terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, July 27, 2010

Suami layan SMS kekasih lama..


PERASAAN seorang isteri ada kalanya tidak difahami oleh suami sehinggakan mengheret mereka memendam rasa. Kebanyakan suami tidak pandai menjaga hati isteri jauh sekali menghargai perasaan mereka.

Begitulah yang berlaku kepada Ina (bukan nama sebenar) dalam kisahnya kepada saya.

Kita ikuti kisah hidup Ina.

"Semuanya bermula selepas suami didatangi oleh kekasih lamanya yang telah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang cahaya mata.

"Perkahwinan aku dengan suami dikurniakan sepasang cahaya mata yang sedang meningkat dewasa. Rumah tangga yang kami bina atas rasa cinta selama hampir 18 tahun menuju jalan yang tidak berpenghujung.

"Hubungan kami semakin dingin, Pelbagai usaha dibuat untuk menanganinya secara berhemah sayangnya semua menemui jalan buntu.

"Semuanya gara-gara suami bermain kayu tiga dengan bekas kekasihnya yang juga isteri orang.

"Alasan hanya kawan yang sering terbit daripada mulut suami tidak meyakinkan aku. Hati aku seringkali tercalar dan terluka oleh tindak tanduknya yang aku anggap telah melampaui batas.

"Rumahtangga yang dibina tidak seindah dan tidak sebahagia dahulu. Cinta kasih kami dikhianati oleh suami sendiri hanya kerana kehadiran kekasih lamanya.

"Kejujurannya selama ini terhadap aku mulai punah. Segala-galanya berubah dalam sekelip mata sahaja.

"Kisah sedih aku bermula pada satu malam apabila tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu nada SMS di telefon bimbit suami.

"Aku bingkas bangun dan terus mengambil telefonnya, bimbang ada SMS yang penting terutama pada waktu malam selepas dibuka, aku terbaca satu SMS yang berbunyi, "belum lagi, kenapa?" Waktu itu jam telah menunjukkan pukul 12 tengah malam.

"Aku jadi bingung dengan SMS tersebut, lantas aku terus mendail nombor yang tercatit di skrin telefon suami. Hati aku tersentak dan terkejut apabila nombor yang aku dail itu dijawab oleh seorang wanita.

"Hancur luluh hati hatiku jadinya. Aku terus menangis dan tak mampu untuk menyahut suara yang aku dengari itu.

"Aku terus membelek lagi telefon suami dan sekali lagi hati aku hancur berderai apabila terbaca SMS suami untuk wanita tersebut dengan pertanyaan: "Dah tidur ke?" kepada wanita tersebut.

"Aku yakin suami telah biasa menghubungi wanita itu melalui SMS di tengah-tengah malam. Aku mengejutkan suami dan menanyakan tentang SMS itu.

Suami hanya menjawab: "Tak ada apa-apa, cuma kawan biasa saja." Dia juga memaklumkan pada aku yang wanita tersebut kekasih lamanya.

"Pada malam itu tidurku terganggu, aku langsung tidak boleh melelapkan mata. Aku menangis sepuas--puas hati kerana selama ini aku tidak percaya yang suami akan perlakukan demikian kepada aku.

"Selama ini aku menyangkakan suami seorang yang baik, jujur dan sayangkan aku dan keluarga. Tapi sangkaan aku selama ini meleset sama sekali.

"Pintu hati aku semakin hari semakin tertutup rapat untuknya.

" Adakah aku dianggap isteri yang zalim sekiranya hati aku tidak dapat dibuka lagi untuk suami?

"Selama ini aku tidak pernah terfikir untuk bersikap tidak jujur pada suami. Bagi aku suami adalah segala-galanya dalam hidupku.

"Aku menghabiskan usia yang ada bersama-sama suami dan anak-anak. Setiap saat, setiap minit dan setiap hari yang dilalui aku sering menjadikan mereka yang teristimewa di hati aku lebih daripada segala-galanya.

"Aku tidak pernah kisah dengan apa yang suami beri dan apa yang suami lakukan terhadap diri aku. Aku buat apa yang termampu untuk suami.

