terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 18, 2010

Mana lebih utama, pesta berbuka puasa atau solat?



Dalam tempoh seminggu ini, kemeriahan suasana Ramadan di negeri ini amat dirasai terutama pada sebelah petang dan malamnya.

Tidak kira pada hujung minggu seperti semalam dan kelmarin atau hari bekerja, jalan-jalan utama di dalam bandar Kuantan sesak teruk berikutan ramai umat Islam berpusu-pusu ke bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa.

Sekurang-kurangnya terdapat 13 bazar Ramadan diwujudkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi memudahkan umat Islam membeli juadah berbuka sepanjang bulan puasa ini.

Antara yang paling menjadi tumpuan ialah di Mahkota Square di Jalan Besar dan pekarangan Stadium Darul Makmur.

Lokasi-lokasi lain yang turut menjadi tumpuan ialah di Tanjung Api dan Taman Tas.

Pada sebelah malamnya pula, kemeriahan tetap dirasai terutama di masjid dan surau apabila umat Islam mengambil kesempatan terhadap kemuliaan Ramadan untuk mempertingkatkan amalan ibadat masing-masing.

Ada masjid yang mengambil inisiatif dengan mengadakan solat tarawih sebanyak 21 rakaat dan sebahagiannya hanya lapan rakaat.

Tidak kurang juga yang datang ke masjid atau surau untuk menikmati jamuan moreh yang disediakan selepas solat tarawih.

Apa pun suasana sebegini tidak dapat disaksikan pada bulan-bulan lain kecuali Ramadan - sejajar dengan statusnya sebagai penghulu segala bulan.

Sebagaimana kebiasaan pada bulan-bulan puasa yang lalu, penulis juga tidak melepaskan peluang untuk berbuka bersama keluarga di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berhadapan dengan Masjid Negeri.

Jika tidak hujan, lokasi ini amat meriah atau 'happening' apabila ramai penduduk daerah ini, sama ada bersama berkeluarga atau rakan-rakan 'berkelah' untuk berbuka puasa.

Lokasinya amat strategik kerana di sebelah padang itu terletaknya Mahkota Square iaitu bazar Ramadan yang terbesar di bandar ini.

Apatah lagi ia betul-betul berhadapan Masjid Negeri yang memudahkan orang ramai mendengar azan Maghrib berkumandang yang menandakan masuk waktu berbuka dan seterusnya menunaikan solat.

Selepas membeli juadah, penulis dan keluarga membentang hamparan dan menunggu waktu berbuka.

Selepas berbuka, penulis dan keluarga bersiap-siap ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib dengan hanya berjalan kaki kerana kedudukannya hanya beberapa meter dari padang tersebut.

Namun satu pemandangan yang menyedihkan apabila ramai di kalangan umat Islam yang berbuka pua sa di padang itu terus 'berkelah' tanpa menghiraukan waktu Maghrib yang hampir luput.

Sebahagian mereka masih berborak, bergelak ketawa dan merokok di atas padang seolah-olah amalan puasa itu hanya tamat di situ tanpa memikirkan ada satu lagi ibadat yang wajib ditunaikan iaitu solat Maghrib.

Penulis pernah mendengar satu tazkirah ketika bersolat tarawih di sebuah surau di Bandar Indera Mahkota yang disampaikan oleh seorang ustaz muda yang menegur sikap segelintir umat Islam yang gagal membezakan amalan yang perlu didahulukan.

Tegasnya, sebahagian besar umat Islam di negeri ini tidak dapat membezakan kepentingan solat atau puasa.

Menurut ustaz yang berumur dalam lingkungan 30-an itu, ramai yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat sedangkan mengikut Rukun Islam, kedudukan solat adalah di tangga kedua sebelum puasa.

Ini bermakna kedudukan solat lebih utama berbanding puasa.

Begitu juga dengan kehadiran umat Islam ke masjid, ujarnya, mereka lebih berpusu-pusu menunaikan solat tarawih sedangkan amalan itu tidak berlaku pada solat fardu.

Maka tidak hairanlah masjid dan surau sentiasa dipenuhi jemaah dalam tempoh seminggu dua dalam bulan Ramadan ini.

Fenomena sedemikian bukan sahaja berlaku di Pahang malah di seluruh negara dan dunia ini.

Menurut ustaz itu, senario tersebut bukanlah satu kesalahan tetapi kurang tepat di sisi agama.

Jadi sebagai umat Islam, marilah kita bermuhasabah diri dan memikirkan semula apakah tindakan yang kita lakukan pada bulan Ramadan ini bertepatan dengan kehendak Islam.

Mungkin Ramadan kali ini menjadi titik tolak kepada kita untuk mengubah semula amalan kita sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran Islam yang sebenar.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...