terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 17, 2010

Makan berlebih jejas hikmah puasa


RUKUN Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan diwajibkan ke atas umat Islam sebagai tanda ketakwaan kepada Allah. Pelbagai ganjaran dan manfaat yang diturunkan bersama kedatangan Ramadan untuk dinikmati oleh umat Islam.

Pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Mohammad Nidzam Abdul Kadir, berkata puasa itu sendiri membawa 1,001 kebaikan kepada umat Islam baik daripada segi pengukuhan iman atau kesihatan.

Sayangnya, umat Islam yang tekun menjalani ibadat puasa pada sebelah siang seolah-olah terlupa kepada matlamat utama puasa itu sendiri apabila makan dan berbelanja melampaui batas apabila tiba waktu berbuka.

“Tujuan ibadat berpuasa ialah untuk menjadikan kita lebih bertakwa dan puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya pengisian puasa itu yang lebih penting.

“Di dalam al-Quran, Allah menyuruh kita makan dan minum tetapi jangan melebihi had, jangan melampaui batas. Malangnya, masyarakat kita apabila berbuka kembali mengikut nafsu,” katanya.

Mohammad Nidzam berkata, umat Islam dibolehkan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang diadakan setiap tahun tetapi kadarnya perlu berpatutan.
Adab berbuka puasa sudah ditunjukkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad dan itulah yang perlu dicontohi oleh umat Islam untuk memperoleh keberkatan berpuasa.
“Cukuplah berbuka dengan sekadar buah tamar, sedikit kuih-muih yang manis dan air kosong untuk mengembalikan tenaga. Ia memudahkan kita untuk bersolat maghrib dengan lebih selesa dan tenang. Kajian saintifik juga menunjukkan buah tamar mengandungi pelbagai khasiat. Paling tidak pun, niatlah berbuka puasa mengikut sunnah Nabi dan Insya-Allah akan menjadi ganjaran pahala.

“Umat Islam perlu ingat, jika berbuka dengan secara berlebihan, hikmah kita berpuasa itu tidak akan dapat diperoleh. Nabi sendiri pernah mengingatkan kita supaya berhenti makan sebelum kenyang,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi keberkatan Ramadan yang tidak diambil berat oleh umat Islam ialah bersahur.

Katanya, mungkin ramai yang tidak menyedari terdapat dua sunnah Nabi dalam bersahur iaitu bangun bersahur dan melewat-lewatkan sahur sehingga hampir waktu subuh.

Sunnah bersahur itu perlu diberatkan oleh umat Islam kerana ia ada keberkatannya.

“Bersahur juga membezakan puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam dan puasa golongan ahli kitab,” katanya.

Oleh Hazirah Che Sab


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...