terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 17, 2010

Anak yatim hanya istimewa pada bulan Ramadan?


HARI ini hari kelima Ramadan. Lagu raya berkumandang di sana-sini. Hari ini bukan hari pertama lagu raya bergema. Iramanya ada di mana-mana sebelum anak bulan diteropong. Di pusat beli-belah dan di televisyen, irama lagu raya sememangnya kedengaran. Iklan raya juga begitu. Agak lucu, barang-barang yang tidak perlu untuk perayaan turut diberi diskaun hebat. Itulah penangan persiapan raya sehingga kadang-kadang menenggelamkan fadilat serta seribu satu macam nikmat bulan Ramadan.

Sepanjang lima hari berpuasa, berita yang dibaca hampir sama dengan musim-musim puasa yang lalu. Hari pertama bubur lambuk, polis trafik berbuka sambil bertugas, mercun, ditangkap kerana tidak berpuasa, berbuka di hotel tidak halal, berbuka bersama VIP di hotel dan macam-macam lagi.

Tiada yang baru. Maklumlah puasa setahun sekali maka pengulangan catatan itu tidak menimbulkan rasa bosan di kalangan pembaca kerana peristiwa seperti itu tidak berlaku pada 11 bulan yang lain.

Ramadan juga bulan anak-anak yatim diraikan di sana-sini. Bukan saja anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya juga menjadi tetamu istimewa majlis berbuka puasa. Mereka diraikan di hotel-hotel besar tetapi biasanya yang meraikan mendapat layanan istimewa berbanding tetamu yang diraikan. Pelik juga, daripada 12 bulan kalendar Islam, golongan itu hanya menjadi perhatian malah adakalanya jadi rebutan pada Ramadan dan Syawal. Adakah pahala bersedekah dan meraikan golongan istimewa pada kedua-dua bulan lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain? Atau bulan-bulan lain golongan tersebut tersisih daripada jadual korporat?

Beratur

Biar pun istimewa, anak-anak yatim atau warga tua biasanya melalui prosedur orang biasa. Mereka beratur mengambil makanan sebelum berbuka, manakala di meja VIP hidangan disaji rapi. Tidak diketahui apa sebenarnya motif meraikan anak yatim di hotel. Seorang warga tua pernah menelefon mencurahkan rasa. Dia dijemput berbuka di hotel oleh sebuah korporat. Tiba masanya bukan dia dan rakan-rakannya yang diraikan tetapi VIP korporat itu asyik dengan kelompoknya sendiri. Mereka menikmati juadah yang terhidang tanpa peduli mak cik-mak cik yang terpaksa berbaris mengambil makanan. Terbalik pula jadinya. Itu kisah anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya yang kehadiran mereka amat dirasai sepanjang Ramadan dan Syawal.

Satu lagi tabiat yang menjadi-jadi pada bulan puasa tahun-tahun kebelakangan ini adalah sikap tidak menghormati bulan Ramadan. Yang tidak hormat itu bukan orang bukan Islam. Sebaliknya yang tidak hormat itu adalah orang Islam yang diberi pengecualian berpuasa. Golongan wanita yang uzur misalnya tidak malu atau tidak teragak-agak makan di medan selera pusat beli-belah. Mereka juga selamba beratur di restoran makanan segera. Biar pun dikecualikan daripada berpuasa namun bukan bermakna golongan itu boleh bersikap lepas laku tanpa memikirkan kesannya kepada Islam itu sendiri. Apatah lagi makan di khalayak ramai, seolah-olah tidak ada tempat lain untuk mereka mengisi perut yang sebenarnya tidak selapar mana pun. Seolah-olah boleh mati kebuluran jika tak makan.

Islam tidak rigid. Mereka yang mendapat pengecualian dan keistimewaan tidak dihalang daripada makan atau minum tetapi kena ada batasan, tata susila mesti dijaga. Seorang rakan berketurunan Tionghua pada hari kedua Ramadan menitip satu catatan berbunyi: ''Tanpa disedari dua hari saya telah 'berpuasa'. Rakan-rakan Muslim memberitahu saya tidak perlu berbuat demikian. Bukankah pelik untuk makan dan minum ketika orang lain berpuasa. Apa yang saya buat (berpuasa) kerana menghormati orang lain yang berpuasa, itu lebih penting.''

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...