terima kasih buat kalian semua..

Thursday, August 12, 2010

Cerita orang perempuan di bulan Ramadan


Ramadan bulan baraqah

Tuntut ibadah penuh di dada

Kuatkan iman, gandakan sedekah

Semoga pahala berlipat ganda

Selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa saya ucapkan. Semoga hari-hari yang dilalui sepanjang bulan ini memberi kita lebih ketakwaan dan keimanan.

Ramadan bulan untuk menyempurnakan ibadah puasa dan meningkatkan amal ibadah, bersolat, terawih, bersedekah, membantu mereka yang memerlukan antara perkara baik-baik yang dilakukan sepanjang bulan ini.

Kedatangan Ramadan juga menambah tanggungjawab kaum wanita. Bagi yang bekerja tentunya merasakan beban tanggungjawab semakin bertambah.

Di rumah tumpuan diperlukan untuk menyediakan makanan untuk dua perkara utama, berbuka dan bersahur di samping tugas hakiki.

Untung mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa kerana dapat berehat setelah penat mengurus rumah tangga.

Tetapi bagi mereka yang bekerja, bukan alasan untuk tidak melakukan yang terbaik buat keluarga pada bulan Ramadan ini.

Segala-galanya terletak kepada pengurusan masa sebagai isteri dan ibu juga pekerja.

Saya percaya wanita yang bijak boleh mengimbangi waktu untuk segala urusan penting itu termasuk tugas di pejabat dan di rumah.

Ada isteri merungut tidak cukup tidur, terpaksa bangun awal untuk memasak makanan sahur kemudian menguruskan anak-anak ke sekolah dan terus ke pejabat.

Sampai di pejabat wajah tidak ceria, asyik menguap dan sesekali muka tersengguk-sengguk ke meja kerana mengantuk.

Seperti yang saya katakan tadi, pengurusan masa itu penting. Jika tidak kerana bulan Ramadan, sebagai isteri dan ibu kita juga perlu bangun awal untuk bersolat dan uruskan anak-anak ke sekolah.

Saya tidak nampak ada masalah di situ. Pokok pangkalnya terletak kepada hati dan usaha seseorang itu untuk melakukan yang terbaik tanpa menyalahkan sesiapa.

Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih. Bulan Ramadan bulan menghimpun segala pahala yang dilakukan. Bertadarus, terawih, bersedekah, menjamu fakir miskin makan antara perbuatan baik yang perlu dilipatgandakan sepanjang bulan ini.

Buat seketika tinggalkan aktiviti-aktiviti yang selalu dilakukan pada hari-hari biasa bagi menghormati bulan mulia ini. Fokus kepada satu perkara, berbual amal sebanyak mungkin untuk menambah pahala.

Pembaca budiman

Saya percaya ramai di kalangan wanita telah berkira-kira tentang apa yang akan mereka lakukan sepanjang Ramadan ini selain daripada mengurus rumah tangga.

Bagi yang bekerja kebanyakannya memilih untuk buat kerja sambilan mencari duit raya. Jual kuih, tudung, pakaian, aksesori menjadi fenomena biasa di kalangan wanita bekerja.

Sebulan sebelum puasa, contoh aneka biskut raya, kerepek dan manisan tersusun di atas meja untuk di jamah dan di rasa oleh kawan-kawan. Siap bertulis harga dan tarikh akhir tempahan sekali.

Di surau pula, setiap sudut dipenuhi pelbagai beg yang sarat dengan tudung, pakaian dan aksesori.

Sekali pandang surau sudah menjadi seperti stor menyimpan barang. Setiap orang yang masuk bersolat, jika teringin boleh menjamu mata, tiada siapa melarang. Jika berkenan boleh terus diambil.

Pada waktu Zuhur biasanya sesetengah surau pejabat mengadakan tadarus atau ceramah agama yang dibawakan oleh ustaz atau ustazah yang dijemput khas.

Malangnya yang datang boleh dikira dengan jari selebihnya entah ke mana menghilang.

Tapi peliknya bila tidak ada ceramah, muncul pula jemaah yang ramai tapi bukan untuk bersolat tetapi melayan mata.

Lalu jadilah surau itu seperti bilik tidur. Bagi mereka "uzur" tanpa segan silu menjamu selera sambil berborak-borak dengan teman yang juga tidak berpuasa.

Suasana akan menjadi lebih meriah apabila tiba hari Jumaat kerana waktu makan tengah harinya agak lama, lebih kurang 2 jam. Panjang sikit langkah dan banyak masa untuk membuat tinjauan membeli-belah.

Balik pejabat badan sudah letih, mood nak kerja juga hilang. Menunggu waktu pulang pukul 5 petang terasa memeritkan, tetapi digagah juga.

Dalam perjalanan pulang mula merangka apa yang hendak dimasak untuk berbuka. Mengenangkan badan sudah letih, singgah pasar Ramadan pilihan terbaik, beli makanan apa yang patut dan bawa pulang, dalam perjalanan telefon bibik minta masakkan nasi.

Sampai waktu berbuka makan apa yang ada walaupun anak-anak mencemik. Lepas makan badan makin letih, akhirnya tertidur kerana mengantuk... sembahyang waktu terlepas, terawih juga tidak sempat.

Sedar-sedar sudah pukul 12 tengah malam - lalu pesan pada suami dan anak-anak, siapa nak bersahur bangun sendiri, sebab mama dah penat. Suruh bibik kejutkan ya!

Begitulah antara senarionya. Apakah situasi ini akan berulang lagi tahun ini? Harap-harap tidak. Mengingatkan diri saya dan anda juga, marilah kita muhasabah diri dan ubah sikap. Buang tabiat yang melalaikan, ambil positif sesuatu perkara boleh menginsafkan, semoga kita diberi petunjuk untuk menjadi yang lebih baik terutama dalam perjalanan mencari pahala berganda sepanjang Ramadan kali ini.

Menutup kata, kebahagiaan orang yang beriman adalah dengan mencintai Allah kerana cinta kepada Allah adalah kebahagiaan yang dasarnya sangat dalam melebihi semua yang dalam di dunia ini. Hanya yang sungguh-sungguh beriman dapat merasakannya dan perasaan itu tidak mungkin ditukar ganti dan tiada tandingannya.

Salam

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...