terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 14, 2010

Kisah Hidup: Pergi ke Mekah dengan hanya bawa bot penambang...


EMPAT dekad yang lalu, lelaki ini nekad meninggalkan kampung halamannya di Kota Samarahan untuk mencari rezeki di Kuching, Sarawak.

Dengan kemahiran mengendalikan sampan tambang yang mampu memuatkan sehingga 10 orang penumpang, nasibnya hingga kini bagai terikat dengan Sungai Sarawak.

"Sungai ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya sendiri tidak dapat bayangkan apa yang boleh saya lakukan jika perahu ini tiada," ungkap Mohsini Shahrin.

40 tahun lalu, Mohsini akan mengayuh sampannya menggunakan pendayung dari jeti ke jeti. Namun, sejak 1990-an pendayung itu telah digantikan dengan enjin berkuasa selaras dengan perkembangan semasa.

Krew Jurnal baru-baru ini menjadi tetamu bot tambang Mohsini.

Kehidupan lelaki tua ini dan seperti kebanyakan pembawa penambang yang lain, berpaksi di dalam bot sepanjang 10 meter itu.

"Di sinilah saya menginap, berlindung, tidur, solat dan lain-lain. Dalam perantaraan waktu, saya akan bergerak dari satu pangkalan ke satu pangkalan dalam tempoh seminggu sekali," Mohsini membutirkan cerita hidupnya.

Menyingkap cerita si penambang Sungai Sarawak, likuan hidup yang dilalui tidaklah setenang air sungainya dan itu jelas terbayang di wajah lelaki yang mencecah usia 60 tahun ini.

Bak kata pepatah, kalau takutkan ombak jangan berumah di tepi pantai, Mohsini nekad menjadikan bot tambangnya itu sebagai rumah kedua sejak empat dekad lalu.


MENJADI antara pewaris terakhir pengemudi bot tambang, Mohsini cekal mengekalkan ikon Sungai Sarawak itu.

Sambil bersila menyediakan teh O panas kepada kami, jelas pergerakan Mohsini di dalam ruang sempit itu langsung tidak kekok.

Malah, segala kelengkapan harian seperti periuk, cerek dan pinggan mangkuk tersusun dengan baik di buritan kapal.

Sekiranya perlu memasak, Mohsini tiada masalah. Yang penting ujarnya, harus pandai mengawal api dan penggunaan dapur minyak tanah memudahkan urusan untuk mengenyangkan perut.

"Masak dan makan yang mudah disediakan. Lagipun, lebih lama berehat, lebih sedikit pendapatan," katanya.

Memberitahu dirinya amat selesa dengan kerjaya sebagai penambang, Mohsini hanya ketawa apabila ditanya mengenai arus dan gelombang sungai yang melalui Kuching Waterfront tersebut.

Nadi utama

"Di mana-mana saja ada bahaya. Tapi arus Sungai Sarawak sering saja tenang. Tiada gelombang besar.

"Dan hingga kini, saya tidak pernah lagi terserempak dengan sang bedal (buaya)," ucapnya yang pekat dalam bahasa Melayu Sarawak.

Ujar bapa kepada 10 orang anak ini, peristiwa ruang di dalam bot dilimpahi air hujan dan hanyut hingga beberapa kilometer, sudah menjadi lumrah.

Begitu juga dengan kejadian bot bocor secara tiba-tiba. Bagi Mohsini dan penumpang, itu adalah 'makanan' yang perlu dihadap setiap kali menyeberangi Sungai Sarawak.

Mengimbas cerita bot tambang, ungkap Mohsini, suatu masa dahulu penambang (bot sungai) merupakan pengangkutan sungai yang popular di Kuching khususnya bagi penduduk yang tinggal di tepi Sungai Sarawak.

Kampung-kampung yang berkaitan adalah Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kampung Samarang, Kampung Sourabaya Ulu, Kampung Panglima Seman, Kampung Ulu, Kampung Sinjan dan Kampung Lintang.


RUANG terhad tidak menyekat Mohsini menunaikan kewajipan kepada Allah.

Kini, kebanyakan kampung sudah dihubungkan dengan jalan raya malah terdapat dua buah jambatan yang menyeberangi Sungai Sarawak.

Walaupun Jambatan Tun Abdul Rahman di Satok dan Jambatan Tun Salahuddin di Bintawa telah dibina, bot tambang masih menjadi nadi utama untuk ke Kuching Waterfront.

Tidak kira pangkat atau status, pelbagai gelagat penumpang dapat dilihat sepanjang krew Jurnal berada di dalam bot penambang Mohsini.

Ada yang kemas dengan baju kot, kemeja dan uniform tertentu namun semuanya sama saja. Pengguna tegar bot tambang akan berhimpit di dalam ruang yang sempit itu untuk satu tujuan iaitu menyeberangi Sungai Sarawak.

Lelah yang menata wajah, tiba-tiba hilang apabila soalan jumlah kutipan harian diajukan. Ungkap Mohsini, seiring dengan peredaran zaman, penambang sekarang telah menggunakan enjin sangkut.

Hanya 5 sen

"Tambangnya juga bertambah iaitu 30 sen bagi kanak-kanak manakala 50 sen bagi dewasa. Berbanding dulu, penat lelah mengemudi bot ini hanya dibayar sebanyak 5 sen," titipnya.

Tambah Mohsini, tempoh menyeberangi Sungai Sarawak juga semakin singkat iaitu hanya mengambil masa selama dua hingga tiga minit, bergantung pada kekuatan arus.

Berbanding dahulu, sekitar tahun 1970-an, tempoh menyeberangi Sungai Sarawak adalah lima hingga lapan minit di mana 'pak tambang' cuma menggunakan pendayung.


SELAMA 40 tahun, Mohsini terus mendayung dan menjadi penghubung di antara tebing Sungai Sarawak.

Dengan waktu operasi seawal 5.30 pagi sehingga 10 malam setiap hari, tidak kurang RM100 mampu diperoleh Mohsini manakala pendapatan yang berdasarkan kemampuan dan kerajinan boleh melebihi RM200 pada hari minggu.

Dengan pendapatan itu juga, beliau mampu ke Mekah pada tahun 2005 lalu bersama isterinya serta menyara anak-anaknya hingga ke menara gading.

"Bukan saja saya. Malah, kawan-kawan yang masih mendayung semenjak dahulu, semuanya ke Mekah dengan hasil bot tambang ini," katanya berbaur bangga.

1 comment:

  1. subhanallah.. dimana ada kemahuan disitu ada jalan..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...