terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 18, 2010

Gejala obesiti maklumat


Inilah seruan yang sering dilontarkan kepada pengamal-pengamal media pada masa ini. Kurangkan tulisan. Pendekkan tulisan. Banyakkan gambar. Banyakkan grafik. Buat bentuk point saja. Siarkan perkara-perkara yang ringan dan santai. Orang sudah tidak suka membaca. Apatah lagi membaca perkara-perkara serius. Minda manusia sudah tidak larat terutama anak-anak muda yang hidup dalam zaman komputer, Internet dan SMS.

Maka dalam persidangan tahunan Persatuan Suratkhabar Sedunia bagi Rantau Asia di Kuala Lumpur minggu lalu, telah dibincangkan bagaimana akhbar boleh terus relevan dengan menyertai revolusi komputer tablet keluaran Apple iaitu i-Pad.

Untuk i-Pad, akhbar-akhbar boleh mewujudkan aplikasi (atau apps) yang paparannya lebih canggih dan menarik berbanding dengan laman-laman web dalam komputer hari ini. Juga dikatakan bahawa masa depan akhbar adalah melalui komputer tablet seperti i-Pad. Malah disebut bahawa i-Pad penyelamat suratkhabar.

Selain i-Pad, komputer tablet canggih yang akan muncul ialah BlackPad dikeluarkan oleh syarikat pengeluar telefon pintar BlackBerry.

Maka dalam persidangan itu, ditunjukkan betapa majalah Time sudah membentuk appsnya. Ia memang menarik, lebih hebat daripada majalah dan laman webnya. Apabila disentuh pada gambar, maka ia akan bergerak memaparkan video mengenai kejadian berkaitan.

Sememangnya ciri-ciri ini sudah ada melalui laman web. Tetapi oleh kerana kemampuan i-Pad lebih canggih dan cantik, maka apps ini jauh lebih berkesan daripada laman web.

Maka antara panduan bagi membuat kandungan untuk apps ini dinyatakan ialah supaya dikurangkan teks seminimum mungkin dan banyakkan video serta animasi.

Maka itulah masa depan manusia. Ini kerana manusia sudah tidak mampu untuk membaca tulisan-tulisan panjang. Mereka hanya boleh membaca point-point saja.

Seperti mana manusia sekarang ini sudah kurang sabar untuk mendengar syarahan dan lebih selesa dengan mengikuti paparan powerpoint, maka begitu juga dengan keupayaan membaca.

Apabila secara purata di seluruh dunia, manusia kurang berkemampuan membaca tulisan-tulisan yang panjang dan apatah lagi yang berat, maka akan kuranglah kemampuan untuk menulis karya yang panjang-panjang. Apa yang termampu nanti hanyalah kerat dan tampal (cut and paste) ataupun gunakan template dalam komputer.

Maka tidak menghairankan bahawa akhbar-akhbar serius kurang mendapat sambutan berbanding akhbar-akhbar berita mengarut. Filem serius atau karya sastera kurang mendapat sambutan berbanding buku-buku mengarut, cerita hantu, misteri dan pontianak.

fenomena

Ini bukan fenomena Malaysia saja tetapi seluruh dunia. Lihatlah cerita vampire yang begitu laku di kalangan pembaca-pembaca perempuan di seluruh dunia buat masa ini.

Majalah Mastika yang sepatutnya menjadi majalah nasional serius seperti mana The Atlantic dan Harpers bagi Amerika Syarikat atau New Statesman dan The Spectator bagi Britain terpaksa menjadi majalah misteri untuk menyelamatkan dirinya sejak 20 tahun lalu.

Begitu juga Massa yang bercita-cita untuk menjadi Time, Newsweek, Economist atau Tempo bagi Malaysia terpaksa ditutup kerana tiada pasaran bagi majalah serius di negara ini. Mungkinkah akhbar serius juga akan mengalami nasib yang sama pada masa akan datang?

Mengapa orang ramai rasa sukar untuk menjamah bahan bacaan yang berat dan serius?

Jawapannya ialah gejala terlebih bebanan maklumat. Information overload. Kini maklumat ada di merata-rata tempat dan senang diperoleh. Maka minda manusia begitu penat hendak memprosesnya. Maka tidak hairanlah minda sukar hendak menghadam maklumat serius.

Setelah bertubi-tubi menelan maklumat melalui telefon pintar, komputer, televisyen dan radio, bagaimanakah minda hendak memproses isu-isu berat. Bagi melegakan tekanan daripada terlebih bebanan maklumat ini, maka dicari jalan meredakannya melalui amalan menelan maklumat ringan atau santai.

Untuk memahami terlebih bebanan maklumat ini cuba bayangkan maklumat itu seperti makanan. Jika terlebih makan, akan berlaku obesiti. Maka begitu juga dengan terlebih menelan maklumat. Maka apa yang berlaku ialah obesiti maklumat.

Apabila terlebih makan, seseorang akan menjadi gemuk dan berpenyakit. Ada tekanan darah tinggi. Penyakit jantung dan pelbagai lagi masalah kerana akibat daripadanya.

Maka begitu juga dengan terlebih menelan maklumat. Apa yang disebut sebagai maklumat adalah bukan saja dalam bentuk tulisan, tetapi juga gambar, muzik, video atau apa saja yang menerjah masuk ke dalam minda seseorang. ia menyebabkan stres dan penat.

Sedangkan maklumat yang diterima itu banyak yang berupa sampah dan tidak mendatangkan manfaat kepada seseorang. Seperti mana makanan yang berlebihan adalah sebenarnya tidak berguna pada seseorang. Ia hanya menambah lemak kerana ia tidak digunakan untuk tenaga.

Maka begitu juga dengan maklumat. Apabila seseorang itu mendapat bertimbun-timbun e-mel yang kebanyakannya menjadi sampah dan tidak berguna. Tetapi ia harus dibaca dan diproses. Apabila dilakukan, ia hanya melemahkan minda. Ini kerana minda yang penat tidak dapat pula memproses maklumat-maklumat yang lebih berguna.

Umpamanya seperti juga SMS yang bertubi-tubi masuk menuntut perhatian dan tindakan pemiliknya. Sedangkan tidak semua SMS itu perlu dilayan bukan hanya kerana ia tidak menarik atau berguna bagi seseorang tetapi kemampuan pengguna telefon untuk menjawab atau mengikut permintaan pesanan di dalamnya memang tidak berupaya untuk dipenuhi.

Untuk mengatasi terlebih bebanan maklumat, maka apa yang harus dilakukan ialah diet maklumat. Seperti diet pemakanan, maklumat juga mesti dipilih mengikut zatnya.

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...