terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 2, 2010

Mahasiswa tuntut diizinkan berpolitik


BERMULA 1 Ogos guru gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan untuk berpolitik. Saya termenung seketika sambil tersenyum kerana awal- awal pagi lagi sudah membaca tajuk sedemikian rupa.

Sebenarnya saya tidak terpesona dengan tajuk tersebut kerana setakat mana yang saya tahu selama ini pun sudah ada dalam kalangan guru yang menceburkan diri dalam politik.

Tidak kiralah sama ada sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Keadilan Rakyat (PKR), atau pelbagai jenis parti lagi yang ada di negara ini.

Apabila akhbar melaporkan mengenai keizinan untuk guru berpolitik suatu perkara yang sudah di jangka ialah terdapat suara-suara sumbang yang dengan penuh sinis berkata keizinan itu hanya diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi dilarang kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan pakatan pembangkang.

Selama ini pun sudah ramai guru yang memegang jawatan dalam politik. Ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa di peringkat bahagian parti politik. Tidak terkecuali juga yang memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian. Jika mempunyai rezeki pula akan bertanding semasa pilihan raya.

Apabila keizinan berpolitik diberikan kepada guru mengikut tahap, terdapat pula cadangan yang dikemukakan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik.

Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut. Hal ini kerana mahasiswa perlu diberikan hak untuk bersuara dalam isu-isu yang lebih luas merangkumi isu-isu nasional.

Persoalannya sejauh manakah mahasiswa tidak akan menjadi alat kepada parti-parti politik? Adakah tugas hakiki mahasiswa tidak akan terganggu di universiti?

Bersediakah kita untuk bertindak jika wujud pengasingan ideologi politik mengikut ketaksuban dalam mengeluarkan fatwa-fatwa yang akan memihak kepada sesuatu atas dasar kepentingan politik dan seterusnya akan menyebabkan pelajar-pelajar universiti berpuak-puak?

Jika mahasiswa diizinkan berpolitik, sudah bersediakah pihak universiti untuk memberikan keizinan kepada parti-parti politik membuka cawangan-cawangan mini di dalam kampus?

Kesemuanya ini hanyalah persoalan yang timbul di benak fikiran saya.

Bukanlah saya ingin menuduh sesiapa kerana saya yakin terdapat juga rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi yang menceburkan diri dalam politik kepartian di luar sana.

Ada juga rakan-rakan yang berkata secara sinis bahawa mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik dan jika hendak terlibat mereka hanya boleh menganggotai Putera dan Puteri UMNO sahaja.

Penguatkuasaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) tidak mengira parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Saya sendiri hendak menyertai sebuah pertubuhan mengikut keturunan (keturunan nenek moyang) pun memerlukan keizinan daripada Naib Canselor.

Apalah salahnya jika rakan-rakan seperjuangan bersabar seketika untuk menceburkan diri daripada politik kepartian.

Namun begitu cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik perlu diperhalusi lagi. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan mempunyai kesan positif dan negatif.

Saya mengambil sikap berkecuali dalam perkara ini kerana kedua-dua keputusan sama ada mahasiswa itu diizinkan berpolitik ataupun tidak, ia semestinya memberikan impak kepada mahasiswa dan mahasiswi serta pihak universiti.

MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON

Yang Di-Pertua

Ikatan Mahasiswa/I Johor

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...