terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 16, 2010

Kisah2 masyarakat: Besarkan anak daripada tiga zuriat berbeza


APABILA hati mula berbuah, segala yang dilihat adalah indah, namun apabila hati sudah berubah, apa yang berlaku adalah sering berbalah. Itulah lumrah diperlihatkan oleh setiap pasangan sedang hangat bercinta mahupun bagi mereka yang sudah melangsungkan rumah tangga.

Mungkin bagi pasangan bercinta, perpisahan tercetus mampu diubati dengan hanya mengambil sedikit masa. Sebaliknya, jika dibanding dengan pasangan berkahwin, agak sukar untuk mereka memutuskan ikatan itu apatah lagi apabila mengenangkan nasib yang bakal menimpa si kecil sedang bertatih melihat dunia.

Shida, 27, sebelum terus menceritakan perjalanan hidupnya yang sudah memegang status janda sebanyak tiga kali berkata, jika diberi pilihan dalam membaik pulih hidupnya, bakal dipilihnya untuk tidak melakukan setiap kesalahan lampau hingga menyusahkan tiga anaknya.

“Saya berkahwin seawal usia 16 tahun dengan seorang penoreh getah dari kampung yang sama dan dia adalah suami kepada jiran. Mungkin kerana mentah dan terlalu mengikutkan nafsu hati, saya bersetuju untuk menikahi lelaki itu di sempadan Thailand tanpa pengetahuan sesiapa pun.

“Namun segala rahsia terbongkar apabila saya mula mengandung lima bulan. Lelaki itu yang tidak berani bertanggungjawab akan perkara yang bakal menimpanya, saya diceraikan begitu saja malah diusir dari rumah oleh keluarga,” katanya dalam nada kekesalan.

Bersambung dengan ceritanya ketika dihubungi, baru-baru ini, wanita itu mendakwa selepas melahirkan anak pertamanya itu bersendirian, dia mula mencari kerja bagi menampung kehidupan bayinya. Masa yang berlalu begitu pantas, hati yang luka mula berbunga kembali selepas Shida bertemu dengan kekasih barunya.

Selepas berkenalan selama beberapa bulan, keputusan untuk menyimpul kasih dipersetujui dengan adanya majlis yang sangat sederhana. Malangnya cinta masih tidak kesampaian, kehidupan Shida sekali lagi diuji.
“Entahlah apa lagi yang tidak kena dengan nasib diri ini. Saya berkahwin dengan lelaki yang kuat cemburunya, hinggakan nak keluar rumah untuk berkerja pun tidak dibenarkan sedangkan dia sendiri tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Kesabaran ada batasannya. Tidak sanggup saya melihat dia mencederakan kedua anak kami. Setiap kali mereka menangis, cepat saja dia naik tangan dan memukul mereka menggunakan tali pinggang,” jelasnya.

Wanita itu berkata, rentetan itu dia bersungguh untuk memohon perceraian daripada lelaki itu dengan harapan kedua anaknya dapat dibendung daripada perbuatan kejam Amirul (bekas suami). Pada masa sama, Shida juga masih mengharapkan dirinya menemui seorang lelaki yang bertanggungjawab demi masa depan kedua anaknya itu.

Kehidupan wanita itu diteruskan bersama kedua anaknya yang semakin membesar dan sering menanyakan ke mana menghilangnya bapa mereka dan Shida sering kali memujuk hati yang luka untuk tidak bengkeng dengan soalan diaju itu.

Selepas beberapa bulan bertungkus lumus membahagikan masa menjaga mencari sesuap nasi buat dua buah hatinya, sekali lagi pintu hatinya diketuk seorang lelaki. Dengan singkatnya, Shida melangsungkan perkahwinan bersama jejaka pilihan itu tanpa berfikir panjang.

“Kehidupan kami anak beranak sungguh bahagia sepanjang awal perkahwinan. Saya sekali lagi mengandung dan bermula dari situlah sikap sebenar bekas suami yang bermulut manis menjanjikan pelbagai mahkota terlerai.

“Ketika saya sarat mengandung, Din (bekas suami ketiganya) ditangkap beradu asmara bersama seorang wanita di dalam bilik tidur kami. Perkara yang sama bukan hanya berlaku sekali, malah berturutan dengan wanita berbeza,” katanya dalam nada yang perlahan dan teresak-esak.

Katanya lagi, kerana benci dan jijik yang teramat sangat akhirnya selepas habis berpantang dia mengambil keputusan untuk mohon diceraikan oleh bekas suami ketiganya itu.

“Jijik saya lihat tingkah lakunya yang langsung tidak malu dengan perbuatan terkutuknya itu. Din juga kelihatan bersahaja apabila perceraian diminta dan merelakannya. Segala yang berlaku sepanjang perkahwinan lalu, cukup membuatkan saya trauma.

“Kini, hanya tinggal saya dan tiga anak yang lahirnya dari zuriat yang berbeza. Walaupun setiap perkahwinan mempunyai sejarah yang berbeza, namun kasih saya buat ketiga-tiga cahaya mata saya akan dibahagikan sama rata,” katanya sebelum menamatkan perbualan di talian.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...