terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 22, 2010

CUEPACS perlu perjuang semua kumpulan sektor awam bukan menumpukan satu2 kumpulan sahaja..


PERMINTAAN CUEPACS supaya kerajaan membayar 70 peratus tunai dan 30 peratus cuti gantian untuk kerja lebih masa bagi kira-kira 450,000 kakitangan kumpulan sokongan yang memperoleh gaji di bawah RM1,500 sebulan pastinya disambut baik pekerja sektor awam dalam kategori ini. Ini adalah antara cadangan penyelesaian CUEPACS berhubung rasa tidak puas hati ahlinya yang diarah bekerja lebih masa oleh lebih 40 ketua jabatan yang tidak dibayar tunai kerana kekangan peruntukan kewangan, sebaliknya diberi kemudahan cuti gantian. Kita percaya kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memahami hasrat CUEPACS ini dan akan menimbang pendekatan terbaik untuk mewujudkan keadaan ‘sama-sama menang’. Bagaimanapun, dalam membuat desakan sebegini, sewajarnya CUEPACS meneliti terlebih dulu kemampuan kewangan kerajaan ketika ini, selain memastikan hak kakitangan awam dalam kumpulan lain, termasuk profesional turut diberikan perhatian sama. Penumpuan berlebihan ke atas sesuatu kumpulan pekerja sektor awam boleh mewujudkan perasaan kurang senang dalam kalangan kelompok lain, sekali gus menyebabkan kelancaran perjalanan pentadbiran awam terjejas. Tidak dinafikan kakitangan termasuk pemandu, pekerja rendah awam, pembantu am pejabat, pekerja bengkel, pekerja teknikal dan pembantu rawatan kesihatan lebih memerlukan pembelaan kewangan daripada CUEPACS, namun sumbangan semua kakitangan awam kepada negara tidak boleh dipinggirkan. Jika CUEPACS sebelum ini melihat tindakan ketua jabatan menggantikan kerja lebih masa dengan kemudahan cuti gantian untuk kakitangan kumpulan sokongan sebagai melunturkan semangat pekerja dan boleh menjejaskan produktiviti, sewajarnya ia juga memikirkan kesan sama dirasai kumpulan profesional yang ketika ini langsung tidak dibenarkan membuat tuntutan lebih masa atau tuntutan perjalanan.

Kelmarin, Presiden CUEPACS, Omar Osman mengemukakan dua syor kepada kerajaan supaya membayar kerja lebih masa kepada kakitangan kumpulan sokongan dua Gred 1 hingga 16 iaitu diberi 70 peratus tunai dan 30 peratus cuti gantian dan cara kedua ialah bayaran tunai diberi secara tertunggak seperti diamalkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sehari sebelumnya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata mengikut Perintah Am 11 Bab G, kakitangan boleh diarah bekerja lebih daripada masa bekerja biasa dan boleh diberi bayaran lebih masa atau cuti gantian jika mempunyai sembilan jam tempoh bekerja lebih masa. Arahan itu hanya boleh dikeluarkan apabila sesuatu tugas itu benar-benar perlu dilaksanakan mengikut peruntukan. Kita yakin masalah tuntutan bayaran kerja lebih masa yang timbul di antara ketua jabatan dan kakitangan ketika ini tidak akan menjejaskan mutu perkhidmatan awam kepada rakyat. CUEPACS dan kakitangan awam perlu bertolak ansur dan bertimbang rasa dalam soal ini kerana sebarang keputusan oleh kerajaan membabitkan peruntukan kewangan tambahan akan mengambil masa untuk diteliti dan mengambil kira kesannya kepada ekonomi negara. Yang pasti, kerajaan akan turut mengambil kira kepentingan kakitangan awam sebelum membuat keputusan membabitkan masa depan mereka. Adalah tidak wajar, terutama CUEPACS melihat isu kerja lebih masa ini sebagai satu eksploitasi ke atas kakitangan awam, sedangkan kerajaan seboleh-bolehnya mahu memenuhi setiap permintaan dikemukakan kesatuan terbabit. Hakikatnya, ketika ekonomi negara kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan baik, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan pekerja sektor awam, termasuk menyediakan pelbagai insentif dan ganjaran sebagai galakan untuk terus kuat bekerja.

SUMBER: BHARIAN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...