terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 22, 2010

Beras RM 27 sekilo, telur RM 12 sedozen..Ada bran nak beli????


Bayangkan jika kita terpaksa berbelanja sehingga AS$43 (RM138) hanya untuk makan tengah hari di sebuah restoran biasa. Itu belum termasuk belanja penginapan membeli-belah dan pelbagai lagi yang perlu ditanggung sepanjang percutian.

Maka anda perlu membuat pilihan bijak untuk melancong terutama di negara-negara Barat yang sememangnya terkenal dengan keindahan bangunan-bangunan lama serta sejarah lampau.

Menurut laporan ECA International (Employment Conditions Abroad) sebuah firma yang mengkhusus kepada penyediaan data, servis dan penyelesaian untuk sumber manusia, bandar-bandar di Amerika Syarikat (AS) dan Britain bukan lagi tergolong dalam senarai negara paling mahal di dunia.

Apatah lagi kedudukan bandar ini banyak dipengaruhi oleh faktor turun naik nilai mata wang negara masing-masing.

Data-data yang dikeluarkan oleh ECA International meliputi soal gaji, kualiti hidup, kemudahan yang disediakan dan pelbagai lagi telah memilih Tokyo sebagai bandar yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi di dunia.

Pemilihan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sejak sekian lama bandar-bandar di Jepun sering mendahului sebagai antara bandar termahal dunia.

Perbandingan dibuat bersandarkan kepada harga makanan asas seperti beras, telur, harga makanan tengah hari serta harga barangan elektrik yang dijual di sesebuah bandar.

Sebagai contoh, makan tengah hari di restoran biasa di Tokyo sekitar AS$18 (RM58), beras sekilo AS$8.47 (RM27), dan telur sedozen AS$3.78 (RM12). Malah sewa sebuah apartmen dua bilik di tengah bandar Tokyo melebihi AS$5,000 (RM16,000).

Kos sara hidup yang tinggi ini banyak disumbangkan oleh kenaikan mata wang Yen yang lebih baik berbanding lain-lain mata wang dunia.

Dibandingkan dengan bandar kedua paling mahal iaitu Oslo Norway, harga beras sekilo adalah AS$5.66 (RM18) dan telur sedozen $6.72 (RM21) lebih murah jika dibandingkan dengan Tokyo.

Tetapi dibandingkan harga makan tengah hari di restoran biasa, ia mencecah sehingga AS$43 (RM138).

Bagi kedudukan ketiga, mungkin ada yang tidak percaya namun bandar Luanda di Angola merupakan antara bandar yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi di dunia.

Luanda merupakan satu-satunya bandar besar di Angola dan majoriti kehidupan rakyatnya masih di bawah kemiskinan iaitu pada paras 57 peratus.

Kemudahan-kemudahan lain juga sangat teruk contohnya sistem pengangkutan yang caca marba dan kualiti air bersih yang terhad.

Apatah lagi hampir kesemua kemudahannya musnah akibat dari perang saudara yang berlaku dari 1975 hingga 2002.

Namun semua ini tidak memberi kesan kepada keadaan kos sara hidup mereka yang tinggi memandangkan harga sekilo beras adalah $4.73 (RM15) dan sedozen telur $4.75 (RM15). Bayangkan pula harga makan tengah hari di restorannya pula mencecah sehingga AS$47 (RM150).

Jepun merupakan negara paling banyak memiliki bandar-bandar yang kos sara hidupnya tinggi. Selain Tokyo, Nagoya Yokohama dan Kobe menduduki tempat ke empat, lima dan tujuh.

Selain itu hanya bandar Seoul yang tersenarai di kedudukan ke-20 bagi mewakili negara-negara Asia.

Dari 30 negara yang disenaraikan ECA International sebagai bandar-bandar paling mahal, majoritinya dikuasai oleh negara-negara Eropah.

Bandar Stavanger yang lebih dikenali sebagai bandar minyak Norway menduduki tempat keenam manakala Copenhagen, Denmark pula berada di tempat kelapan.

Empat bandar di Switzerland iaitu Geneva, Zurich, Bern dan Basel menduduki tempat ke sembilan hingga ke 12.

Selain itu empat bandar dari negara Afrika turut tersenarai di antara bandar termahal iaitu Libreville di Gabon yang berada di tempat ke-13, Abidjen di Ivory Coast, di kedudukan ke-17, Abuja di Nigeria yang berada di tempat ke-18 dan Kinshasa, Congo.

Sejarah hitam melibatkan perang saudara yang panjang selain keadaan politik tidak stabil menyebabkan situasi ekonominya belum pulih sepenuhnya. Ini mengakibatkan kebanyakan barangan keperluan utama terpaksa diimport dari luar.

termahal

Mungkin kita menyangkakan bandar-bandar besar di AS seperti New York dan Los Angeles menduduki antara bandar termahal dunia namun kenyataan itu jauh meleset.

New York hanya menduduki tempat ke-29 dalam senarai dan bandar itu adalah satu-satunya dari AS yang tersenarai dan semua ini berlaku kerana mata wang AS yang lemah jika dibandingkan dengan mata wang lain.

Begitu yang berlaku kepada bandar-bandar ternama lain seperti London, Madrid, Rom dan lain-lain langsung tidak tersenarai. Hanya Moscow dan Paris yang tersenarai dengan menduduki tempat ke-15 dan 16.

Satu-satunya bandar di Amerika Latin yang tersenarai adalah Rio di Janeiro di Brazil yang menduduki tempat ke-28.

Bagi kedudukan negara paling murah dari segi kos sara hidup, bandar Harare di Zimbabwe menduduki tempat teratas akibat dari kedudukan ekonominya yang tenat. Jumlah penganggurannya mencecah 94 peratus dan inflasinya pula mencecah 150 peratus.

Sembilan negara lain yang turut tersenarai dalam kedudukan ini adalah Tianjin di China, Sana'a di Yaman, Buenos Aires di Argentina, Thimphu di Bhutan, Dushanbe di Tajikistan, Colombo di Sri Lanka, Phnom Penh di Kemboja, Quito di Ecuador dan bandar Karachi di Pakistan.

Keadaan ini berlaku akibat dari kadar mata wang yang murah, keadaan politik yang tidak stabil, jenayah yang berleluasa, peperangan yang berlanjutan dan pelbagai lagi. Namun bukan semua bandar ini berada dalam keadaan yang dinyatakan.

Walaupun dari segi harga makanan dan penginapan adalah lebih murah namun bandar-bandar ini tidak begitu menjamin dari segi keselamatannya. Malah kemungkinan untuk ditipu, dirompak mahupun diculik adalah sangat tinggi.

Pastinya dengan kejatuhan mata wang, bandar-bandar ternama seperti London, New York dan Paris boleh menjadi destinasi pilihan utama memandangkan mata wang mereka yang agak murah berbanding sebelum ini.

Namun yang pasti semuanya terpulang kepada kemampuan "poket", jika kembung poketnya semakin jauhlah perjalanan untuk diharungi.

Oleh Hafizahril Hamid

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...