terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 31, 2010

2 berita berbeza..penin2


Nasib rakyat dibela - Daud

KUCHING 29 Ogos - Kerajaan akan terus membela kebajikan rakyat pelbagai kaum di negara ini terutamanya golongan yang kurang bernasib baik supaya mereka turut dapat menikmati kehidupan yang sempurna.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, sejak 47 tahun lepas, kerajaan melaksanakan banyak program pembasmian kemiskinan.

Menurutnya, kadar kemiskinan pada masa tersebut mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kadar kemiskinan di Sarawak telah berkurangan iaitu hanya tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri ini pada masa sekarang.

"Jumlah tersebut dapat dikurangkan disebabkan pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan seperti bantuan perniagaan kecil-kecilan, bantuan ibu tunggal, golongan memerlukan dan sebagainya," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Tupong di sini, semalam.

Daud berkata, kerajaan turut membantu mengurangkan beban golongan miskin menerusi bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan sebagainya.

Pada masa sama katanya, negara ini juga mengamalkan ekonomi terbuka, iaitu sesiapa yang rajin berusaha akan memperolehi kejayaan.

Namun, Daud mengakui masih ramai di kalangan golongan miskin yang tercicir daripada bantuan kerajaan.

"Kerajaan akan terus memantau golongan ini bagi memastikan bantuan disampaikan kepada mereka.

"Malah, golongan berkemampuan juga digalakkan supaya bersama-sama menderma kepada golongan ini bagi meringankan beban yang mereka hadapi," ujarnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Daud telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 293 penerima yang terdiri daripada golongan anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan saudara baru dari Kampung Tupong Jaya, Tupong Hulu, Tupong Tengah dan Tupong Batu itu.


Hanya 20 peratus dapat air bersih

MIRI 29 Ogos - Terdapat lebih 82,000 penduduk di Baram. Namun hanya 30 peratus daripada mereka menikmati bekalan air bersih manakala bekalan elektrik pula 20 peratus.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air), Sylvester Entri Muran berkata, selain liputan bekalan air dan elektrik yang belum luas, penduduk di kawasan Baram juga memerlukan akses jalan raya yang baik.

Ujarnya, kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memperuntukan sejumlah RM3.7 bilion bagi membangunkan prasarana asas di pedalaman Sarawak termasuk jalan raya, air dan bekalan elektrik.

"Walaupun peruntukan ini telah disediakan, namun sebahagian daripadanya belum dilaksanakan. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan lebih ramai penduduk Baram menikmati kemudahan asas.

"Sehubungan itu, kita mahu kontraktor dan agensi kerajaan yang berkaitan mempercepatkan perlaksanaan semua projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan di bawah NKRA dan pakej rangsangan ekonomi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Projek NKRA di Beluru, Bakong di sini, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong, Pengurus Perancangan dan Projek Sesco, Dahlia Madon, pegawai-pegawai kanan dari agensi kerajaan dan swasta.

Tanpa mendedahkan jumlah peruntukan dan jumlah penduduk yang bakal menikmati peruntukan itu, Entri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi memberitahu, kerajaan telah meluluskan peruntukan yang besar untuk dilaksanakan di kawasan Marudi.

Antara kampung dan sekolah yang menikmati kemudahan bekalan elektrik dan air bersih ujarnya membabitkan Rumah Anai, Sekolah Kebangsaan (SK) Manok, Kampung Padang Kerbau, Rumah Majelit, Rumah Bris, Rumah Hilary, Rumah Anthony Kedit, Rumah Ansok, SK Sungai Laong dan SK Sungai Kelabit.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...