terima kasih buat kalian semua..

Thursday, August 5, 2010

Orang Melayu mesti bersatu tolak kopitiam tiada pengiktirafan halal


JIKA sebelum ini, umat Islam digemparkan dengan insiden pasar raya besar menjual ayam yang tidak disembelih dengan sempurna, kini sekali lagi umat Islam digemparkan dengan sajian yang tidak halal oleh kebanyakan kopitiam.

Jelas terpapar di direktori www.halal.gov.my hanya dua kopitiam saja yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Justeru, apakah status makanan yang dimakan oleh umat Islam di lain-lain kopitiam?

Sebelum kewujudan kopitiam, umat Islam lebih selesa makan dan minum di kedai makan orang Melayu Islam dan restoran mamak. Mereka menikmati makanan tanpa rasa was-was akan halalnya. Namun kewujudan kopitiam yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan menyebabkan masyarakat Islam di negara ini terutama orang Melayu mengubah selera mereka ke kopitiam ini.

Walaupun pelbagai pihak mempersoalkan status halal dan haram makanan yang disediakan oleh kopitiam ini namun majoriti masyarakat Islam tidak mengendahkannya. JAKIM yang turut menyediakan kemudahan menyemak status halal sesebuah kopitiam di laman webnya, namun masyarakat Islam lebih percayakan pemilik kopitiam yang meletakkan pelekat halal haram serta mengupah anak muda Melayu sebagai pekerjanya.

Namun bahan mentah terutama daging ayam diperoleh daripada pembekal bukan Islam malahan terdapat kopitiam yang turut menyajikan makanan haiwan eksotik seperti katak yang dilaporkan oleh media massa. Namun masyarakat Islam tidak memandang berat insiden itu kerana dikaburi oleh status elit kopitiam ini.

Jika masyarakat Islam masih menganggap isu halal haram kopitiam sebagai remeh, lihat pula dari sudut bagaimana kopitiam ini sebenarnya secara perlahan-lahan membunuh kedai makan orang Melayu di bandar.

Majoriti orang Melayu tidak akan makan dan minum di kedai kopi orang Cina kerana meragui status halalnya tetapi orang Melayu tidak menolak kopitiam. Maka berduyun-duyunlah masyarakat Islam memenuhi kopitiam terutama dari kalangan teknokrat dan korporat Melayu.
Namun, yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat Islam perlu bersatu menolak kopitiam yang tanpa segan silu terus menyajikan makanan yang tidak halal kerana mereka anggap masyarakat Islam sendiri sudah tidak mementingkan halal atau haram sesuatu makanan.

Jika kita kasihankan generasi muda Islam yang akan rosak jiwanya kerana terus menikmati makanan yang tidak halal, yang menjadi darah daging mereka, kita harus bertindak mengajar kopitiam seluruh negara agar menghormati kehalalan makanan orang Islam!

NORHISYAM MOHAMAD,
Pergerakan Pemuda Umno,
Bahagian Kuala Kedah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...