terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 10, 2010

Edisi Ambang Ramadhan: Bila susah baru nak ingat mak bapak...


"CERITA saya bukan kerana salah ibu mengandung, tetapi salah anak yang lupakan asal usulnya.” Demikian cerita Hazrina dalam emelnya dan ketika kami berbual di telefon.

‘‘Saya mempunyai adik-beradik seramai enam orang, lima daripada kami hanya mendapat pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, namun takdir menyebelahi adik bongsu kami yang mempunyai Ijazah dari Universiti. Tujuan saya bercerita bukan kerana cemburu kerana kepandaiannya, tetapi perangainya.

‘‘Oleh kerana hanya dia seorang dalam keluarga kami ada segulung Ijazah, sudah pastilah dia menjadi kebanggan keluarga khususnya emak ayah kami. Tetapi perangai dan tingkah lakunya termasuk kesombongannya, nauzubillah, mengalahkan orang ada Phd, kalahkan professor, sementara kesibukannya mengalahkan Perdana Menteri Malaysia. Tak ada masa langsung untuk emak ayah, apatah lagi untuk adik-beradik.

‘‘Sebenarnya perubahan kelakuan adik kami ini bermula apabila dia dibenarkan tinggal bersama saudara jauh kami dan tinggal di bandar. Alasan adik pada awalnya dia perlu pergi tusyen untuk kemudahan belajar. Jadi kalau berulang dari rumah kami memang jauh, maklum kami tinggal di luar bandar.

‘‘Jadi demi masa depannya emak dan ayah kami pun setujulah membenarkan dia tinggal secara menumpang di rumah saudara kami itu, dengan syarat dia tumpang tidur di sana hanya pada hari dia ada tusyen, kalau tidak dia mesti balik terus ke rumah.

‘‘Itu persetujuan awal emak dan ayah membebenarkan adik belajar tusyen dan tinggal di bandar. Tambahan pula ketika itu adik dalam tingkatan tiga, jadi dia amat perlukan tusyen untuk membolehkan dia menduduki peperiksaan besar akhir tahun. Oleh kerana itu permintaan anak bongsu, maka dia di benarkan.

‘‘Pada mulanya untuk menduduki peperiksaan tingkatan tiga sahaja dan dia pulang ke rumah kalau tak ada tusyen, tetapi akhirnya melarat bila dia dalam tingkatan empat dan lima. Kalau dulu dia duduk rumah saudara tiga hari seminggu, akhirnya dia duduk terus dan tak balik-balik ke rumah kerana terlalu sibuk dan perlu belajar menghadapi peperiksaan tingkatan 5 begitu katanya.

‘‘Bagaimana pun adik tak duduk percuma, emak dan ayah bagi saudara kami itu sagu hati kerana tumpang tidur dan makan, taklah banyak cuma RM40 sebulan sahaja, mereka setuju, tetapi entah macam mana adik boleh duduk terus di rumah saudara kami tu dan tak mau balik dengan alasan sibuk tusyen dan belajar.

Kebaikan

‘‘Lebih menarik lagi di rumah tersebut, adik diberikan sebuah bilik khas untuk dia senang belajar, dan boleh tinggal terus walaupun tanpa sebarang bayaran. Kerana kebaikan hati saudara kami itu, emak dan ayah langsung tak merasa syak wasangka, tolong menolong sesama saudara kata mereka. Hinggakan emak terlupa bahawa satu hari nanti emak akan kehilangan terus anaknya.

‘‘Keselesaan adik tinggal di bandar berterusan hinggalah adik menduduki tingkatan enam. Malah adik menganggap rumah saudara kami itulah rumahnya dia, bukan rumah emak ayah di kampung.

‘‘Selepas mendapat keputusan yang agak baik dalam STPM, adik menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah. Kini adik bekerja di sebuah Organisasi Gergasi itupun atas bantuan ayah kami yang berusaha mendapatkan jawatan bersesuaian untuk anak bongsunya di dalam organisasi tersebut, dan juga dah rezeki adik.

‘‘Masalahnya setelah bekerja beberapa tahun sekarang adik langsung tak pedulikan emak dan ayah, alasannya dia terlalu sibuk. Persoalannya sekarang saya tertanya diri sendiri, di manakah budi bicara dan akal yang Allah berikan kepada manusia hingga seseorang itu tidak boleh memberi nasihat dan panduan kepada adik hinggakan adik tak mahu balik menjengok ayah yang terlantar sakit. Malah saudara kami ini tergamak bercerita kepada orang bahawa adik tak selesa dan tak suka balik kampung.

‘‘Episod sedih emak bermula apabila emak sering menyebut dan menceritakan tentang kerinduan terhadap anak bongsunya. Setiap hari emak menanti kepulangan anaknya. Hari berganti bulan, bulan bertukar tahun, dan tahun silih berganti sehingga 2010 ini, anak bongsu ini hanya pulang setahun sekali ketika Hari Raya Aidilfitri. Itupun pada pagi hari raya sahaja, dan bergegas pulang pada petangnya.”

‘‘Cuti raya biasanya berterusan 3 - 4 hari tetapi adik tak ada masa untuk bermesra dengan emak dan ayah. Ayah kami dulu sihat tetapi sejak akhir-akhir ini dia uzur dan tidak boleh berjalan. Sedihnya anak saudara ayah nun jauh di utara dan di Pantai Timur boleh datang melawat ketika ayah dimasukkan ke hospital tetapi adik bongsu kami langsung tak menjengok, walaupun tempat kerjanya beberapa kilometer sahaja dari hospital.”

‘‘Malahan jika kami buat kenduri kahwin atau menziarah kematian saudara, batang hidung adik tak pernah nampak, dia sentiasa sibuk kalah Perdana Menteri.

Jadi sebelum terlambat nasihatkanlah adik bongsu kami itu supaya balik ke rumah emak dan ayah sementara hayat mereka masih ada. Semoga anda mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat.’’ Demikian cerita Hazrina.

1 comment:

  1. dijauhkan dari sifat begitu..
    semoga adik tidak terus lupe diri,,,

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...