terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 11, 2010

700 Korban sehari akibat cuaca panas di Rusia...


Kadar kematian di ibu negara Rusia meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas kepada kira-kira 700 orang sehari disebabkan gelombang cuaca panas dan jerebu tebal berpunca daripada kebakaran hutan yang belum dapat dikawal.

Ketua Jabatan Kesihatan Moscow, Andrei Seltsovky hari ini berkata, pertambahan kadar kematian itu berpunca daripada cuaca paling panas dalam sejarah negara ini dan jerebu teruk sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, sejumlah 1,300 mayat ditempatkan di rumah-rumah mayat di bandar raya ini, hampir kepada kapasiti maksimum.

Jerebu tebal menyelubungi Moscow masuk hari keenam berturut-turut hari ini, dengan tahap karbon dioksida dan bahan beracun lain sehingga dua atau tiga kali lebih tinggi daripada paras selamat.

Kira-kira 550 kebakaran berlaku di seluruh negara hari ini, kebanyakannya di barat Rusia termasuk 40 di sekitar Moscow, lapor Kementerian Kecemasan.

Menteri Kecemasan, Sergei Shoigu mengarahkan anggota bomba menggandakan usaha untuk memadamkan kebakaran hutan yang kini semakin sukar dikawal serta mengancam pusat penyelidikan nuklear di Urals.

"Anda perlu bekerja pada waktu malam di Snezhinsk dan saya berharap setiap anggota dapat melaksanakan tugas dengan baik."

"Kini hanya tinggal tujuh hektar saja lagi dan ini menunjukkan ia bukanlah sebuah kawasan yang besar," katanya pada sidang media selepas bertemu dengan pemimpin di kawasan yang terjejas akibat kebakaran itu, semalam.

Snezhinsk yang terletak 1,500 kilometer di timur Moscow itu merupakan bandar yang menempatkan pusat penyelidikan nuklear utama di negara ini.

Pusat nuklear utama Rusia lain yang terletak di Sarov, wilayah Nizhny Novgorod sebelum ini turut terancam akibat kebakaran tersebut namun, dalam pertemuan itu semalam, Shiogo berkata, pembakaran di sekitar bandar itu telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba.

Shiogo berkata, kerajaan telah mengeluar serta memindahkan segala alat radioaktif dan bahan letupan dari tapak pusat penyelidikan yang dibimbangi terjejas akibat kebakaran hutan berkenaan. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...