"Selepas kejadian itu, hubungan kami menjadi dingin, dia menuduh aku benci kepadanya pada hal dia menjadi punca segala kekalutan yang kami lalui sekarang. Apakah ini yang dinamakan suratan atau kebetulan.

"Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Aku diuji oleh Tuhan sekali lagi. Kejadian ini berlaku pada aku pada pagi yang hening.

"Sewaktu aku sedang sibuk menjalankan tanggungjawab di pejabat, aku dikejutkan dengan satu panggilan dari seseorang. Orang itu memberitahu suamiku sedang berdua-duaan dengan wanita tersebut.

"Tangisan tidak dapat dibendung lagi. Airmata aku jatuh bercucuran tanpa aku sedari yang aku berada di pejabat waktu itu. "Aku tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dibuat.

"Syukur pada Tuhan kerana menganugerahkan aku dengan sikap sabar yang cukup utuh.

"Aku dikurniakan oleh Allah satu kekuatan yang entah dari mana datangnya. Tapi persoalannya sekarang sampai bila agaknya kesabaran dan kekuatan ini mampu ditanggung?

"Aku mahu dilepaskan seandainya dia masih mahu kembali kepada kekasihnya itu. Aku tidak mahu menjadi penghalang cinta antara mereka berdua.

"Tapi sayang, suami hanya mendiamkan diri seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku menjadikan aku tertanya-tanya apa sebenarnya yang dia mahu dalam hidupnya.

"Mungkin juga aku bukan isteri pilihannya dan sepatutnya dia memilih kekasih lamanya untuk menjadi isterinya dan bukannya aku.

"Semuanya telah ku korbankan untuk dia, tapi dia mencabar kesetiaan dan kejujuran aku selama ini terhadap dirinya.

"Ya Allah, apa yang harus aku lakukan. Aku sudah tidak berdaya lagi dengan dugaan ini. Walaupun selama ini aku pasrah dengan dugaan-Mu namun berikanlah aku sedikit ruang untuk mengecapi kebahagiaan di dunia ini, dunia yang hanya sementara ini.

"Kehidupan aku sentiasa dipenuhi dengan rasa duka tanpa belaian kasih ibu yang kembali menghadap Ilahi ketika usiaku 6 tahun. Namun dugaan yang dilakukan oleh suami kali ini benar-benar meruntun hati dan terlalu pahit untuk ditelan.

"Kepada suamiku, tidak bolehkah kamu menjaga hati dan perasaan isterimu ini?

"Aku juga pernah menghubungi wanita tersebut tapi malangnya dia tidak pernah mahu menjawab panggilan aku.

"Nasihatku kepadanya, sedarlah dunia yang kecil ini sentiasa berputar dan ia hanya untuk sementara sahaja. Pembalasan dari Tuhan sekarang ini tidak perlu tunggu waktu jasad terpisah dari badan. Sampai masa anda akan menerima ujian-Nya juga. Renung-renungkanlah.

"Di sebalik kedukaan yang ada aku tetap tidak putus berdoa agar satu hari nanti saya akan dapat kembali kebahagiaan yang pernah dikecapi sebelum ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memakbulkan permintaan dan doa saya," Ina menamatkan ceritanya.

Saya amat bersimpati dengan Ina dan saya berdoa agar Ina diberi kekuatan dan kesabaran untuk melalui ujian ini. Semoga kisah Ina akan menjadi iktibar dan tauladan kepada para suami yang tidak menghargai pengorbanan dan kejujuran isteri.

Pesanan saya, terimalah mereka seadanya untuk menjadi suri dalam hidup dan terangilah hidup mereka dengan penuh kasih sayang kerana kehadiran mereka di dunia ini adalah sebagai pelengkap dalam kehidupan seorang lelaki yang dipanggil suami.

2 comments:

  1. begitulah kebiasaan lelaki...bg alasan sbgai kawai biase..dan sbgai wanita tentulh rase tercabar & cemburu..
    saye juge pernah mengalami..walau kini saye ttp curiga tp saye kuatkan keyakinan bahawa suami telah berjanji x kan hubungi kembali..

    ReplyDelete
  2. sy juga alami nasib yg sama...dikhianati dan ditipu..., then bila sedih..dipersalahkan pula...., hanya Allah tempat mengadu... :-(

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...