terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 3, 2010

‘Ayah, kenapa lelaki tu buka seluar kakak tu,?”


SAYA membesar bersama drama Opah. Hingga ke hari ini, seingat saya drama itu menyajikan banyak unsur positif dalam masyarakat Melayu. Walaupun ada konflik timbul dalam keluarga Opah, misalnya perkahwinan campur, ia perencah menyedapkan jalan cerita. Seingat saya juga, tidak ada insiden ganas di dalamnya, walaupun drama itu sudah pun berakhir tayangannya lebih 20 tahun lalu, ia tetap indah dalam ingatan saya.

Membandingkan dengan cerita Opah, hari ini, adegan rogol ke atas wanita dewasa atau kanak-kanak kecil, hubungan bebas antara lelaki dan wanita serta tengking-menengking dalam ahli keluarga, antara adegan popular menjadi rencah dalam drama Melayu. Tidak perlu saya sebutkan nama drama secara khusus, kerana sekiranya anda menonton televisyen, pasti ada sekurang-kurangnya satu daripada benda negatif itu dipaparkan.

Sebagai ibu, saya cukup sedih dengan perkara ini, malah tidak faham kenapa ia dipaparkan, kerana drama seharusnya mempertontonkan nilai murni untuk dijadikan teladan, serta mendidik masyarakat.

Tetapi apabila menonton adegan begitu, menjadikan saya tertanya-tanya, adakah teruk sangat keluarga Melayu di Malaysia? Hari ini paparan cerita hidup aman harmoni, boleh dikira dengan jari, itupun apabila tiba Ramadan, tetapi apabila tiba Syawal, kisah gelap seperti mat motor menjadi hidangan?

Saya masih ingat satu surat pembaca disiarkan dalam Berita Harian sedikit masa lalu, memberikan komen mengenai sebuah filem berkisar lumba haram. Bapa itu meluahkan rasa kesalnya apabila adegan sumbang dimuatkan ke dalam filem itu.

Lebih mengejutkan kata bapa itu, anaknya tiba-tiba bertanya kepadanya, ‘Ayah, kenapa lelaki tu buka seluar kakak tu,?” Sebagai ibu bapa, berapa ramai di antara kita yang tahu memberikan jawapan sempurna, supaya si kecil tidak tertanya-tanya? Dan saya pasti ramai antara ibu bapa yang akan menjawab ‘orang jahat tu’ atau ‘berlakon aje tu’.
Polis Kuala Lumpur mendedahkan, seramai 3,263 pelajar sekolah ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam 2,003 kes salah laku. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terbabit dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan mencuri motosikal.

Statistik ini dikatakan semakin meningkat tiap tahun cukup untuk membuktikan tahap masalah sosial remaja kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia bebas tanpa sempadan.

Antara punca masalah sosial melanda remaja dan belia ialah pengaruh negatif rancangan televisyen yang boleh dikategori sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan mula menguasai minda dan pemikiran anak kita dengan nilai yang jauh bertentangan dengan adat ketimuran yang kemudian mempengaruhi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterisme dipaparkan dalam televisyen sama ada menerusi drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan menjadi ‘guru’ kepada remaja. Itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda-mudi zaman sekarang.

Mereka mencontohi semua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh cukup kuat terhadap penonton. Ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi terkenal.

Magic Bullet Theory yang diperkenalkan Katz dan Lazarsfeld pada 1955 misalnya mengandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru dengan penonton cenderung untuk percaya semua perkara dilihat, sekali gus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

Sememangnya pakar psikologi menyatakan ibu bapa perlu memantau apa yang ditonton oleh anak-anak, tetapi cuba anda bertanyakan kepada diri sendiri, berapa ramai daripada kita yang melakukan tugas sebegitu? Dan adakah kita sendiri tahu bentuk nasihat yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak kecil yang menonton itu?

Belum habis kita lontarkan nasihat, mereka akan bertanya kembali, seperti pernah anak saya, Najah bertanya kembali kepada saya, “Mama, kalau salah kenapa disiarkan di televisyen,?” Mati kutu juga kita dibuatnya.

Penyelesaian mudah ialah menutup televisyen. Tetapi berapa ramai yang sudah melakukannya? Hari ini kita perlu akur televisyen yang mendidik kanak-kanak dan bukannya ibu bapa. Televisyen melayani dengan tekun dan memberi layanan memuaskan hati kanak-kanak tanpa berasa gusar atau bosan walau sesaat. Kepada pihak berkaitan, cubalah menghasilkan drama Melayu yang boleh membina pemikiran generasi muda, bukan sekadar hiburan ringan yang tidak memberikan sebarang input.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup sebagai sumber maklumat, tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan seisi keluarga. Dalam hal ini, diharapkan kementerian dan Lembaga Penapisan Filem memainkan peranan lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama kurang sihat di negara ini.

INFO

NEGATIF

  • Ibrahim M Hefzallah dalam bukunya, Critical Viewing of Television menyatakan, televisyen memaparkan hubungan seks yang berulang kali. Seks yang biasa ditunjukkan bukan hanya dalam cerita kartun, tetapi cerita realiti juga sehingga ada unsur cinta si hero dan heroin berakhir di ranjang katil bagi menunjukkan bahawa itu adalah tanda cinta sejati. Perkara itu jika sentiasa berulang dalam kehidupan si cilik, mereka akan menganggap ia adalah perkara lumrah atau biasa.

  • Akademi Pediatrik Amerika menyarankan supaya televisyen diharamkan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Rasionalnya, dalam tempoh dua tahun pertama bayi memerlukan sentuhan manusia dan bukan didikan imej di televisyen.

  • Pakar Perkembangan Hemisfera Otak Universiti Chicago, Dr Jerre Levy, berkata kemahiran bahasa boleh dirangsang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa dan bukannya menonton televisyen. Ini kerana menonton televisyen adalah proses interaksi sehala saja iaitu televisyen menayangkan rancangan, manakala si cilik sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif.

  • Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof



    1 comment:

    1. patutnya filem berkisar lumba haram hanya boleh ditonton oleh org dewasa.ibubp perlu peka berkenaan perkara ini.

      ReplyDelete

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...