terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 31, 2010

Ganyang Malaysia: Sikap baik rakyat Malaysia tidak dihargai!!


SEJAK konfrontasi diisytiharkan tamat oleh Indonesia pada 1967 hubungan Malaysia-Indonesia yang dipulihkan kini menjangkau 43 tahun. Dalam tempoh itu, pelbagai isu dan masalah timbul tetapi dapat ditangani dengan baik.

Namun begitu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu yang timbul tampak semakin panas kerana ada beberapa pihak terutama kumpulan pendesak mencetuskan tindakan liar yang boleh mengeruhkan keadaan

Antara isu penting berkaitan dengan Indonesia dan Malaysia ialah isu Ambalat, tarian pendet, isu pekerja Indonesia di Malaysia dan yang terbaru isu membabitkan pegawai maritim kedua-dua negara. Semua tindakan yang berkait dengan sebarang isu seperti protes datangnya dari pihak Indonesia dipercayai didalangi oleh sekumpulan pengacau dengan dipanaskan lagi oleh pihak media.
Antara desakan yang selalu diambil sejak akhir-akhir ini oleh pengacau yang berdemonstrasi di Indonesia ialah menghalau rakyat Malaysia keluar dari Indonesia. Dalam usaha menangani keadaan seperti ini satu kesimpulan boleh dibuat atas sikap Malaysia iaitu Malaysia sangat cermat dan sabar menghadapi sebarang isu berhubung dengan Indonesia. Tiada kenyataan keras dan mengancam pernah dikeluarkan setakat ini. Hubungan antara ketua negara dan antara negara terus terjalin dengan baik.

Seperti pendekatan negara yang banyak bersabar, begitu juga rakyat Malaysia sendiri yang tidak pernah bertindak balas melakukan perhimpunan sejak era konfrontasi. Jika diambil kira ancaman supaya rakyat Malaysia dihalau setiap kali timbul sebarang isu, sudah pasti akan ada tindak balas secara yang sama oleh rakyat Malaysia kerana rakyat Indonesia di negara ini lebih besar bilangannya.

Kedatangan mereka untuk mendapat peluang pekerjaan yang mana sebahagian daripadanya masuk secara haram. Bagaimanapun keadaan ini tidak berlaku, meskipun daripada jutaan rakyat Indonesia di Malaysia, terdapat mereka yang menggugat ketenteraman masyarakat kerana pembabitan dalam jenayah, kerja tak bermoral, menceroboh tanah, dan menunjukkan sikap agresif.

Jika di negara lain khususnya Eropah tindakan protes sering dilakukan penduduk tempatan ke atas pendatang asing. Sikap rakyat Malaysia yang boleh dianggap berkepala dingin atau penyabar ini sudah tentu boleh dihubung dengan kematangan rakyat negara ini berfikir, iaitu tindak balas yang melulu tidak akan mendatangkan faedah dan hanya merugikan.
Menjadi satu tanda tanya kenapa setengah pihak di Indonesia harus bersikap sedemikian. Padahal sudah banyak budi baik negara ini ditaburkan sejak daripada tuntutan ke atas Irian Barat yang mana Malaysia menjadi penyokong kuat Indonesia sehinggalah isu peluang pekerjaan yang diberikan kepada rakyat negara berkenaan.

Dalam era 1970-an dan 80-an, sering didengar orang Indonesia mengungkapkan perkataan seperti ‘universitas di Malaysia hanya gedungnya saja yang besar tetapi kurang dari segi ilmu’. Walaupun diperkecilkan, sikap rakyat Malaysia terus mesra dengan rakyat dari negara itu.

Kadangkala timbul satu kepelikan, kenapa segolongan pengacum ini begitu cepat terangsang dengan sebarang isu berkaitan Malaysia dan Indonesia? Adakah sikap baik yang selalu ditunjukkan Malaysia diambil kesempatan sebagai langkah perlindungan kepada jutaan rakyat Indonesia di Malaysia kerana sering apabila timbul sesuatu isu, akan ada perundingan dua hala yang sudah tentu bersangkut paut dengan kedudukan rakyat Indonesia di Malaysia yang dipinta supaya dilayani dengan baik.

DR HASHIM FAUZY YAACOB,
Fakulti Pengurusan dan
Pembangunan Sumber
Manusia, UTM,
Skudai, Johor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...