terima kasih buat kalian semua..

Friday, July 23, 2010

Orang luar guna subsidi perubatan


BARU-baru ini, ada ura-ura kemungkinan mewujudkan skim kesihatan di negara ini disebabkan kos kesihatan yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia yang sedikit sebanyak memahami sistem kesihatan negara, saya mendapati ada permasalahan yang menyumbang kepada jumlah perbelanjaan tinggi dalam bidang kesihatan iaitu kos perubatan untuk rakyat asing.

Mereka datang ke negara kita semata-mata untuk mendapatkan rawatan perubatan. Warga asing ini tidak bekerja atau menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara tetapi subsidi perubatan diberi kepada mereka.

Contohnya, di Johor, ramai rakyat Indonesia dan Singapura mendapatkan rawatan di klinik kerajaan. Dengan bayaran murah, mereka mendapatkan ubat yang mahal.
Ada juga yang mendapatkan rawatan di klinik pakar untuk penyakit kronik dan tentu ubatnya mencecah ribuan ringgit setiap tahun.

Mereka diberi temu janji untuk datang. Alangkah baiknya kita! Sedangkan temu janji saya untuk berjumpa doktor pakar mengambil masa berbulan-bulan. Daripada perbualan saya dengan seorang rakyat Singapura, beliau datang mendapatkan rawatan sakit kulit bertahun-tahun lamanya kerana rawatan kita terlalu murah.

Selain itu, ada juga sebilangannya yang datang bertujuan mendapatkan rawatan di hospital swasta di sini, tetapi kemudian dirujuk ke hospital kerajaan kerana mereka tidak mempunyai keupayaan mendapat rawatan di hospital swasta.
Jika ini berlaku, ia bukan saja menyebabkan penyalahgunaan subsidi kerajaan, tetapi juga menyebabkan penurunan kualiti dalam merawat rakyat sendiri dari segi masa yang diberikan untuk merawat rakyat asing dan yang pasti ketidakselesaan rakyat sendiri.

Di Johor misalnya, memang diketahui ramai pesakit sehingga wad melimpah ruah. Ketika saya melawat seorang saudara di wad baru-baru ini, pesakit itu semata-mata datang dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan penyakitnya yang buat masa ini tiada penyembuhnya.

Bagaimanapun, saya tidak berasakan kita perlu kejam dengan tidak merawat mereka. Cuma, jika keadaan bukan kritikal, masa dan wang kita tidak patut diguna untuk pelancongan perubatan di hospital kerajaan.

Tidak sepatutnya temu janji diberi kepada rakyat asing di klinik kerajaan dan ruang serta masa di hospital kerajaan untuk rakyat asing.

PENERIMA SUBSIDI,
Johor Bahru

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...