terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 4, 2010

Edisi Balik Raya: Bas tambahan raya perlu utamakan kualiti


SEPERTI biasa isu perkhidmatan bas tambahan sudah mula kedengaran menjelang musim perayaan tidak lama lagi terutamanya sambutan Hari Raya Aidilfitri pada September kelak.

Penyediaan kemudahan bas tambahan pada tahun ini agak menarik untuk diperkatakan kerana sudah ada pengusaha bas yang menyuarakan hasrat untuk tidak menyediakan perkhidmatan tersebut pada tahun ini atas sebab kenaikan lima sen harga diesel yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Misalnya, kira-kira 130 pengusaha bas di Semenanjung yang menjadi ahi Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dilaporkan kemungkinan besar tidak akan menyediakan bas tambahan pada Aidilfitri ini ekoran daripada kenaikan harga diesel tersebut.

Dalam pada itu, kira-kira 24 pengusaha bas yang menjadi ahli Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) pula tampil dengan kenyataan bahawa tiada masalah kepada mereka untuk menyediakan perkhidmatan bas tambahan yang berjumlah kira-kira 600 buah bas untuk Aidilfitri kelak tetapi meminta pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menimbang permintaan mereka supaya membenarkan bas ekspres tambahan mengenakan tambang tambahan sebanyak RM3 bagi sepanjang musim perayaan seperti yang dibenarkan kepada bas tambahan.

Kedua-dua senario ini menimbulkan pelbagai maklum balas dan reaksi dalam kalangan pengguna yang selama ini bergantung harap kepada perkhidmatan pengangkutan awam untuk balik ke kampung semasa musim perayaan. Ada yang kecewa dan marah dengan kenyataan PMBOA yang dilihat boleh menjadi batu penghalang atau menjejaskan peluang dan hasrat orang ramai untuk balik ke kampung, manakala ada juga yang tidak berpuas hati dengan permintaan Pembawa yang seolah-olah dilihat cuba mengambil kesempatan dengan permintaan kenaikan harga tersebut.

Hal ini berlaku kerana saban tahun sejumlah besar warga kota bergantung harap kepada perkhidmatan bas tambahan kerana bas yang sedia ada tidak pernah mencukupi untuk menampung peningkatan bilangan warga kota yang pulang ke kampung sempena musim perayaan. Ini membawa kepada keadaan di mana penyediaan perkhidmatan bas tambahan adalah suatu kemestian pada setiap tahun malah pengeluaran permit bas tambahan juga dilihat semakin bertambah setiap musim perayaan yang besar.

Justeru dalam hal ini, kita percaya LPKP akan berbincang, meneliti dan menimbang dengan sewajarnya kedua-dua kenyataan tersebut sebelum membuat keputusan yang bijak dan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan juga pengusaha bas tambahan.

Dalam keadaan seperti ini apa yang penting ialah kedua-dua pihak perlu saling memahami kehendak dan keperluan masing-masing. Pengguna perlu memahami masalah pengusaha bas yang mengalami sedikit kenaikan kos operasi akibat kenaikan harga diesel yang menyebabkan mereka agak berat hati untuk meneruskan perkhidmatan bas tambahan seperti tahun-tahun yang lepas. Ini kerana, secara lumrahnya setiap peniaga mahukan keuntungan yang semaksima yang mungkin dengan kos yang rendah.

Dalam pada itu harapan pengguna pula ialah agar:

* Pengusaha bas perlu mengambil kira peningkatan beban tanggungan pengguna untuk kos pengangkutan akibat daripada kenaikan tambang tersebut. Maka apa yang penting di sini ialah suatu keputusan yang menang-menang agar tidak ada pihak yang rugi dan tidak berpuas hati.

n Pengguna mungkin tiada masalah untuk membayar tambahan RM3 asalkan mereka dapat pulang ke kampung dengan selamat manakala pengusaha bas pula mengharapkan agar dapat menikmati sedikit keuntungan yang sewajarnya terutamanya untuk menampung peningkatan kos operasi.

* Di sebalik isu kenaikan tambang ini, apa yang lebih menarik dalam hal penyediaan bas tambahan ini ialah, satu perkara yang sering menjadi persoalan dalam kalangan pengguna iaitu masalah kualiti serta aspek keselamatan bas tambahan yang disediakan.

Pengalaman-pengalaman yang lepas menunjukkan penyedia bas tambahan:

* Lebih mengutamakan jumlah perjalanan yang boleh menguntungkan mereka tanpa begitu mempedulikan kualiti bas serta keselamatan penumpang yang akhirnya membawa kepada pelbagai masalah seperti kerosakan enjin dan kemalangan.

Akibatnya:

* Sejumlah besar nyawa telah terkorban dek kerana keadaan bas yang tidak sesuai dan selamat serta penggunaan pemandu yang sama untuk beberapa sesi perjalanan yang menyebabkan berlakunya pemanduan yang laju dan cuai serta keadaan pemandu yang terlelap semasa memandu kerana terlalu penat dan letih.

* Ada juga pengusaha yang masih menggunakan perkhidmatan pemandu yang memiliki rekod prestasi yang tidak begitu memberangsangkan terutamanya dengan sejumlah saman yang banyak dan menakutkan.

Maka pada tahun ini:

* Jika penyediaan kemudahan bas tambahan dapat diteruskan, kita berharap agar pihak LPKP akan lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang melalui pemantauan dan pemeriksaan yang lebih kerap dan berkala agar insiden-insiden yang tidak diingini berulang kembali.

n Pengeluaran permit bas tambahan juga wajar lebih ketat dan berhemah dengan mengambil kira keadaan dan usia bas tersebut di samping kemampuan pengusaha yang terbabit.

* Kemunculan 'ulat tiket' juga wajar dibendung dari awal lagi agar pengguna tidak 'disembelih' dengan harga yang melampau dan tidak munasabah.

* Jika LPKP meluluskan kenaikan tambahan RM3 tersebut maka apa yang diharapkan oleh pengguna ialah kenaikan ini akan disusuli dengan penyediaan bas yang lebih berkualiti dan selamat.

Pada masa yang sama, kita juga meminta agar para pengusaha bas tambahan yang terlibat akan lebih mengutamakan aspek kualiti dan keselamatan penumpang daripada keuntungan semata-mata. Tidak boleh ada toleransi dalam soal keselamatan penumpang walau dalam apa keadaan sekalipun.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED UPM Serdang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...