terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, July 14, 2010

Susun semula sistem perjawatan awam


SAYA terpanggil untuk menyambung kenyataan Jurutera Terpinggir, di ruangan Surat dan E-Mel, Berita Harian, Jumaat, 9 Julai 2010.

Sememangnya apa yang dinyatakan beliau adalah bukan saja mewakili kelompok jurutera saja, malah boleh mewakili kebanyakan pegawai dan anggota perkhidmatan awam lain. Perkara ‘susah naik pangkat’ adalah fenomena biasa bagi pegawai atau anggota awam yang sudah lama berkhidmat terutama di dalam klasifikasi perkhidmatan pertanian, sosial, agama, kewangan dan berpuluh perkhidmatan lain lagi

Fenomena berkenaan adalah tidak atau kurang berlaku di dalam klasifikasi perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, tentera, polis, perguruan atau perubatan kerana keistimewaannya yang tersendiri. Mereka sentiasa dijaga dan dipelihara demi kepentingan negara

Seperti kenyataan beliau, jurutera muda sekarang yang baru dilantik mudah mendapat kenaikan pangkat sehingga gred 48 sehingga sama taraf dengan jurutera yang sudah lama berkhidmat. Fenomena yang sama juga berlaku perkhidmatan pertanian, sosial dan pelbagai klasifikasi perkhidmatan lain. Pegawai muda yang baru dilantik lima enam tahun dengan mudah dapat melompat ke gred 48 walaupun dengan pengalaman, kemahiran dan kebolehan yang masih diragui. Terima kasih kepada pengurusan tertinggi jabatan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana memudahcara peningkatan ini. Ia menjadi rezeki bagi pegawai muda kerajaan dan secara langsung dapat meningkatkan pendapatan secara mudah dalam tempoh masa yang lebih singkat berbanding dan setanding dengan pegawai lama. Selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat berpendapatan tinggi. Sekurang-kurangnya satu kelompok penduduk negara kita dapat menikmatinya.

Bagi pegawai lama seperti Jurutera Terpinggir dan kebanyakan yang dilantik menjadi pegawai kumpulan A pada era 1980-an, samalah merasai ketidakadilan dan kurangnya prihatin terhadap kemajuan kerjaya masing-masing oleh pihak yang lebih berkuasa.

Berlakunya keadaan masih ‘prebet’ biarpun sudah menjangkau 20 ke 25 tahun berkhidmat adalah perkara biasa pada kebanyakan pejabat kerajaan. Tetapi kini keadaan sudah berubah sedikit, pegawai baru menikmati rasa, pegawai lama memendam rasa. Seperti kata Jurutera Terpinggir, bekerja lama pun sama taraf saja dengan pegawai baru. Itulah penghargaan yang sama-sama kita peroleh di dalam perkhidmatan awam. Bukan sindiran tetapi kenyataan era kini.

Keadaan lebih teruk bagi kumpulan sokongan (dahulunya kumpulan B, C dan D). Ketiadaan penstrukturan semula jabatan adalah antara sebab anggota kumpulan sokongan tidak ke mana. Peluang kenaikan pangkat yang amat sedikit mengecewakan anggota. Mujurlah luahan melalui CUEPACS dilayan kerajaan pada tahun lalu. Merasa juga kenaikan pangkat melalui kenaikan Khas Untuk Penyandang (KUP) bagi mereka yang berkhidmat melebihi 15 tahun. Terima kasih CUEPACS. Walaupun begitu, sehingga kini masih ramai yang kekal sebagai prebet kerana kekangan (tidak lulus) Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) dan juga kerenah pegawai atasan jabatan yang menyusahcara pelaksanaan KUP berkenaan.
Soal ketidakadilan dan kejatuhan semangat bekerja sudah lama bermain dalam kalangan anggota sokongan terutama bagi anggota yang sudah lama berkhidmat. Masakan tidak, seolah-olah tiada jasa walaupun sudah berpuluh tahun berkhidmat tetapi masih di takuk lama. Tiada pengiktirafan terhadap berpengalaman. Tidak seperti di sektor swasta. Kita tidak pernah belajar daripada swasta walaupun sudah ramai pegawai tinggi yang terdedah dengan cara kerja swasta. Tidak usahlah kita hendak berkata yang tidak baik terhadap pegawai dan anggota kumpulan sokongan ini sekiranya mereka menjalankan kerja sampingan seperti berniaga dan sebagainya. Mereka terpaksa melakukannya demi untuk meneruskan kehidupan.

Penambahbaikan di dalam perkhidmatan awam memang berlaku tetapi tidak menyeluruh. Hanya segelintir saja yang terbabit seperti perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah, tukang masak, jurumudi, kelasi dan juru enjin. Sedangkan ada beratus perjawatan dan berpuluh skim perkhidmatan lagi. Di manakah keadilannya? Apakah pegawai dan anggota lain tidak memberi sumbangan untuk negara?

Sehingga kini, ramai anggota kumpulan sokongan yang pencen dengan ‘prebet’ saja. Sebelum ini ramai yang menikmati pencen di bawah paras kemiskinan (di bawah RM720 sebulan ) terutama bekas anggota kumpulan D. Setelah penyelarasan pencen dibuat dua tahun lalu, dapatlah mereka itu melepasi paras kemiskinan. Bekas anggota kumpulan sokongan lain iaitu B dan C pun kebanyakannya sekadar cukup makan. Hakikat dan kenyataannya memang begitu. Tiada yang senang dengan hasil pencen.

Sehubungan itu, saya berharap pengwujudan pihak berkuasa, sama ada peringkat menteri atau badan bebas tertentu yang mampu mengkaji, menyelidik, mengatur, menyelaras dan menyusun semula perjawatan awam terutama di jabatan kerajaan yang tertinggal secara lebih baik, menyeluruh dan berdaya maju. JPA dan ketua jabatan seolah-olah saling mengharap antara satu sama lain dan setelah sekian lama, masih ramai pegawai dan anggota sokongan yang ketinggalan.

RUSDEE,
Besut, Terengganu

1 comment:

  1. Merit bersandarkan kopetensi dan skill. Keberkesanan impak kurang jika ke atas mengarah saja kurang membimbing, kejutan budaya kepada yang lama & baru, ada hikmah ..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...