terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 2, 2010

Benarkan pelajar aktif politik


Membenarkan guru-guru menyertai politik adalah perkembangan yang sangat positif, bahkan tidak keterlaluan jika ia dianggap sebagai tindakan paling bijak pernah dilaksanakan oleh pemerintah setelah sekian lama.

Sebenarnya jika boleh dalam tempoh terdekat ini, bukan sahaja guru bahkan sesiapa sahaja yang layak mengundi harus mempunyai peluang yang saksama untuk aktif berpolitik.

Kerajaan yang matang sudah tidak perlu gentar kepada persaingan politik yang sihat dan terbuka, lebih-lebih lagi pada zaman yang serba canggih hari ini.

Terlalu banyak maklumat alternatif yang sedia ada di luar sana yang boleh dijana, digarap dan disimpulkan oleh rakyat, dan mereka sudah matang untuk membuat keputusan.

Keputusan mereka tidak semestinya betul atau bijak tetapi mereka tetap akan membuat keputusan apabila tiba masanya memangkah kertas undi.

Sekiranya kerajaan pemerintah berada di landasan yang betul dan ikhlas melaksanakan agenda untuk rakyat mereka, pengundi yang aktif berpolitik sudah pasti tidak akan berubah hati apabila memangkah. Dan semua ini kosnya hampir percuma.

Golongan pelajar merupakan sumber undi terbesar yang boleh diraih oleh pemerintah. Malang sekali pada hari ini golongan inilah yang paling dianak-tirikan dan paling ditakuti.

Alasan pelajar tidak boleh berpolitik kerana pelajaran mereka akan terganggu sebenarnya agak lucu, amat prejudis dan kebiasaannya pasti mengundang sentimen anti-kerajaan yang kuat.

Agak pelik sebenarnya apabila pelajar yang sama sangat digalakkan aktif berpersatuan, memegang jawatan penting semenjak di bangku sekolah rendah, tetapi akhirnya diharamkan menyertai pergerakan politik semasa apabila mereka maju menuju institusi-institusi pengajian tinggi.

Pelajar yang sama telah membuktikan kehebatan mereka belajar dan aktif berpersatuan tanpa sebarang masalah tetapi sekarang mereka dihalang pula.

Golongan berpelajaran tinggi adalah sumber tenaga yang sekian lama telah diabaikan oleh pemerintah, dan golongan ini yang telah diharamkan berpolitik akan keluar menempuh alam pekerjaan dan dengan membawa bersama idea politik yang merbahaya: “Kerajaan sekarang tidak bagus”.

Apabila ini berlaku, sebenarnya sudah terlewat bagi mana-mana kerajaan pun untuk mengubah pegangan politik golongan sebegini.

Kerajaan pemerintah sekarang diharap sentiasa terbuka dan matang dalam berpolitik, terutamanya apabila berhadapan saingan politik lain yang rata-ratanya masih terlalu mentah menjadi pemerintah, tetapi memiliki sokongan akar umbi yang hebat-hebat belaka.

Guru, pelajar, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan yang lain kini sudah begitu ketandusan medan untuk merealisasikan semangat patriotisme mereka. Medan politik sepatutnya menjadi medan perjuangan yang ditunggu-tunggu.

MOHD. RIZAL JAAPAR

Puchong, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...