terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 10, 2010

Edisi Ramadhan: Teknik tanak nasi dengan betul...khususnya yg nak memasak secara manual


NASI penting dalam kehidupan kita kerana ia merupakan makanan ruji orang Asia. Di mana-mana sahaja kita pergi pasti ada nasi.

Apa yang saya ingin bincangkan minggu ini mungkin perkara yang sangat asas tetapi percayalah ada di antara kita terutama yang baru hendak belajar memasak, perlukan petua ini.

Saya masih ingat lagi, kali pertama apabila saya belajar tanak nasi dan ketika itu tiada siapa yang mengajar saya. Hasil nasi yang saya tanak itu tidak seperti yang diharapkan kerana lembik dan tidak peroi.

Tapi orang kata pengalaman mematangkan kita, oleh itu jangan serik untuk belajar. Jadi kali ini saya akan berkongsi dengan anda ilmu menanak nasi yang betul terutamanya kepada mereka yang baru hendak belajar menanak nasi.

Penggunaan periuk manual agak leceh dan teknikal sedikit kerana anda harus berhati-hati! Takut nasi yang dimasak akan hangit dek kerana lupa untuk melihat nasi yang dimasak di atas dapur.

Sekiranya anda ingin menggunakan periuk manual, basuh beras terlebih dahulu dan kemudian letak air sebelum ditanak di atas api seperti biasa. Setelah mendidih dan membuak anda perlu mengacau seketika.

Setelah ia kering kecilkan api dan tutup periuk. Biarkan lebih kurang 6 hingga 8 minit supaya airnya betul-betul kering. Kemudian bolehlah ditutup apinya. Kemudian kacau sebentar dan tutup tudung periuk kembali.

Nasi bolehlah dinikmati sekiranya butiran nasinya telah memadat dan tiada lagi lekitan air pada nasi. Tip yang paling senang adalah dengan melihat jika nasi itu telah lekang dari dinding periuk.

Sukatan air dan beras

Sukatan air yang betul untuk menanak nasi memang persoalan yang memeningkan kerana jika sukatan airnya terlebih atau terkurang maka nasi yang ditanak akan menjadi lembik atau mentah.

Dari ilmu yang diperturunkan oleh nenek kepada saya, sukatan air hanya perlu disukat menggunakan ruas jari. Sukat guna ruas jari? Sebenarnya setelah beras dibasuh dan diletak air, anda hanya perlu meletakkan jari telunjuk atau hantu anda di atas permukaan beras.

Sukat air sehingga mencecah ruas jari pertama anda dan ia menandakan sukatan airnya sudah mencukupi. Pasti nasi yang ditanak peroi dan elok masaknya.

Anda boleh juga menggunakan sukatan cawan, jika satu cawan beras yang digunakan adalah bersamaan dengan 1¼ cawan untuk airnya. Sekiranya anda menanak nasi yang banyak, saya lebih suka mencadangkan anda menyukat dengan sukatan cawan.

Sukatan air dengan jari hanya bersesuaian untuk kuantiti beras yang sedikit. Berbeza pula dengan beras beriani sukatan airnya adalah bersamaan dengan sukatan beras. Sekiranya 1 cawan mangkuk beras adalah bersamaan 1 mangkuk sukatan air juga.

Nasi peroi

Saya suka menikmati nasi yang peroi kerana ini tandanya nasi itu telah ditanak dengan sukatan dan teknik yang betul. Anda perlu mengikut sukatan air yang betul dan sekiranya nasi itu telah kering biarkan seketika beberapa minit. Kemudian, buka tudung periuk dan kais serta gembur beras itu.

Gembur nasi itu seketika sahaja kerana khuatir nasi akan hancur pula nanti. Cara ini akan mengurangkan lekatan pada nasi di dalam periuk apabila ia mengeras nanti jadi nasi akan peroi selepas masak.

Tutup semula dan biarkan lebih kurang 10 minit dan anda akan dapati nasi itu kering dengan elok dan bolehlah disenduk untuk dimakan.

Tip tidak cepat basi

Pastikan beras dibasuh bersih dan airnya hampir jernih. Ini akan melambatkan nasi menjadi cepat basi. Orang tua-tua pernah berpesan kepada saya jika beras yang dicuci tiga kali ia lebih bersih. Jika ada lebihan nasi yang tidak habis dimakan, simpanlah nasi di dalam peti sejuk kerana lebihan itu boleh dicampur kembali apabila menanak nasi nanti.

Lebihan nasi yang disimpan juga boleh digunakan untuk membuat nasi goreng tetapi nasi itu tidak terlalu lembik kerana nasi yang terlalu lembik tidak sesuai untuk dibuat nasi goreng.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...