terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 20, 2010

Pelancong pelacur, orang suka tapi salah siapa?


DI samping kes pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi, media saban hari melaporkan kegiatan rumah urut, pelacuran dan gadis khidmat pelanggan (GRO) yang ditangkap.

Perkara ini melibatkan warga asing terutamanya dari China di samping Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan tidak terkecuali warganegara Malaysia sendiri.

Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang adalah antara negeri-negeri utama yang menjadi kegiatan maksiat ini termasuklah Kelantan yang juga tidak terkecuali daripada kegiatan tidak bermoral ini.

Tetapi malangnya, walaupun tangkapan demi tangkapan dan serbuan demi serbuan telah dibuat berpuluh-puluh kali oleh pihak berkuasa namun tempat maksiat tersebut akan dibuka kembali tidak lama kemudian!

Seolah-olah mereka tidak serik dan takut akan undang-undang yang dilaksanakan!

Ironinya mereka yang ditangkap dan dihantar pulang akan kembali ke Malaysia dan meneruskan aktiviti yang sama!

Di manakah salahnya? Adakah terdapat kebocoran rahsia semasa serbuan dibuat, yang menyebabkan pengusaha tempat maksiat tersebut terlepas daripada undang-undang atau terlepas didakwa?

Kita merasa amat muak apabila berkali-kali gambar berpuluh-puluh warga asing ini yang berpakaian tidak senonoh ditangkap pihak berkuasa yang disiarkan di akhbar dan di TV.

Saban hari ada sahaja serbuan dibuat dan ditayangkan di TV. Adakah budaya sebegini yang kita mahu ditayang dan dipertontonkan pada anak-anak kita?

Tidak cukup lagikah dengan isu-isu membuang bayi secara berterusan?

Negara kita juga telah cuba untuk dijadikan hub/pengkalan dadah antarabangsa.

Apakah tugas pihak berkuasa cuma serbu, tangkap, dakwa, denda dan hantar pulang warga asing tersebut maka dianggap tugas mereka sudah selesai? Bagaimana pula pengusaha rumah urut dan pengusaha rumah pelacuran yang terdiri daripada rakyat tempatan dan menjadi tauke kaya boleh terlepas tanpa didakwa? Esok atau lusa dengan segera mereka akan membuka semula tempat-tempat pelacuran dan yang tidak bermoral ini tanpa perlu rasa takut kerana 'supply' senang diperoleh dengan kelonggaran visa kemasukan ke negara ini adalah terlalu mudah melalui VOA (kita bersyukur kerana VOA ini telah dibatalkan).

Kita merasakan sudah sampai masanya semua agensi kerajaan terutamanya polis, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri mengembling tenaga untuk menyekat kebanjiran pelancong yang tidak beretika ini, mencari mereka yang hilang dan membawa dalang-dalang yang terlibat kemuka pengadilan tanpa memilih bulu!

SHARIAL OMAR AL-MUNSYI

Rawang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...