terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 7, 2010

Edisi Skodeng: Pantau maksiat remaja di tempat rekreasi


MERUJUK kepada statistik kes pembuangan bayi, sebanyak 407 kes pembuangan bayi dilaporkan sehingga 22 Mac lalu dan kian bertambah dari hari ke sehari. Apa yang berlaku ini cukup menyedihkan tambahan pula yang membuang bayi ini adalah kebanyakannya bangsa Melayu yang beragama Islam. Ini membuktikan perzinaan sedang berleluasa.

Akibat perbuatan terkutuk itulah kebanyakannya menyumbang kepada pertambahan kes pembuangan bayi. Di antara masalah yang ingin saya ketengahkan ialah tempat-tempat rekreasi di negara kita, terutama di Pulau Pinang yang dipenuhi oleh remaja-remaja yang berkelakuan sumbang tidak kira di tempat yang terbuka sehinggalah di tempat yang tersembunyi.

Perkara seperti ini tidak langsung diendahkan oleh pasangan-pasangan remaja Melayu yang kebanyakannya bertudung sedang asyik memadu kasih dan tidak mempedulikan kehadiran orang ramai di sekeliling mereka.

Saya agak berang dengan kelakuan sumbang tersebut sehinggakan ada suatu hari, saya bersama keluarga ingin memancing di Pantai Bersih, Bagan Ajam terserempak dengan remaja bertudung yang tengah asyik bercumbu di atas batu di situ.

Saya terkedu melihat perbuatan tersebut sedangkan masih ramai orang lain yang lalu-lalang di situ.

Penyebab utama remaja menjadi liar seperti ini disebabkan oleh ketiadaan ibu bapa di sisi. Maksudnya, remaja-remaja yang berkeliaran sehingga pukul empat atau lima pagi adalah remaja yang menuntut di IPTA/IPTS yang menyewa rumah dan kebanyakannya berasal dari negeri-negeri lain.

Berada berjauhan daripada ibu bapa adalah satu 'kata kunci' untuk hidup bebas dan berfoya-foya bersama kekasih hati sehinggakan tidak mempedulikan orang lain.

Saya amat kesal dengan perbuatan-perbuatan terkutuk ini sehinggakan malu untuk membawa keluarga pergi bersiar-siar di taman-taman rekreasi kerana tempat seperti inilah yang menjadi sarang pasangan-pasangan bermadu kasih.

Saya menyeru Jabatan Agama Islam Negeri supaya sentiasa membuat rondaan untuk menghindarkan kes-kes ini berlaku dan bukan sekadar seminggu sekali menyerbu tempat-tempat hitam. Ingatlah kita perlu menghindarkan bala Allah SWT daripada menimpa negara kita. Sudah terlalu banyak malapetaka yang menimpa negara-negara jiran, adakah kita yang seterusnya?

IMZANI ALIAS

Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...