terima kasih buat kalian semua..

Friday, July 16, 2010

Jangan buang bayi anda...beri pada saya...


SAYA amat tertarik membaca luahan Wan Baling, Kedah yang merayu agar remaja yang hamil anak luar nikah menyerahkan bayi mereka kepadanya untuk dijaga dan tidak membuang bayi yang tidak bersalah itu ke dalam tong sampah dan sebagainya.

Untuk pengetahuan pembaca, saya sebenarnya mempunyai kisah yang agak menarik berkaitan anak "istimewa" ini.

Saya dan suami telah mendirikan rumah tangga sejak September 2002. Malangnya sehingga menjelang ulang tahun perkahwinan kami keenam saya masih belum pernah sekalipun mengandung.

Pelbagai cara juga telah kami lakukan. Malahan usaha terakhir saya di salah sebuah hospital swasta popular telah dikhabarkan bahawa saya yang sebenarnya mempunyai masalah iaitu ovum @ telur yang saya hasilkan terlalu kecil dan kerana itu ia sukar untuk bersenyawa dengan sperma suami. Akhirnya kami pasrah.

Pada 1 Syawal tahun 2008, ketika pulang beraya di kampung, kami dikhabarkan oleh pakcik saya bahawa terdapat seorang gadis telah melahirkan seorang bayi perempuan yang tidak berbapa.

Gadis ini bercadang untuk memberikan anak tersebut kepada orang lain untuk dijaga. Tanpa berfikir panjang, saya dan suami segera bersetuju dan menelefon pihak yang mengenali gadis tersebut untuk memaklumkannya.

Pada masa itu, sepupu saya yang juga hampir sebaya usia perkahwinannya dengan saya turut mahukan bayi ini kerana dia juga tidak pernah sekalipun mengandung sepanjang usia perkahwinannya (tetapi telah mengambil seorang anak angkat lelaki).

Akhirnya kata putus dibuat dan sepupu mengalah untuk membiarkan saya dan suami yang mengambil dan memelihara anak tersebut.

Malangnya, semenjak dilahirkan anak itu terus ditahan di wad hospital kerana telah lemas di dalam perut ibu akibat lewat dibawa ke hospital. Tanpa jemu dan putus asa, saya dan sepupu berulang-alik melawat bayi itu di hospital yang terletak di Pantai Timur sedangkan kami tinggal di Lembah Kelang.

Akhirnya, selepas 40 hari, barulah anak itu dapat dibawa keluar dari hospital dan diserahkan kepada kami beserta dengan dokumen perubatan dan temujanji doktor yang tidak kurang banyaknya.

Pada mulanya, saya yang tiada pengalaman menganggap ini hanyalah kebiasaan pada bayi yang baru lahir. Tetapi, setelah beberapa minggu, barulah saya perasan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada anak itu.

Selepas dirujuk kepada doktor dan ditambah dengan temujanji yang dibuat dengan doktor pakar di hospital tempat kelahirannya, barulah kami jelas bahawa anak ini sebenarnya telah mengalami masalah akibat kemalangan yang dihadapi di saat dia dilahirkan dulu.

Telinga kiri anak perempuan saya itu tidak dapat mendengar. Malahan tangan dan kaki kirinya juga tidak dapat berfungsi dengan sempurna (akibat dari lemas ketika kelahiran, otak kanannya terjejas dan merosakkan fungsi organ kiri). Untuk itu, kami perlu membawanya untuk menghadiri sesi fisioterapi dan sebagainya.

Tetapi, sedikitpun anak ini tidak memberi masalah atau memberi beban kepada kami. Kehadirannya cukup menceriakan seisi rumah malahan dia menjadi perhatian semua ahli keluarga saya termasuk menjadi kesayangan sepupu saya tadi.

Tambah istimewa, hanya selepas menjaganya dua bulan dan pada usia anak perempuan saya ini menjangkau umur tiga bulan, saya sendiri telah disahkan hamil. Makin bertambah kasih kami kepada anak ini kerana mungkin berkat kehadirannya dalam hidup kami suami isteri, hormon di dalam badan saya semakin aktif dan akhirnya saya disahkan mengandung.

Kini, hampir 2 tahun berlalu dan saya sekarang menjadi ibu kepada sepasang anak perempuan dan lelaki yang cukup comel dan keletah. Kasih sayang kami kepada kedua-duanya tidak pernah berbelah bahagi. Malahan, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa ahli keluarga saya lebih menyayangi anak "istimewa" saya ini berbanding adik lelakinya memandangkan dia merupakan seorang anak perempuan yang bijak, comel dan cukup cerdik walaupun ada sedikit kekurangan.

