terima kasih buat kalian semua..

Saturday, July 10, 2010

Duit sumber haram tersimpan dalam ASB, macamana???


DAHULU, ayah saya bekerja sebagai pemandu pelancong di mana dia membawa pelancong untuk ke kedai yang menjual arak. Daripada situ, dia diberi komisen RM20 oleh tuan kedai.

Duit yang dibawa balik pada asalnya disimpan, tetapi kesilapan berlaku apabila ibu saya terambil duit tersebut dan membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bolehkah saya hanya berniat dan menggantikan duit komisen tadi dengan menderma sejumlah wang yang sama atau lebih dan mengekalkan akaun ASB sedia ada hasil pembukaan akaun daripada duit komisen tadi.

Jawapan:

Persoalan yang berkaitan dengan pelaburan bersumberkan pendapatan yang haram perlu kepada penjelasan yang lanjut daripada pelabur itu sendiri.

Ada beberapa perkara yang tidak jelas dalam soalan saudara. Antaranya, sudah berapa lama duit itu dilaburkan dan ada percampuran atau tidak dengan nilai yang asal?

Sekiranya ibu saudara melaburkan duit itu untuk tempoh lima tahun dengan berasaskan pelaburan yang jumlahnya RM20 maka keseluruhan hasil dari pelaburan itu adalah haram.

Ini kerana punca pelaburan itu adalah daripada sumber yang haram. Baginda SAW bersabda daripada Abu al-Nu'man bin Bashir r.a yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu adalah jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram juga jelas… (riwayat al-Bukhari, no: 52, dan Muslim no: 1599).

Berbalik kepada soalan di atas, bukan sahaja modal pelaburan itu dikira haram malah keuntungan dari pelaburan juga haram, kedua-duanya (modal dan keuntungan) adalah haram.

Setiap sumber yang haram maka hasil daripadanya juga haram. Apa yang perlu saudara buat adalah keluarkan semua duit yang bersumberkan haram iaitu modal dan keuntungan pelaburannya kemudian guna untuk pembinaan keperluan orang awam.

Contohnya membaik pulih jalan, membaiki jambatan, membina wakaf dan sebagainya yang mana kelak pembangunan tersebut akan digunakan oleh orang ramai bagi keperluan masing-masing.

Isunya bukan menutup akaun tetapi bagaimana duit modal dan keuntungan dikeluarkan terus daripada akaun pelaburan. Biar banyak mana sekalipun pelaburan tersebut, saudara kata RM20, mungkin juga ada yang melabur lebih daripada itu.

Contohnya si Jamal melabur RM20 daripada sumber yang haram pada tahun 1995. Pada tahun 2010 pelaburan itu mencatat keuntungan dan jumlahnya kini RM2,000.

Maka mengikut syariah kesemuanya itu hendaklah dilupuskan. Sama ada dikembalikan keuntungan itu kepada syarikat yang menguruskan pelaburan itu atau digunakan untuk pembinaan tempat-tempat keperluan awam.

Banyak mana sekalipun duit itu tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan peribadi, lebih-lebih lagi makan.

Soalan 2:

Jika boleh, bagaimanakah cara dan tempat yang sesuai untuk saya menderma.

Jawapan:

Harta yang diperoleh daripada sumber haram hanya dibenarkan kegunaannya untuk pembinaan tempat-tempat wakaf, jalan, jambatan dan apa-apa yang menjadi keperluan awam.

Sebuah hadis lain pula menyebut: "Sesiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)". (riwayat al-Hakim, sahih menurut al-hakim dan disepakati oleh az-Zahabi)

Harta haram yang saya maksudkan di sini adalah harta yang dimiliki dengan cara yang tidak diiktiraf oleh syariah. Ia termasuklah wang hasil pelaburan sumber yang haram, pinjaman dengan transaksi riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil keuntungan jualan barang curi, hasil keuntungan pelaburan haram, hasil wang dari proses perniagaan secara monopoli dan banyak lagi.

Sheikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata: "Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)

Menurut syariah, jika sesuatu harta didapati daripada sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian bertaubat.

Jika gagal memulangkan kepada tuan miliknya, hendaklah ia dipulangkan kepada warisnya, jika gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedekah. (Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim, 4/251).

Demikian juga harta yang terhasil daripada riba pinjaman, maka perlulah dipulangkan kepada peminjam yang dikenakan riba itu.

Jika harta itu bukan milik perseorangan tetapi milik sekumpulan seperti koperasi sekolah, syarikat atau yayasan; maka cara memulangkannya adalah dengan memasukkan dalam akaun sekolah, yayasan atau syarikat itu; atau cara lain adalah membayarkan bil air sekolah dan syarikat sebanyak jumlah yang dicurinya. Ia secara tidak langsung dikira pemulangan kepada pemilik organisasi.

1 comment:

  1. pandangan saya dengan pekara diatas,pertama beriman pada Allah bererti percaya.kedua:
    Takwa bererti bakti atau memelihara hubungan dengan Allah. ketiga: Al-furqaan,bererti kesanggupan membedakan yang hak dan yang batil.
    dengan itu saudar tentukan dengan keyakinan dan ambil tindakan dengan sewajarnya.umpama buat titi melintasi parit dan sebagainya.17 kali kita bermohon kapadaNya dalam masa 24 jam."kapada Engkau kami sembah, kapada Engkau kami pohon", tunjukilah kami jalan yang lurus".

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...