terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 1, 2010

Pengajar SBP kecewa JPN ketepi senior untuk naik pangkat


SAYA ingin mendedahkan rasa ketidakpuasan hati kami guru Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di atas nasib kami dari segi kenaikan pangkat.

Rata-rata guru senior ketinggalan dalam proses kenaikan pangkat berbanding guru di sekolah harian. Tidak menunggu begitu lama untuk menjadi pengetua mahupun pegawai di pejabat pendidikan daerah (PPD) mahupun Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Setiap kali ada kekosongan jawatan pengetua di SBP, orang yang akan mengisi jawatan adalah pengetua dari sekolah harian. Bagaimana, nasib Guru Penolong Kanan (GPK) yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun, tidak diberikan peluang langsung mengisi jawatan berkenaan.
Hendak tunggu dilantik ke pengetua sekolah harian, jauh panggang dari api, kerana pihak JPN lebih mengutamakan calon mereka. Tidak mustahil jika guru di SBP dipenuhi oleh guru baru kerana yang senior sudah bertukar bagi memudahkan kenaikan pangkat.

Begitu juga dengan kenaikan dari segi guru cemerlang. Kebanyakan guru cemerlang dari sekolah harian. Adakah guru di SBP ini tidak layak menjadi guru cemerlang disebabkan pelajar terpilih?
Kami bekerja siang malam demi menghasilkan pelajar yang cemerlang dan adakah ini dilaksanakan oleh guru cemerlang di sekolah harian? Rata-rata guru cemerlang sekolah harian lebih selesa memberikan seminar di sekolah orang lain bagi memenuhkan kocek mereka.

Mereka ini juga tidak perlu memperoleh keputusan yang cemerlang, cukuplah hanya sedikit peningkatan saban tahun. Di manakah nasib kami ini akan dibela?
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tiada masa hendak melayan kami guru SBP yang tidak sampai 5,000 orang. Tidak mustahil, setiap kali sistem e-pertukaran, guru di SBP yang paling ramai akan memohon pertukaran. Hasilnya, ramai yang kecewa tidak dapat bertukar ke sekolah harian.

Sudahlah kenaikan pangkat payah, memegang jawatan guru cemerlang jauh sekali mohon pindah pun tidak dapat. Saya merayu pihak yang mempunyai pengalaman berkhidmat di SBP mendengar luahan hati dan memberikan sedikit ruang untuk membela nasib kami.

GURU LAMA DI SBP,
Perak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...