terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 11, 2010

Peritnya nasib akibat saman ekor


SAYA merupakan seorang agen insurans merasa terpanggil untuk memberikan maklum balas berhubung perlaksanaan saman ekor yang menyekat pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan mereka.

Sebagai seorang yang sering berurusan dengan golongan ini, saya dapat merasakan kesulitan dan kepayahan pemilik kenderaan ini apabila gagal untuk memperbaharui cukai jalan ekoran disekat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk makluman, majoriti pemilik kenderaan ini merupakan golongan berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kenderaan untuk urusan seharian. Ada yang bekerja sendiri, pesara kerajaan, peniaga kecil-kecilan, peruncit dan sebagainya.

Bayangkanlah kesulitan mereka apabila satu-satunya kenderaan yang ada disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan. Pengalaman saya mendapati, ada saman ekor yang disekat bukan satu tetapi sehingga lima sekali gus. Ini bermakna pemilik terpaksa membayar RM1,500 untuk kelima-lima saman ekor sekiranya ingin memperbaharui cukai jalan.

Untuk makluman bersama, golongan ini turut mempunyai keperluan lain untuk disediakan, termasuk perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak dan keluarga.

Tidak hairanlah, sekiranya kita mendapati ramai pemilik kenderaan masih terus memandu kenderaan masing-masing walaupun cukai jalan kenderaan mereka telah tamat tempoh. Lebih membahayakan, ada di antara kenderaan tersebut turut tidak dilindungi insurans.

Tindakan polis menyenaraihitamkan nombor kad pengenalan pemilik kenderaan turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Bagi yang mempunyai lebih dari sebuah kenderaan (contoh kereta A dan B) yang didaftarkan atas nama yang sama, sekiranya kereta A disaman, pemilik terbabit turut disekat daripada memperbaharui cukai jalan bagi kereta B. Kenapa ini berlaku?

Rakyat merasa teraniaya, marah dan 'memendam rasa' kerana telah 'dihukum' terlebih dahulu. Pendekatan 'bayar dulu, cerita kemudian' merupakan kaedah yang paling tidak berhemah dan mempunyai elemen paksaan tanpa diplomasi dan budi bicara. Rakyat tidak mempunyai pilihan sebaliknya terpaksa membayar saman. Jika tidak, cukai jalan tidak dapat dikeluarkan.

Mungkin inilah yang dikatakan 'Rakyat Didahulukan'. Ya, rakyat didahulukan untuk 'dipaksa' membayar saman atas kesalahan yang masih belum dibuktikan di mahkamah.

Pada hemat saya, sekiranya perlaksanaan saman ekor atau 'saman sekat' ini tidak ditangani dengan segera dan berhemah, mungkin rakyat tidak mempunyai pilihan sekarang, tetapi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, kuasa pilihan di tangan mereka.

Saiful

Kampung Baru

Kuala Lumpur

1 comment:

  1. Ermmm....Tunggu le PRU13 nanti....Time rakyat pulak nak ajar **** laknatullah...tak lama lagi dah....kita yang teraniaya ni perbanyakkan doa kepada Allah...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...