terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 28, 2010

Kesian sahabat kita di Sabah, terpaksa beli air 20 liter 20 sen setiap hari!!!


SEMPORNA: Walaupun terpaksa menghadapi ranjau kehidupan berikutan ketiadaan bekalan air bersih sejak sebelum dan selepas negara merdeka, penduduk di Pulau Bum-Bum, Larapan, Sumandi, Salakan, Sebangkat, Sibuan, Kulapuan dan Dinawan tetap tabah menghadapi cabaran.

Selama ini, sumber air diperoleh penduduk dengan membelinya di jeti pekan selain bergantung kepada air hujan bagi memastikan urusan harian terutama memasak berjalan lancar

Sudah menjadi lumrah untuk mereka mandi sekadar cukup membersihkan kotoran di badan kerana penggunaan air perlu dijimatkan.
Bagi Isdawan Hayawan, 45, hidup di rumah atas air di Pulau Larapan, kira-kira 10 batu nautika dari jeti di pekan ini, tidak pernah menjanjikan bekalan air bersih kerana beliau terpaksa menadah hujan dalam tangki atau ke pekan membeli bekalan.

Isdawan membeli kira-kira 20 liter air dengan harga 20 sen, setiap hari, namun ia tidak mencukupi bagi kegunaan isteri dan tujuh anaknya.

Berdasarkan perkiraan kasar, mereka sekeluarga memerlukan 10 tong untuk mandi selain menjadi sumber sebagai air minuman, memasak dan mencuci pakaian.

Ia bermakna Isdawan terpaksa membelanjakan RM2 sehari untuk membeli 10 tong air dan diangkut pulang menggunakan perahu.
Dengan air itulah isterinya menjerang untuk diminum selain memasak. Jika air hujan yang ditadah kehabisan, isterinya terpaksa menggunakan air yang dibeli untuk mencuci pakaian.

"Kalau musim hujan, senang sedikit hidup kami kerana tong dipenuhi air hujan. Kalau musim kemarau, jangankan nak mencuci pakaian, hendak memasak pun tiada air.

"Saya terpaksa berbelanja kadang-kadang sampai RM250 sebulan semata-mata untuk membeli air. Di pulau ini tiada empangan atau loji air, yang ada hanya laut.

“Mereka yang tinggal di kawasan bukit jauh dari pantai terpaksa menggali telaga," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui membeli air di sebuah rumah tidak jauh dari jeti belakang Pasar Semporna di sini, baru-baru ini.

Bagi Abdul Bajin, 54, dari Kampung Balimbang, Pulau Bum-Bum, kira-kira tiga batu nautika dari sini, sebagai penduduk pulau, beliau dan keluarganya tidak pernah mengimpikan untuk menikmati kemudahan bekalan air bersih seperti masyarakat di tanah besar.

“Nasib kami di pulau tidak sama dengan mereka yang tinggal di tanah besar. Kalau di tanah besar, mereka boleh menikmati bekalan air dengan mudah, kami di pulau menganggapnya sebagai mimpi yang tak akan menjadi kenyataan.

"Mahu tak mahu, kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli air. Kalau musim kemarau, hidup kami bertambah sengsara. Selain terpaksa membeli air, kami juga perlu menampung kos petrol perahu dan bot berulang-alik membeli air," katanya.

Penduduk Pulau Dinawan, Sandiko Abdul, 56, berkata beliau dan penduduk lain adalah yang paling sengsara berbanding pulau lain kerana terpaksa mengangkut air dari jeti ke rumah masing-masing pada jarak perjalanan kira-kira satu setengah jam berikutan lokasi pulau itu yang paling jauh, kira-kira 40 batu nautika.

“Kami ada menggali telaga dan menadah air dalam tong, tetapi kalau tiba musim kemarau antara Januari hingga April, semuanya kering kontang. Mahu tak mahu, kami terpaksa membeli air di pekan ini.

“Kami meminta kerajaan melihat masalah kami ini. Kami faham, susah untuk kerajaan memasang paip air dasar laut dari tanah besar ke pulau tetapi bebanan kami boleh dikurangkan kalau kerajaan menyediakan bot besar atau kapal kecil yang boleh membekalkan air ke pulau.

"Memanglah cadangan saya ini nampak macam mengarut tetapi apa lagi cara yang boleh kerajaan bantu kami kalau tidak dengan cara itu," katanya.

Oleh Hassan Omar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...