Sebagai tambahan kepada surat dari Wan Baling, Kedah tadi, apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah beberapa situasi yang saya alami sepanjang menjaga anak perempuan saya ini.

Memandangkan saya dan suami berkulit hitam manis, anak lelaki kami juga mewarisi warna kulit yang sama.

Akan tetapi, anak perempuan saya ini putih dan cerah kulitnya. Ditambah pula dengan beza umur mereka yang agak rapat (jarak umur hanya 9 bulan dan tumbesaran hampir sama besar), jadi seringkali, saat berjalan sekeluarga anak-anak ini akan mendapat perhatian ramai. Pada yang tidak ambil pusing, mereka hanya akan berbicara sesama sendiri dan menganggap anak-anak saya ini kembar.

Tetapi pada mereka yang berani dan lebih prihatin, persoalan yang bersarang di kepala biasanya akan terus diajukan kepada kami suami isteri. "Kembar ke? Umur berapa? Beza ye kulit mereka? Yang perempuan putih ikut siapa?" Itu antara soalan perangkap yang sering kami terima.

Pada insan yang hanya selisih di jalanan, mungkin jawapan mudah seperti "Iye, kembar" sudah memadai. Tetapi bagi mereka yang berjam-jam akan berada berada di tepi kita (saat menanti temujanji doktor, saat menghadiri kenduri kendara), jawapan sebenar tidak dapat dielakkan.

Tetapi, tidak bermakna bila saya mengaku bahawa anak perempuan saya itu hanyalah anak angkat, adalah tanda bahawa saya tidak menghargainya atau membezakan mereka dua beradik. Seringkali cerita tentang kehadiran anak perempuan saya ini dan kemudian kisah saya hamil selepas kehadirannya akan turut saya ceritakan juga. Reaksi yang saya terima itulah yang ingin saya kongsi di sini.

Dari situ saya dapat kesimpulan bahawa terlalu ramai orang di luar sana yang tidak berpeluang untuk mengandung tetapi mahukan anak. Untuk mengambil anak angkat melalui saluran yang betul (Jabatan Kebajikan contohnya) kami sering dicerita dengan prosedur yang rumit dan susah sehingga menyebabkan anak-anak tanpa status inilah yang menjadi pilihan ramai sebenarnya.

Oleh itu, kepada remaja di luar sana, andainya anda sudah tiada tempat untuk mengadu dan tidak mampu menjaga anak yang sembilan bulan anda kandungkan, berilah kepada orang lain.

Janganlah dibuang begitu sahaja. Jangan tambah dosa yang telah anda buat. Cuba dapatkan pula pahala apabila kami insan yang memerlukan ini mengucapkan terima kasih kepada anda atas anugerah "anak istimewa" ini dan juga terima kasih kerana anda tidak menjadi pembunuh.

Sedikit nasihat untuk remaja terlanjur di luar sana. Atas pengalaman saya, ibu kepada anak yang saya pelihara ini tidak didakwa walaupun dia melahirkan anak luar nikah di hospital kerajaan. Ini kerana, melahirkan bukanlah satu kesalahan walaupun ia merupakan dosa besar kerana melahirkan anak luar nikah.

Menyorokkan kelahiran, membuang anak dan membunuh bayi yang tidak berdosa itu yang salah dan perlu dihukum oleh undang-undang dunia sebelum dihukum di akhirat kelak.

Oleh itu, carilah pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak kerana rasanya bukan sahaja Wan Baling Kedah yang sanggup menjaga anda ibu terlanjur sehingga selamat melahirkan, tetapi ramai lagi pasangan yang sanggup berbuat demikian demi untuk memastikan anak-anak yang tidak berdosa juga dapat peluang untuk hidup seperti manusia yang lainnya.

Sebelum saya mengundur diri, tidak juga saya lupakan untuk bercerita sedikit tentang ibu kandung anak perempuan saya ini. Gadis tersebut yang telah insaf, kini telah pun berbahagia bersama suami dan anak perempuannya yang baru. Malahan hubungan kami sekeluarga dengan mereka juga terjalin dengan baik. Tidak ada apa yang perlu dirahsiakan dan dimalukan. Yang lepas biarlah lepas.

NOOR

Semenyih

3 comments:

  1. An inspiring true story...

    ReplyDelete
  2. Jika d izin kan...saya ingin mengambil seorng anak angkat ni..memandangkan saya sudah 8thn berkahwin tetapi masih belum ada rezeki...tahu tak mana2 iyf ingin beri kpd saya.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...