terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 8, 2010

Minta kerajaan gempur kubu kuat skim cepat kaya


SKIM cepat kaya masih menghantui masyarakat Malaysia terutama kaum Melayu. Dari bandar raya Kuala Lumpur sampailah ke kawasan Felda, tidak serik-serik golongan lintah darat ini mengambil kesempatan. Malah lebih memalukan golongan penyangak ini terdiri daripada kaum Melayu juga.

Skim-skim cepat kaya pada zaman ini boleh dikatakan sebagai amat licik dan berteknologi tinggi dengan berbekalkan umpan seperti kenderaan mewah dan cerita-cerita perubahan hidup yang berjaya dilakukan dalam jangka masa singkat selepas mengikuti skim cepat kaya itu.

Mengapa ramai orang Melayu terjebak dalam permasalahan ciptaan sendiri? Kurang bijaksanakah orang Melayu atau sengaja mencari jalan mudah untuk mencapai kekayaan?

Jika kita katakan yang terjebak atau yang terperdaya dengan skim ini adalah golongan Melayu berpendidikan rendah maka jawapan saya adalah salah. Ramai juga Melayu profesional menjadi mangsa lintah darat ini.

Ada antara mereka yang telah terjebak dengan skim ini menjadi sombong kerana telah menerima 'kekayaan' segera dan tanpa berlengah lagi mengajak sanak saudara agar turut serta menjadi 'lembu masuk ke dalam kandang.'

Saya tidak menyaran orang Melayu menjadi kedekut dan simpan duit di bawah bantal. Saya cuma mahu mengajak orang Melayu menggunakan masa yang ada untuk meneliti sebarang pelaburan kewangan jangka masa panjang.

Sebagai contoh, saya akan mengambil masa yang lama untuk berfikir ketika membeli kenderaan, rumah, insurans/takaful, saham amanah dan juga pelaburan dalam instrumen kewangan lain. Ini kerana membeli kenderaan memerlukan komitmen kewangan selama tujuh tahun, rumah memerlukan komitmen kewangan dalam 30 tahun dan pelaburan lain memerlukan jangka masa yang amat panjang.

Sedih saya melihat bagaimana golongan lintah bangsa ini mengutuk golongan yang tidak mahu menyertai 'skim gerenti kaya' mereka dengan label seperti kolot dan jumud. Lebih sedih lagi golongan ini telah memanipulasikan artis-artis, ahli politik dan juga tokoh-tokoh agama terkenal.

Orang Melayu apabila sudah melihat golongan ternama dan terkenal seperti itu turut serta dalam skim ini, maka ia seolah-olah memberi lampu hijau dan menghalalkan segala yang termaktub dalam skim tersebut. Sedangkan golongan tersebut tidak tahu menahu mengenai skim itu dan tidak pernah menyertainya.

Nasihat saya kepada artis, menteri, ahli politik dan tokoh agama supaya berhati-hati ketika diminta merasmikan apa sahaja bentuk perniagaan kerana gambar ketika merasmikan majlis tersebut akan dijaja sebagai lesen halal untuk syarikat tersebut beroperasi. Bukan sekali dua saya melihat golongan skim cepat kaya ini menjaja gambar-gambar menteri merasmikan premis mereka tanpa segan silu.

Yang lebih memalukan adalah penglibatan penjawat awam di dalam skim ini yang rata-ratanya menjadi mangsa. Mengapa? Sekali pandang boleh dibuat kesimpulan, ini kerana gaji dan emolumen yang tidak mencukupi.

Namun salah satu sebab utama adalah kelemahan dalam merancang kewangan diri dan keluarga. Ada yang gaji baru RM2,000 sebulan sudah mahu memandu kenderaan bernilai RM80,000 ke atas dan jangan terperanjat jika ada penjawat awam ke pejabat menaiki kenderaan bernilai hampir setengah juta.

Melihat mereka yang berjaya juga menyebabkan golongan ini menjadi iri hati dan ingin mencapai kejayaan yang sama dalam masa yang pantas. Kadang-kadang benda yang cepat tak semestinya bagus.

Cadangan saya mudah. Kita minta jasa baik kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia , Bank Negara dan agensi-agensi kerajaan yang lain menggempur kubu kuat lintah bangsa ini.

Kita pukul kubu mereka laksana tsunami. Namun semua ini memerlukan maklumat dan bantuan daripada mangsa-mangsa yang terlibat. Jika tiada aduan maka tiadalah tindakan daripada pihak kerajaan.

Mohammad Noorizzuddin Nooh

Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Universiti Sains Islam Malaysia

1 comment:

  1. inilah yg diperjuangkan oleh bloger Aidid Mu'adid. tp pelik gak kerajaan kita butakan mata tentang isu begini. tengok China & Singapura, takde yg berani nak buat MLM, Piramid scam etc...
    sbb kerajaan dia yg celik ekonomi. negara kita takde pakar ekonomi kot, kalu ada sibuk nak jaga perut sendiri.

    bahan bacaan http://aididmuaddib.blogspot.com/

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...