terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 20, 2010

" Disini kita tak pakai meter!!!"..:pemandu teksi...meter sekadar hiasan.


“Teksi bermeter. Sebarang tawar menawar dilarang”. Itulah yang tertera pada pintu semua teksi yang beroperasi di stesen komuter Serdang tetapi tidak ada seorang pemandu teksi itu situ yang mematuhi arahan itu.

Pemasangan meter dan paparan amaran itu bagi pemandu teksi terbabit hanya hiasan dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Sama ada arahan itu mahu dipatuhi atau tidak, itu isu lain.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar stesen komuter itu mendapati banyak teksi tidak menggunakan meter itu sedang menunggu pelanggan di tepi-tepi jalan berhampiran stesen itu.

Pemandu dilihat mendekati pelanggan yang berpotensi, bertanyakan destinasi yang mahu dituju sebelum menawarkan kadar tambang. Ada yang dilihat berjaya dan ada juga tidak.

Dengan perkhidmatan bas yang kurang memuaskan termasuk perlu menunggu terlalu lama, ramai pengguna dilihat terdesak dan terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi tidak bermeter walaupun dikenakan bayaran yang tinggi.

Pengguna mendakwa tidak pernah nampak pihak berkuasa mengadakan operasi di kawasan itu walaupun tindakan pemandu tidak menggunakan meter agak berleluasa di situ.

Adakah pihak berkuasa sukar mengesan kegiatan itu atau perlu menunggu adanya aduan daripada pengguna, baru boleh bertindak.

Seorang kerani, Sufinah Miasin, 31, berkata, tambang teksi yang tidak menggunakan meter sangat tinggi walaupun untuk jarak perjalanan dekat sahaja.

“Pemandu teksi akan meletakkan harga sesuka hati mereka dan pernah terjadi kepada kawan saya yang terpaksa membayar tambang sebanyak RM20 untuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM) sedangkan jaraknya sangat dekat dengan stesen komuter Serdang.

“Pemandu itu mendakwa dia hanya mencari penumpang di kawasan itu dan terpaksa menghabiskan banyak waktu dengan menunggu sebelum mendapat penumpang.

“Jadi, caj yang lebih tinggi dikenakan bagi menggantikan pendapatan yang sepatutnya mereka peroleh jika tidak menunggu di situ,” katanya.

Dia berharap pemandu teksi di kawasan stesen itu bertimbangrasa kerana kebanyakan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan teksi di situ adalah pelajar-pelajar UPM dan penduduk sekitar yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, pelajar UPM, Pilang Anak Usoh, 21, mendakwa tambang teksi yang tidak menggunakan meter sangat mahal dan membebankan apatah lagi jika menaikinya seorang diri.

“Saya pernah menaiki teksi bermeter untuk balik ke kolej dan dicaj sebanyak RM6 berbanding teksi yang tidak menggunakan meter sebanyak RM11.

“Saya berharap pemandu teksi menggunakan meter bagi meringankan beban pengguna, sekali gus menambahkan lagi bilangan penumpang mereka kerana menawarkan tambang yang berpatutan,’’ ujarnya.

Seorang jurujual, Yuvarani Kandiah, 38, berkata, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi tidak bermeter terutamanya pada tengah malam kerana perkhidmatan bas sudah tamat.

Beliau yang bekerja hingga lewat malam berkata, sekitar pukul 12 tengah malam, pemandu teksi sering mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang dua kali ganda kerana hanya teksi sahaja yang ada pada ketika itu.

“Saya tidak mempunyai pengangkutan sendiri dan terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam.

“Adalah sangat mengecewakan dan memenatkan kerana perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bas manakala teksi pula mengenakan tambang terlalu mahal. Kami seperti tiada pilihan,” jelasnya.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan daripada pemandu-pemandu teksi terbabit dan dengan nada bersahaja, mereka berkata “di sini kita tak guna meter” dan enggan mengulas lanjut.
Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...