terima kasih buat kalian semua..

Friday, July 2, 2010

Dwistandard Sabah, Sarawak 'berbahaya'



WALAUPUN memiliki kekayaan sumber semula jadi, Sarawak dianggap masih jauh di belakang dibandingkan pencapaian di Semenanjung. Kadar kemiskinan antara bandar dengan luar bandar dan antara keluarga berpendapatan rendah dan tinggi begitu menonjol. Kadar kemiskinan memang sudah jauh berkurangan berbanding 20 tahun lalu


Malah, kadar pada 2007 ialah 7.1 peratus berbanding 11.9 peratus pada 2004, manakala kadar miskin tegar ialah 1.4 peratus. Maksudnya, daripada 100 keluarga di luar bandar, tujuh rumah adalah miskin. Untuk melihat bagaimana daifnya keadaan sesetengah keluarga, kunjungi saja mana-mana kawasan pesisir dan pedalaman di negeri seluas Semenanjung ini. Kita akan hairan bagaimana sebuah negeri yang kaya sumber semula jadinya dan sudah merdeka hampir 50 tahun, masih mempunyai penduduk miskin tegar begitu? Rumah daif, tanpa bekalan api dan air bersih, serta tanpa perabot asas untuk anak mentelaah pelajaran di rumah


Sebahagiannya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kadar kemiskinan adalah tinggi di kalangan Bidayuh, Kayan, Kenyah, Penan dan Lun Bawang. Segala daya usaha perlu diambil untuk mengeluarkan mereka daripada cengkaman kemiskinan. Mereka tidak harus sekadar berada di pinggiran ketika negara menuju ke taraf negara maju.
Memang kerajaan negeri sudah banyak membawa perubahan, tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan agar mereka cepat dapat dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu, apatah lagi dalam keadaan kerajaan mahu menuju menjadi negara berpendapatan tinggi. Masalah kemiskinan perlu segera diselesaikan. Jika tidak, kita tidak boleh mengisytiharkan diri sebagai negara maju, selagi kemiskinan terus mencengkam sebahagian penduduk, terutama nelayan dan petani luar bandar. Kemiskinan luar bandar di negeri 2.5 juta penduduk ini, sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan kemudahan asas, terutama jalan raya. Justeru, pasti berita yang melegakan apabila Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan RM5.2 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) untuk membina jalan raya serta menyediakan bekalan elektrik dan air kepada penduduknya yang sudah lama bersabar dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN). Jalan raya bukan saja membuka kawasan luar bandar kepada dunia luar, tetapi memungkinkan penduduk terbabit membawa produk keluaran mereka ke bandar. Jalan raya memudahkan mobiliti dan mobiliti membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka. Memang wajar pendukung setia dan kuat BN ini diberi segala kemudahan kerana merekalah yang memungkinkan BN terus memerintah. Sebahagian mereka bertanya, mengapakah sesudah sekian lama menyokong kerajaan, mereka masih lagi tidak menikmati kemudahan asas itu? Mengapakah permintaan mereka bagai tidak dipedulikan biarpun mereka sudah memohon berkali-kali? Segala permintaan bagai mencurah air ke daun keladi. Kawasan luar bandar tetap menjadi kubu kuat BN pada pilihan raya akan datang. Justeru, kepentingan dan kebajikan mereka hendaklah dibela dan dijaga. Kini, hanya 66 peratus penduduk Sarawak menikmati bekalan elektrik dan 59 peratus bekalan air bersih. Daripada peruntukan itu, mengikut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melakukan lawatan kerja ke Sarawak hujung minggu lalu, RM2 bilion untuk menaik taraf jalan di luar bandar. Jalan raya di negeri ini ditambah daripada 20,333 kilometer (km) kepada 21,239km sekarang. Sesungguhnya, jalan raya lebih baik dan jalan raya yang berturap adalah sebahagian daripada isu yang kerap dimanipulasikan pembangkang menjelang pilihan raya di Sarawak. Isu ini akan terus dieksploitasikan pada pilihan raya negeri yang dijangka April tahun depan ketika pakatan pembangkang berusaha untuk merebut sebahagian daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Sejumlah RM1.7 bilion lagi disalurkan untuk bekalan elektrik. Dengan itu, bekalan elektrik ke negeri ini ialah 96 peratus menjelang 2012. Maksudnya, sekitar 78,000 keluarga akan menikmati bekalan elektrik sesudah bergelap atau menggunakan api pelita dan jana kuasa sendiri di rumah panjang untuk sekian lama. Kadar isi rumah yang dapat menikmati air bersih akan meningkat kepada 95 peratus menjelang 2012 berbanding hanya 59 peratus sekarang. Maksudnya, 87,400 rumah menikmati penyambungan air bersih, sekali gus meringankan beban dan masalah selama ini yang terpaksa menggunakan sumber lain. Dengan adanya jalan raya yang lebih baik, bekalan api dan air, taraf hidup mereka akan dapat ditingkatkan. Kerajaan tidak mempunyai pilihan, kecuali menyalurkan lebih banyak peruntukan ke Sarawak dan Sabah. Bukan saja atas kepentingan politik, tetapi sebagai rakyat Malaysia, kebajikan dan kepentingan mereka perlu diberi perhatian sama berat. Rakyat Sabah dan Sarawak tidak harus sampai berasa seperti rakyat kelas dua atau dipinggirkan, ketika mereka menyaksikan melalui kaca televisyen bahawa kemudahan seperti itu sudah lama dinikmati mereka di Semenanjung. Amat berbahaya jika sebahagian rakyat merasai atau mempunyai tanggapan wujud dwistandard dari segi layanan terhadap rakyat di wilayah yang berbeza. Jika kerajaan mahu memastikan Sabah dan Sarawak terus menjadi simpanan tetap dari segi politik, jalan terbaik adalah dengan menjaga kepentingan mereka. Menyedari hakikat itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melipatgandakan usaha dan peruntukan dengan harapan dari segi kemudahan dan prasarana, Sarawak dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat di Semenanjung. Sarawak perlu sama-sama dibawa ke dalam arus perdana pembangunan. Buktinya, beliau dan timbalannya, sejak menerajui pemerintahan kerap turun padang, meninjau hidup rakyat dan keperluan mereka, bukan saja dengan pergi ke Kuching, tetapi juga kawasan luar bandar lain. Najib dapat dianggap Perdana Menteri paling kerap melawat Sarawak dalam waktu relatif singkat, berbanding semua Perdana Menteri sebelum beliau, memenuhi gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Beliau ingin secara peribadi merasai denyut rasa dan gerak nadi rakyat pada peringkat akar umbi dan bukan sekadar membaca laporan di kerusinya di Putrajaya. Sesungguhnya, yang penting pastikan peruntukan besar itu diagihkan kepada kontraktor secara sama rata, bukannya dikaut golongan tertentu. Juga, pastikan peruntukan itu disalurkan dengan berkesan ke semua kawasan yang memerlukannya, bukan hanya ke kawasan tertentu mengikut kepentingan politik. Kerenah birokrasi, ketirisan dan kebocoran perlu diminimumkan bagi memastikan segala perancangan untuk melaksanakan kemudahan yang berkualiti tinggi dapat direalisasikan dan akhirnya golongan sasar menikmati kemudahan terbabit pada masa yang ditetapkan


Oleh Dr Jeniri Amir

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...