terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 27, 2010

Lebarkan jalan elak kemalangan!!!


KEMALANGAN jalan raya adalah satu tragedi dan akan menjadi tajuk utama akhbar apabila menjelang hari raya atau hari keramaian dan kadang-kadang pada hari biasa juga. Kita akan membaca berita yang menyayat hati hampir setiap hari, amat menyedihkan dan kadang-kadang sesuatu tragedi tidak dapat kita terima.
Setiap kali kemalangan yang dahsyat berlaku, rasa insaf apabila memandu dan berbagai-bagai komen yang kita dengar.

Banyak yang akan menyalahkan sikap pemandu saja. Komen yang kita dengar hanyalah berkisar kepada perkara remeh dan mempersoalkan sikap pemandu saja. Banyak juga komen yang akan cuba melakukan sesuatu terhadap sistem jalan raya. Selalunya janji ini hanya tinggal janji dan akan diulang kembali apabila menjelang hari raya lagi. Janji jarang ditepati dan dilupakan saja apabila sesuatu peristiwa hilang dari ingatan. Kempen untuk mengurangkan kemalangan jalan raya juga tidak kurang hebat. Hampir sepanjang tahun berbagai-bagai kempen akan diusahakan dan pelbagai pameran dianjurkan dan juga pelbagai hadiah serta nasihat diberikan terutama peralatan memandu seperti topi keledar, pelekat kereta dan poster amaran yang sangat menarik

Hasil daripada kempen, mungkin juga ada pengurangan tetapi tidak dapat dikenal pasti keberkesanannya. Pelbagai strategi akan dilakukan oleh pihak Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Ini juga tidak dapat banyak membantu untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Saman demi saman akan dikeluarkan oleh polis kepada setiap kesalahan dengan tujuan untuk memberi pengajaran. Cara ini juga tidak dapat menakutkan pemandu untuk terus melakukan kesalahan jalan raya. Mereka sanggup membayar dan akan mengulang semula kesalahan dalam tempuh terdekat.

Setelah sekian lama bermacam-macam cara dan kaedah dilakukan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Sudah sampai masa dan ketika satu cara dan kaedah yang lain dari yang lain perlu difikirkan.
Satu kaedah yang tidak pernah dicuba ialah membesarkan saja jalan yang sedia ada kepada jalan yang lebih lebar. Pada masa sekarang kaedah reka bentuk jalan mengikut arahan teknik (jalan) 8/86 yang mana minimum lebar jalan untuk JKR R6 untuk kelajuan 120 km/jam adalah 3.5 meter.

Reka bentuk jalan JKR R5 dengan kelajuan 100 km/jam adalah perlu mempunyai lebar minimum 3.5 meter. Lebar jalan JKR R4 kelajuan R3 dengan kelajuan 70 km/j perlu mempunyai kelebaran minimum 3.0 meter manakala jalan JKR R2 untuk kelajuan 60 km/j perlu kelebaran minimum 2.75 meter. Reka bentuk jalan R1 dengan kelajuan 40 km/j perlukan lebar minimum 5.0 (jalan kecil single-lane untuk jalan kampung) dan JKR R1a pula dengan kelajuan 40km/j perlu lebar minimum 4.5 meter (jalan kecil single-lane untuk jalan ke kuari).

Walaupun arahan teknik hanya menyatakan lebar minimum, pihak berkuasa yang membina jalan akan memilih lebar jalan yang minimum. Ini mungkin dilakukan dengan pertimbangan kos pembinaan jalan dan lebar tanah yang ada. Ini akan dilakukan oleh sesiapa saja ketika membuat pertimbangan untuk membuat jalan dilakukan.

DATUK PROF MADYA DR ABU BAKAR MOHAMAD DIAH,
Ketua Pegawai Eksekutif,
Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan (R&DCIC), Jabatan Ketua Menteri Melaka

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...