terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 14, 2010

Bajet Ramadan: Pengguna, peniaga guna cara sendiri tangani kos


Umat Islam negara ini akan menyambut Ramadan pertama selepas pelarasan subsidi berkuat kuasa bulan lalu dengan para peniaga dan pengguna sudah memikirkan cara tersendiri untuk menghadapi kenaikan kos dan harga barang.

Mulai minggu hadapan, umat Islam akan menunaikan puasa sempena Ramadan dan kemudian disusuli bulan Syawal.

Pengumuman penurunan subsidi gula dan bahan api dijangka memberi kesan kenaikan beberapa barang keperluan berbanding tahun lalu.

Tinjauan The Malaysian Insider di ibu negara menunjukkan rata-rata sebahagian besar pengguna mula bersedia menghadapi Ramadan secara sederhana dan pendekatan yang sama dijangka berterusan ketika Aidilfitri.

Salah seorang yang ditemui, Rosmah Johari, 36, mengakui kos keperluan hidup yang meningkat membuatkan dia berhasrat menyambut Ramadan tanpa persiapan istimewa.

“Sekarang minyak naik. Kalau puasa jatuh hari Rabu tak dapat balik kampung sambut puasa. Sama sahaja, bezanya duit makan tengah hari belanja untuk buka puasa,” kata pekerja bank ketika ditemui di sebuah restoran di Cheras.

Rosmah berpendapat mungkin peniaga pasar Ramadan tahun ini turut mengambil kesempatan menaikkan harga juadah berbuka puasa kerana kenaikan harga petrol, gas dan gula.

“Mereka (peniaga) mungkin menaikkan harga, jadi saya rasa kena berbelanja lebih sikit bulan puasa tahun ini,”katanya.

Bagi kakitangan kerajaan, Norlaily Osman, 24, bulan Ramadan kali ini merupakan yang pertama baginya setelah bergelar isteri.

“Pertama kali puasa dengan suami. Agak lain sikitlah, dulu masa bujang boleh ikut suka hati nak makan apa dan di mana pun... sekarang kena fikir dan ikut suami,” katanya.

Apabila ditanya mengenai bajet untuk persiapan Ramadan ini, Norlaily berkata perkara itu akan dibincang bersama suaminya.

Suri rumah Hashimah Shamsuldin, 47, pula menyatakan keluarganya tidak berbelanja banyak untuk bulan Ramadan kerana menggunakan wang untuk persiapan Aidilfitri.

“Kakak guna banyak duit untuk Hari Raya. Tahulah, nak beli baju, langsir, duit raya untuk anak-anak. Bulan puasa ni akak belanja sikit je, tak sampai RM1,000,” jelasnya.

Dia menyifatkan kenaikan harga sebagai lumrah kerana setiap kali tiba musim perayaan, harga barang keperluan, terutamanya makanan akan meningkat.

“Cuba tengok, masa bulan puasa harga kuih naik, masa nak raya harga daging dan ayam pun naik. Sekarang keluarga rasa senang sedikit sebab anak akak dah bekerja dan tolong sikit-sikit,” ujarnya.

Raja Kahiry Raja Arshad, 48, seorang kakitangan syarikat swasta pula berkata peningkatan kos hidup di Kuala Lumpur memang dirasai oleh semua.

Katanya, perbelanjaan sepanjang bulan puasa ini sebenarnya sama sahaja dengan bulan lain, tetapi yang menjadikannya nampak banyak adalah persiapan Hari Raya.

“Sebab kita beli barang nak raya masa bulan puasa, jadi sebab tu belanja kita naik. Takkan nak beli kuih, baju, kain masa bulan Syawal pulak,” seloroh beliau.

Bagaimanapun Raja Kahiry mengakui, tahun demi tahun dia terpaksa berbelanja lebih banyak.

“Dua puluh tahun dulu masa saya (mula) kerja di sini, walau gaji RM1,000 lebih, boleh hidup mewah. Sekarang, orang gaji RM3,500 pun tak cukup. Terutama bagi yang ada anak,” katanya.

Dia memperuntukkan kira-kira RM2,000 untuk persiapan puasa dan raya tahun ini dan memberi pendapat harga barang makanan akan meningkat pada bulan puasa ini.

Bagi kaum peniaga pula, Ramadan merupakan waktu mereka mengubah cara operasi mereka.

Ini kerana, pelanggan beragama Islam tidak akan mengunjungi kedai makan pada waktu siang lantaran undang-undang yang membolehkan seseorang umat Islam ditangkap jika makan di khalayak ramai.

Siti Aishah Abdul Wahid, 54, akan menutup gerai nasi lemaknya sepanjang bulan Ramadan untuk berniaga nasi berlauk di tapak pasar Ramadan.

Menurutnya, walaupun pelanggan gerai nasi lemaknya terdiri dari berbilang kaum, permintaan yang terlalu sedikit menyebabkan dia terpaksa menumpu pada gerainya di pasar Ramadan.

“Biasa boleh habis dalam 120 bungkus macam hari ni, tapi kalau bulan puasa orang Melayu tak beli, laku sikit sahaja,” terang beliau.

Dia yang turut dibantu dua anak perempuannya berkata, terlalu jauh perbezaan antara harga makanan masa kini dan 13 tahun lalu semasa mula-mula berniaga.

“Dulu sebungkus nasi lemak boleh jual 60 hingga 80 sen. Sekarang terpaksa jual RM1.50 sebungkus, itupun takde lauk,” katanya.

Menurut Siti Aishah, kos bahan mentah untuk makanan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun memaksa peniaga menaikkan harga bagi keperluan semasa.

Pengurus restoran ABC di Cheras, Yusof A. Majeed, 39, pula berkata, tidak banyak perubahan dilakukan di kedai itu.

Menurut Yusof, kedainya beroperasi selama 24 jam dan kebanyakan pelanggan datang pada waktu malam, dari pukul 10 malam ke 4 pagi.

“Sama saja. kita buka macam biasa. Orang memang suka datang malam-malam,” katanya.

Ditanya mengenai kenaikan harga makanan dan barang, dia berkata restoran itu tidak menaikkan harga langsung kali ini kerana tidak mahu membebankan pelanggan.

“Dulu kita naik tahun lepas 10 sen saja sebab gula sudah naik. Kami kata tak apa, pelanggan kena jaga. Untung juga walau tak naik,” katanya.

Pemilik restoran Kafe Bonda, Wan Nur Nadia Wan Mohd Alwi, 42, pula berkata akan mengubah waktu operasi perniagaannya.

“Dulu buka pukul 8.30 pagi sampai 10 malam, tapi sebab bulan puasa kita bukak pukul 6 sampai pukul 2 pagi,” katanya.

Dia berkata tidak akan menaikkan harga buat masa ini kerana masih tidak menjejaskan keuntungan kafenya.

Bagaimanapun Wan Nur Nadia berpendapat peniaga boleh menaikkan harga secara berpatutan jika barang mentah dan masak turut naik.

Oleh Radzi Razak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...