampu blaku adil dan mampu dari segi zahir dan batin?..tidak ramai yg mahu mengupas fakta ini dan lebih senang mendabik dada menyatakan diri mampu melakukannya sebab itu dimasa kini pasangan yg berpoligami yg menemui kehancuran dan kegagalan sehingga timbul isu isteri dianiaya suami menderita.Islam itu adil dan sempurna Allah tidak akn menghalalkannya jika ia mendatangkan kemudaratan dan kerosakan.Bukankah Allah maha mengatahui.Dan lelaki itu pemimpin dan nakhoda kepada perempuan dan rumahtangganya.contohnya jika kita ingin menjadi seorang doktor sudah tentu kita memerlukan segulung ijazah kedoktoran utk melayakkan kita menjadi doktor.bertungkus lumus untuk menduduki ujian dan temuduga untuk menjadi doktor,doktor pakar dan sebagainya.sehinggalah kita layak menjawat jawatan doktor itu.Begitulah juga dengan kehidupan berpoligami ini.ramai yg mengambil jln mudah dgn perkara ini kerana dimasa kini segala kelayakan mudah ddapati seperti membeli lesen terbang..tetapi apakah kesudahannya..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...