terima kasih buat kalian semua..

Thursday, July 29, 2010

Haram jual stok lama ikut harga semasa..boleh kena penyakit kusta!!!


SAYA sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan, jadi saya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak sehingga kadang-kadang dapat menampung keperluan setahun. Apabila tiba saat kenaikan harga, maka saya akan mendapat keuntungan lebih.

Apakah wajar saya menaikkan harga mengikut pasaran semasa dan apakah stok simpanan dikira sebagai perbuatan menyorok barangan yang saya tahu salah di sisi Islam. Harap dapat penerangan.
Ahmad Munir,
Kangar, Perlis.

Jawapan: Agama Islam menghalalkan jual beli selama mana tiada berunsur tekanan dan paksaan terhadap pihak lain. Kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli hendaklah saling reda meredai antara satu sama lain dalam melakukan muamalat jual beli.

Namun demikian, ada sesetengah peniaga cuba untuk menangguk di air keruh bagi mengaut keuntungan lebih dengan menyimpan bagi tempoh masa tertentu dan menjualkannya pada saat kenaikan harga seperti sekarang.
Ulama bersepakat menyatakan perbuatan menyorok barang untuk dijual ketika harga mahal adalah perkara diharamkan Islam kerana menyakiti dan menindas pengguna. Ia bertujuan menekan mereka yang berhajat pada ketika itu dan tiada pilihan kecuali membeli pada harga ditetapkan. Malah dapat pula mempermainkan harga barangan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah menyorokkan barang bagi seseorang sehingga waktu mahal itu sedangkan ia ditegah.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmiz dari Amr Bin Fadzlah)

Berdasarkan hadis itu, ulama menetapkan hukum diharamkan perbuatan menyorok barang jualan dengan dua syarat iaitu dilakukan di negara penduduknya akan menderita disebabkan adanya komplot itu dan menaikkan harga sehingga menimbulkan kesusahan pengguna semata-mata ingin memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Saidina Umar pernah menyebut: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.” (Hadis riwayat Ahmad)

Apa dilakukan saudara tidak termasuk dalam perkara yang dibincangkan kerana saudara menjual secara berterusan tanpa menunggu masa kenaikan harga barang. Sebenarnya saudara sudah mendapat keuntungan jika meletakkan pada harga berpatutan tanpa mengikut harga semasa kerana membeli dengan harga lama dan mendapat banyak potongan membeli dalam kuantiti banyak.

Diharap saudara dapat pertimbangkan mengikut keperluan semasa dan perikemanusiaan. Hikmah atau falsafah kepada pengharaman ialah untuk menolak kemudaratan ditanggung satu pihak sedangkan pihak lain mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seburuk-buruk hamba adalah mereka yang menyorok barangan, jika ia mendengar harga murah ia murka, dan jika barang menjadi mahal ia bergembira.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)


Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...