terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 23, 2010

Baru hari ini ku tahu rupa2nya kertas ujian UPSR disekolah Cina direndahkan tahap kesukarannya!!!


Pihak pengurusan sekolah-sekolah vernakular terutamanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diminta tidak menilai dari sudut sempit perkauman berhubung isu penempatan guru-guru Melayu di sekolah itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, isu penempatan guru Melayu tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu perkauman kerana ia sama sekali tidak menjejaskan masa depan bahasa Mandarin di SJKC.

Lebih buruk, katanya, perkara itu hanya membangkitkan sensitiviti perkauman dan sama sekali tidak membantu hasrat kerajaan untuk melaksanakan dasar bahasa kebangsaan.

"Apa perasaan mereka jika kita tolak guru Cina yang mengajar bahasa Mandarin di sekolah-sekolah kebangsaan? Tentunya mereka merasa sensitif. Ini bukan soal kaum tetapi tentang kualiti guru.

"Sampai bila tahap peperiksaan yang diambil mereka terpaksa direndahkan? Sampai bila mereka perlu mengikuti kelas pemulihan apabila masuk ke sekolah menengah kebangsaan akibat lemah berbahasa Melayu? Ini yang perlu kita fikirkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam wawancara disiarkan Mingguan Malaysia hari ini, beliau mendedahkan terdapat sekolah vernakular terutamanya SJKC enggan menerima guru Melayu mengajar bahasa Melayu dan tetap mahukan guru kaum Cina menjalankan tugas itu walaupun mereka bukan pakar dalam bahasa berkenaan.

Beliau dalam wawancara sama turut mendedahkan pelajar di sekolah vernakular ketika ini mengambil kertas Bahasa Melayu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tahap kesukarannya lebih rendah berbanding pelajar di sekolah kebangsaan walaupun pengiraan grednya sama.

Mohd. Puad menambah, Kementerian Pelajaran bagaimanapun tetap akan menempatkan guru-guru yang memang terlatih untuk mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular walaupun guru-guru itu berketurunan Melayu.

"Pihak pengurusan sekolah, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bersikap lebih terbuka dan memberi kerjasama kepada kementerian untuk menerima guru-guru Melayu bagi memastikan pelajar dapat menimba ilmu daripada guru-guru berkelayakan,'' katanya.

Ditanya kemungkinan timbul persepsi tidak adil berhubung penyediaan kertas soalan bertahap lebih rendah subjek Bahasa Melayu untuk sekolah-sekolah vernakular, Mohd. Puad menjelaskan kementerian sememangnya berhasrat menyamakan tahap peperiksaan di antara sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan sebelum ini.

"Itulah yang hendak kita terap dalam dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita hendak samakan tahap tetapi ditolak bulat-bulat oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina seperti Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong).

"Sepatutnya ia diterima dengan terbuka kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan. Kertas cadangan pun sudah siap untuk ia dilaksanakan pada 2012 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ditentang NGO-NGO itu,'' jelasnya.

Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan tetap komited untuk melaksanakan hasrat itu.

"Kaum Iban, Kadazan serta Orang Asli yang belajar di sekolah kebangsaan juga mengambil peperiksaan di tahap lebih tinggi. Jadi, kita mahu meneruskan hasrat itu," katanya.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

1 comment:

  1. Aku dah banyak kali cakap pasal ni. Patutnya tak ada sekolah aliran lain dalam Malaysia tercinta ni. Kan bahasa manarin dan tamil dah ditawarkan kat sekolah kebangsaan. Ni la kalau cakap sikit pasal bangsa dia, mencanak marah. Takut bahasa ibunda terhapus konon. Tapi dimana kedudukan bahasa Melayu pada mereka. Disini boleh dipertikai tahap patriotik dalam diri mereka. Semua boleh cakap Cinta Malaysia. Tapi apa yang dah ditunjukkan kearah itu. Hanya sekerat dua ja yang ada semangat skit. Tu pun sebab ada kawan bangsa melayu atau dok meniaga kat kampung melayu. Cuba p sekolah cina atau tamil dan buat temuramah ngan murid dia tentang topik yang bebas tanpa dinyatakan. Pilih pelajar secara rawak tanpa diberitahu. Pasti hasilnya memilukan.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...