terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 3, 2010

Penarafan IPT wajar ambil kira prasarana pelajar istimewa


PENARAFAN tujuh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 11 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mencapai tahap cemerlang atau Tier 5 oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) baru-baru ini pasti membanggakan warga kampus masing-masing.

Kira-kira 25 IPTA dan swasta lain tergolong dalam Tier 4 iaitu tahap Sangat Baik, manakala empat universiti dan kolej universiti swasta menduduki Tier 3 iaitu pada tahap Baik.

Apa pun, Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) dijadikan kayu ukur untuk meletakkan institusi ini pada kedudukan berdasarkan kriteria ditetapkan, iaitu 25 kriteria yang digariskan dalam program SETARA yang meliputi tiga dimensi generik iaitu input, proses dan output dalam pengajaran dan pembelajaran.

Persoalan mula timbul apabila kriteria yang dinilai hanya bersandarkan kepada pembelajaran dan pengajaran. Jika itu dijadikan sandaran, pasti agak sukar bagi IPT di negara ini untuk menyaingi IPT antarabangsa. Bukan hanya hasil kajian, artikel mahupun jurnal perlu diperhatikan sebagai kaedah untuk membuat penilaian. Banyak kriteria penting lain yang perlu dipertimbangkan.

Kemudahan asas secara menyeluruh juga perlu diambil kira. Sebagai contoh, kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU). Persekitaran bebas adalah halangan bagi memudahkan pergerakan mereka. Ia bukan saja membabitkan kemudahan fizikal, malah pengurusan, komunikasi, kebolehcapaian teknologi maklumat dan sebagainya sebagai alat bantu ketika belajar mahupun mengajar.

Pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Dr Naziaty Mohd Yaacob mengakui jika penarafan sedia ada dijadikan sandaran, pasti ia masih belum memadai.

“Saya rasa persaingan ini hanya dalam kalangan kita saja, apakah ukuran itu memadai untuk kita bersaing pada peringkat antarabangsa. Kita perlu mencabar diri kita untuk menjadi lebih cemerlang,” katanya.
Beliau yakin MQA boleh memainkan peranan dengan memastikan antara kriteria yang bakal dinilai harus membabitkan dasar khusus untuk warga OKU.

“Kami sebagai warga OKU sudah pasti akan meningkat usia dan memerlukan kemudahan yang memudahkan kami menjalankan tugas. Adalah tidak wajar bagi IPT untuk menyingkirkan ahli akademik terutama profesor dan pensyarah yang banyak melakukan kajian dan menulis jurnal hanya kerana ada kekurangan, lebih-lebih lagi fizikal,” katanya.

Malah, di luar negara sudah wujud dasar yang membabitkan OKU dan IPT antarabangsa mampu mewujudkan sebuah universiti komuniti yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga kampus dan orang awam agar bersama-sama melakukan pelbagai aktiviti.

Lebih menarik lagi, katanya, IPT seperti Universiti Kebangsaan Cheng Kung, Tainan, Taiwan menyediakan kemudahan yang baik untuk warga OKU.

Beliau yang baru-baru ini melawat universiti itu mengakui adalah mudah untuk beliau bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan kampus. Kemudahan mengakses bahan rujukan turut disediakan. Beliau juga menjadikan Jepun sebagai contoh.

“Di sana, saya mampu bergerak bebas dengan kerusi roda.

“Kita sering terlupa bukan hanya insan sempurna saja memerlukan pendidikan. OKU juga mengharapkan perhatian. Malangnya, kebanyakan IPT di negara ini tidak menyediakan prasarana mahupun alat bantuan yang boleh memudahkan golongan ini,” katanya.

Jangan hanya ingin mengejar penarafan, kita hampir terlupa untuk memenuhi tanggungjawab lain sehingga meminggir dan menekan tenaga pengajar. Apapun, 11 IPT yang gagal mendapat penarafan kerana pelbagai sebab perlu meneruskan usaha untuk mencapai satu kedudukan lebih baik dan mempertimbangkan kemudahan yang belum disediakan oleh IPT lain, agar kesaksamaan mencari ilmu dapat dinikmati, terutama mereka yang kurang bernasib baik.

Oleh Ratinawati Rasidi


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...