terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 20, 2010

Hak seorang balu terhadap agihan harta suami


Suami merupakan tulang belakang yang mencorak dan menjamin kesinambungan serta keutuhan sebuah institusi kekeluargaan. Tanpa suami, secara tidak langsung berlaku kepincangan dalam hidup isteri.

Sehubungan itu wanita perlu bersedia mental dan fizikal menghadapi segala kemungkinan khususnya apabila suami meninggal dunia. Ini kerana mereka bakal kehilangan tempat bergantung sedangkan hidup mereka mesti diteruskan dan nasib mereka yang bergelar balu terbela.

Janganlah kerana ceteknya pengetahuan mengenai hak, ada pihak yang menuding jari menyalahkan undang-undang syariah yang menjadi teras dalam agama Islam dan didakwa sebagai tidak adil.

Tidak kurang juga yang menganggap undang-undang pembahagian harta dalam Islam 'tidak terpakai' sehinggakan mereka sanggup memanjangkan tuntutan ke Mahkamah Tinggi Sivil apabila tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Justeru, kepintaran seseorang balu membuat tuntutan setelah mengetahui haknya adalah penting. Ini kerana semuanya sudah termaktub dalam undang-undang dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan hak mereka jika mahkamah telah membuat satu ketetapan.

Malahan terdapat balu yang tidak mengetahui bahawa mereka juga berhak menuntut nafkah mengikut Seksyen 72(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, daripada waris suami untuk membesarkan anak yang masih belum mencapai umur baligh agar hidup lebih terjamin.

Sebagai pengamal undang-undang yang berpengalaman bertahun-tahun mengendalikan tuntutan harta, peguam sivil dan syarie, Dr. Mohd. Radzuan Ibrahim berpendapat stigma negatif terhadap undang-undang syariah khususnya hak seorang balu ke atas harta peninggalan arwah suaminya perlu diperbetulkan.

Dalam soal ini, Mohd. Radzuan memberikan sedikit panduan apakah yang perlu dilakukan oleh isteri sebaik-baik sahaja bergelar balu.

Sebenarnya seseorang balu perlu memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah untuk menuntut hak sepanjang perkongsian hidup bersama arwah suami. Ia bagi menjamin kebajikan balu supaya mendapat bahagian harta yang lebih sebelum ia dibahagikan mengikut faraid kepada waris yang lain.

Mahkamah Syariah akan mempertimbangkan sumbangan langsung dan tidak langsung si balu dalam pemerolehan harta sepencarian tersebut. Turut diambil kira dan diberikan merit yang munasabah adalah sumbangan balu menjaga anak dan menguruskan rumah tangga.

Beliau berkata, setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah bagi prosiding harta sepencarian, baharu seseorang balu boleh memfailkan permohonan pembahagian harta pusaka mengikut kaedah faraid.

Dari segi hukum, faraid telah menetapkan bahawa balu berhak ke atas 1/4 bahagian harta suami sekiranya tidak mempunyai cahaya mata berbanding 1/8 bahagian jika ada anak. Ibu si mati pula akan memperoleh 1/3 bahagian jika si mati tidak mempunyai anak, sementara bapa akan mewarisi 1/6 harta peninggalan jika si mati meninggalkan zuriat.

''Bahagian tersebut akan dibahagikan sama rata jika isteri si mati lebih daripada seorang dan bakinya pula dibahagikan kepada waris. Sehubungan itu anggapan yang menyatakan bahawa ibu si mati mendapat bahagian yang lebih adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana isteri (balu) juga mendapat bahagian yang banyak menerusi tuntutan harta sepencarian dan faraid,'' jelas peguam itu.

Namun tidak semua wanita menyedari hak tersebut kerana mereka hanya memohon mendapatkan bahagian secara faraid. Malahan terdapat juga kes pemohon yang berhajat mendapatkan sijil faraid bukanlah isteri si mati sebaliknya waris lain.

''Saya berpendapat, adalah lebih baik balu mengemukakan tuntutan harta sepencarian sejurus kematian suami bagi memudahkan proses menuntut faraid dan tuntutan hutang piutang si mati,'' ujar Mohd. Radzuan.

Pembahagian faraid kepada yang berhak, hukumnya wajib ditunaikan dan fardu kifayah kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, samalah hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah.

''Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil lagi sistematik kerana Allah selaku pencipta manusia mengetahui di manakah kekurangan dan kelebihan hambanya.

''Pentadbir harta pusaka pula tidak semestinya Amanah Raya Berhad (ARB) kerana di kalangan ahli waris sendiri boleh mentadbir menurut kaedah pembahagian lain. Tidak perlu terikat dengan pecahan faraid jika persetujuan diperoleh di kalangan waris menurut bahagian yang disepakati,'' ujar Mohd. Radzuan.

Sungguhpun begitu, tidak salah malah amat digalakkan bagi seseorang Islam yang layak menerima harta walhal dia lebih berkemampuan dan atas dasar perikemanusiaan secara sukarela melepas dan menyerahkan haknya kepada waris yang lebih memerlukan.

Sehubungan itu, Mohd. Radzuan mengesyorkan agar balu yang ingin menuntut harta arwah suami perlulah menemui dan mendapatkan nasihat serta pendedahan daripada pakar undang-undang terlebih dahulu supaya membuat tuntutan yang wajar.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

1 comment:

  1. Salam.

    Bagaimana pula sekiranya suami telahpun menamakan semua hartanya keatas nama anak dgn isteri dahulu yg mana telah meninggal dan tidak meninggalkan walau apa pun harta termasuk rumah yg didiami sekarang kecuali pencen itupun kalau sempat merasa sekiranya suami meninggal dulu. Utk makluman perkahwinan saya dgn suami telah menjangkau 20 tahun dan perkahwinannya dgn arwah isteri hanya selama 5 tahun.
    Adakah saya masih berhak keatas harta suami>

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...