terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, July 21, 2010

Kerana cuma 5, 10, 25 sen, peniaga jangan susahkan pengguna


TENGGELAMLAH seketika isu curi pasir di Selangor, kerjasama UMNO-Pas kerana sekarang rakyat lebih berminat bercerita tentang penyelarasan harga barang yang diumumkan Khamis lalu. Baru dua hari subsidi bahan api diumumkan, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) serta gula dikurangkan, para peniaga sudah mengira kos barangan dan jualan untuk dinaikkan.

Bagi kontraktor pembinaan rumah, mereka sudah meletakkan harga baru walhal tiada kaitan dengan kos pembinaan. Begitu juga dengan para peniaga lain, semua menyandarkan alasan kos bahan api sudah berubah. Mereka kena tanggung kos tambahan itu.

Bagi peniaga restoran juga tidak melengah-lengahkan 'tawaran' harga baru minuman dan makanan disebabkan harga gula dan gas masak naik. Jika begini trend masyarakat kita, apabila setiap kali kenaikan harga petroleum dan gas diumumkan, maka harga barangan lain turut akan naik.

Harga petrol Ron 97, Ron 97 dan diesel cuma naik 5 sen seliter, manakala LPG 10 sen per kilogram dan gula 25 sen per kilogram.

Berapa sen sangat kenaikan itu. Kita yakin ia tidak membebankan peniaga. Kalau diamati, dengan kenaikan hanya 25 sen bagi sekilogram gula, ia tidak menjejaskan keuntungan peniaga yang menggunakan bahan itu. Harga baru gula RM1.90 kalau dianggap mahal, jadi pandai-pandailah kita mengurangkan penggunaannya. Bukankah doktor selalu menasihat kita supaya kurangkan mengambil gula kerana rakyat Malaysia paling ramai menghidap penyakit kencing manis (diabetis). Sekarang pun ramai yang minta pesanan air kurang manis tapi harga minuman tetap sama.

Alasan boleh diberi, misalnya gas masak pun sudah mahal. Tapi adakah naik 10 sen maka harga makanan perlu dinaikkan hingga 20 sen. Jika sifir ini digunakan oleh para peniaga kita, mereka golongan paling beruntung apabila kerajaan mengumumkan pelarasan subsidi pada masa akan datang.

Dengan hanya tambahan kos, misalnya peniaga menggunakan tong gas 14kg yang dahulu berharga RM24.50 tetapi kini RM25.90, perbezaannya cuma RM1.40. Apakah nilai RM1.40 itu besar kepada peniaga sedangkan mereka boleh mendapat pulangan lebih tinggi jika tanpa menaikkan harga jualan.

Dalam hal kos pengangkutan pula, banyak alasan untuk menaikkan harga barangan dikaitkan dengan harga petrol atau diesel. Sekali lagi, apakah dengan tambahan cuma 5 sen seliter, mewajarkan semua harga barangan dinaikkan.

Kalau dihitung penggunaan diesel bagi sebuah lori yang bertangki 100 liter, kos tambahannya cuma RM175 berbanding sebelum ini RM170. Beza hanya RM5 sahaja.

Begitu juga bagi kenderaan yang menggunakan petrol dan muatan tangkinya 50 liter, maka kos tambahan yang ditanggungnya cuma RM2.50.

Apabila diteliti dan difikir sedalam-dalamnya, pelarasan subsidi ini tidak patut diikuti dengan kenaikan harga barang. Para peniaga masih meraih keuntungan. Mereka tidak rugi jika tidak menaikkan harga jualan.

Tetapi kalau sudah menjadi sikap dan tabiat peniaga yang tamak, mereka tidak akan peduli rayuan kerajaan dan pengguna. Waima jika kerajaan menaikkan harga 1 sen pun, mereka tetap mengatakan mereka akan rugi.

Sebenarnya, kita semua pengguna. Para peniaga pun adalah pengguna. Kita merasa kurang selesa apabila pelarasan subsidi dibuat maka diikuti kenaikan harga barangan.

Pengguna amat-amat menghargai jika persatuan-persatuan peniaga sepakat tidak menaikkan harga barangan dan jualan mereka. Bantulah kerajaan untuk mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggungnya. Sedarlah, walaupun perubahan ini dibuat, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula bagi tahun ini.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010. Jadi bolehlah lebihan itu diperuntukkan kepada sektor lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan.

Seandainya para peniaga masih bernafsu hendak menyusahkan pengguna dengan menaikkan harga jualan, kita menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan jujur dan dedikasi demi rakyat Malaysia.

Oleh AZMAN ANUAR

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...