terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 27, 2010

Bedebah!!! Tak hormat Ramadan!!


SHAH ALAM: Bungkus dan makan di lokasi tersorok atau memberanikan diri makan di kedai makan yang beroperasi pada waktu siang – itulah antara sikap segelintir umat Islam yang enggan berpuasa atau menghormati Ramadan.

Tinjauan Sentral di satu lokasi di Seksyen 7, mendapati ada individu membeli makanan untuk dibungkus seawal jam 1 tengah hari sedangkan waktu berbuka puasa sekitar jam 7.20 petang

Sentral yang menunggu satu jam di lokasi mendapati enam penunggang motosikal berhenti di hadapan kedai dan meninggalkan semula kedai itu dengan bungkusan makanan di tangan

Tidak ada perasaan takut mahupun segan apabila mereka dilihat memasuki kedai itu dengan selamba untuk membeli makanan.

Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Mira mendakwa beliau pernah terserempak remaja menunggang motosikal membeli makanan bungkus di kedai itu secara tergesa-gesa.

“Saya tidak tahu niat pemuda berkenaan sama ada mahu terus makan atau simpan makanan itu untuk hidangan berbuka puasa.

“Agak menghairankan kerana makanan itu dibeli pada waktu tengah hari dan ia agak awal untuk hidangan berbuka puasa,” katanya sambil berharap amalan tidak berpuasa itu tidak berleluasa dalam masyarakat Islam kerana ia berdosa dan memalukan.
Katanya, agak keterlaluan jika ada masyarakat Islam yang membungkus makanan dengan niat menjamahnya pada waktu siang walaupun bukan di khalayak ramai.

“Ramadan hanya datang sekali dan sepatutnya kita banyakkan amalan pada bulan mulia ini. Tunjukkanlah teladan kepada masyarakat apabila kita berpuasa,” katanya.

Pelajar, Mohd Hilmi Basal, 23, pula berpendapat tindakan pihak berkuasa agama sudah cukup tegas terhadap mereka yang tidak berpuasa tetapi masih ada umat Islam yang melanggar perintah Allah.

“Saya harap pihak berkuasa agama dapat mengenakan tindakan setimpal ke atas mereka yang membeli makanan bungkus dan benar-benar tidak berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, peniaga yang beroperasi pada sebelah siang untuk menjual makanan kepada bukan Islam juga perlu peka kepada mereka yang mengambil kesempatan untuk membeli makanan daripada mereka.

Katanya, walaupun pelbagai tindakan sudah diambil kepada mereka yang tidak berpuasa, kesedaran kepentingan berpuasa perlu hadir daripada diri sendiri.

“Denda atau tindakan tegas daripada majlis agama Islam antara tindakan yang baik tetapi ia tidak akan membawa sebarang makna jika mereka tidak insaf,” katanya.

Sementara itu, sehingga kelmarin, tiada tangkapan terbaru selain 17 orang yang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tidak berpuasa dalam tempoh lapan hari puasa Ramadan.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman, berkata mereka ditahan kerana makan dan minum di tempat terbuka antaranya kopitiam, restoran India, restoran Cina dan premis kilang.

Katanya, mereka ditahan kerana melanggar Enakmen Jenayah Syariah 1995 Seksyen 19 iaitu makan, minum atau menghisap rokok di tempat terbuka atau tempat awam pada Ramadan.

“Selain 17 tangkapan ini, JAIS turut memberikan arahan untuk beredar kepada 41 individu yang berada di restoran selain diberikan nasihat berhubung kewajipan berpuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nurhamizah berkata, JAIS sehubungan itu memohon kerjasama masyarakat agar melaporkan sebarang kegiatan membabitkan orang Islam yang tidak berpuasa melalui hotline JAIS di 1800-88-2424.

Katanya, mereka yang mengetahui lokasi mana-mana premis yang sengaja menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa boleh membuat aduan terus kepada JAIS.

Beliau seterusnya meminta wanita yang uzur dan tidak boleh berpuasa agar menghormati Ramadan dengan tidak makan atau minum di khalayak ramai.

“Kita akan terus memantau kegiatan umat Islam yang tidak berpuasa setiap hari sepanjang Ramadan ini di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti melalui sistem penggiliran rondaan JAIS.

“Antara kawasan terbabit adalah sekitar Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya

Oleh Nor Hatina Shuib dan Nor Azizah Mokhtar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...