terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 16, 2010

Puasa upah - RM1 sehari?



MEMASUKI Ramadan, Kamarul mula dilanda dilema. Anaknya, Danial sudah mencapai usia tujuh tahun. Tahun lalu, Danial cuba berpuasa namun hanya bertahan seminggu. Itupun selepas dijanjikan hidangan kegemaran Danial, ayam goreng setiap hari ketika waktu berbuka. Kali ini, Kamarul terfikir wajarkah beliau mengupah Danial RM1 sehari bagi setiap hari anaknya berpuasa

Kamarul mula memikirkan apakah dengan memberi upah, Danial akan memahami fadilat puasa dan simbolik amalan suci ini? Kamarul risau andai Danial lebih terdorong mengumpul wang daripada memahami erti menahan lapar dan dahaga atau menginsafi kehidupan golongan yang lebih memerlukan. Danial mungkin terlalu muda untuk memahaminya, namun bagi Kamarul, beliau tidak mahu mengabaikan aspek itu dalam membimbing anaknya menjadi insan soleh

Amalan upah puasa sudah lama diamalkan di Malaysia. Ibu bapa cenderung memilih pendekatan ini bagi menggalakkan si anak berpuasa. Jika tidak diberi wang sekalipun, ibu bapa akan berjanji dengan si anak untuk membeli permainan atau apa saja barang yang diminatinya sebaik saja ibadat puasa selesai. Bagi si kecil, tiada yang lebih menggembirakan andai ganjaran wang dan permainan menanti mereka selain keseronokan berhari raya.

Mengulas isu upah puasa, pakar kanak-kanak di Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), Dr Noor Aziah Mohd Saari, menjelaskan sudah menjadi lumrah manusia memerlukan pujian dan sanjungan setiap kali berjaya melaksanakan tugasan atau pekerjaan. Selain pujian dan sanjungan, cara lain yang dilakukan untuk meningkatkan motivasi dan dorongan ialah dengan pemberian ganjaran.

“Mengikut kajian perkembangan sosial kanak-kanak, memberi ganjaran kepada anak untuk sesuatu tingkah laku dirujuk sebagai modifikasi tingkah laku.
Ganjaran boleh bersifat luaran iaitu senyuman, pelukan, atau keistimewaan lain.
“Ia juga boleh berupa pemberian gula-gula, wang, barangan mainan, buku dan sebagainya. Bentuk-bentuk ganjaran yang yang diberi mestilah sesuatu yang diingini anak-anak dan diberi secara konsisten selepas anak melaksanakan tingkah laku yang dikehendaki dalam konteks ini, kejayaan berpuasa penuh,” katanya kepada sisipan Sabtu.

Dr Noor Aziah berkata, selepas jangka masa tertentu, tingkah laku itu dengan sendirinya memberikan anak suatu ganjaran dalaman iaitu rasa seronok, bijak atau cekap. Ibu bapa yang selalu memberi pujian kasih sayang dan perhatian kepada anak menggalakkan anak untuk terus menunjukkan tingkah laku baik.

“Pemberian upah dalam bentuk wang ringgit mahupun permainan dan seumpamanya kepada anak kecil bermaksud mereka mendapat ganjaran dalam bentuk material. Di sini, setiap perbuatan itu memberikan impak kepada minda anak-anak sama ada positif mahupun negatif.

“Dari sudut negatif, pemberian upah dan ganjaran mampu membentuk sifat terlalu menuntut, cenderung kepada kebendaan dan mengharapkan ganjaran hingga dewasa jika tiada kawalan atau tidak diperjelaskan maksud, nikmat dan manfaat ibadat berpuasa sejak dari kecil lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Aziah berkata, cara terbaik untuk mendidik anak memahami tujuan dan kebaikan ibadat puasa adalah dengan contoh dan perlakuan ibu bapa sendiri. Secara tidak langsung, katanya, sikap dan perlakuan ibu bapa boleh mendorong anak-anak untuk berpuasa atas kerelaan diri mereka sendiri, atas dasar tidak mahu ketinggalan dan menikmati keseronokan waktu berbuka puasa bersama keluarga.

“Saya pernah melihat kanak-kanak berusia seawal empat tahun berpuasa penuh dan hanya tinggal lima hari saja sepanjang sebulan di bulan Ramadan tanpa sebarang masalah. Ini bermakna seawal usia empat tahun kanak-kanak ini sudah diterapkan dengan maksud mencari pahala, keredaan Allah dan semangat yang tinggi untuk menjadi anak yang baik, sebagai ganjaran,” katanya.

Bagaimanapun, pesan Dr Noor Aziah, untuk membenarkan anak-anak kecil berpuasa penuh, ibu bapa perlu peka dengan tahap kesihatan mereka dan memastikan tubuh mereka lengkap dengan segala nutrisi yang diperlukan supaya ia tidak mengganggu proses tumbesaran.

Sementara itu, pasangan ibu bapa, Sharul Niza Mahmood, 36, dan Shuhaya Suid, 35, turut memberi upah atau ganjaran kepada anak mereka yang dapat berpuasa penuh.

Anak sulung mereka, Syafiq Amsyar, 8, sudah mula berpuasa sejak berusia lima tahun. Walaupun ketika itu, Syafiq tidak dapat berpuasa penuh, atas kecekalan untuk berlatih menunaikan rukun Islam ketiga itu, Sharul dan Shuhaya menghadiahkan Syafiq permainan elektronik PSP seperti yang diidam-idamkannya.

”Mulanya, Syafiq terbuka hati untuk belajar berpuasa selepas melihat kami dan keluarga berpuasa. Jadi, dia pun mahu ikut berpuasa.

”Sebagai galakan, kami katakan kepadanya, jika dapat berpuasa penuh, kami akan berikan hadiah yang dia inginkan. Ketika itu, PSP adalah antara permainan yang digemari kanak-kanak, jadi Syafiq meminta permainan itu sebagai hadiah,” kata Shuhaya.

Galakan yang diberi nampaknya berhasil. Sejak daripada itu, Syafiq mula berpuasa penuh dan menerima ’upah’ lagi daripada ibu bapanya.

Sharul menambah, walaupun sesekali mereka mengusik Syafiq dengan menyuruhnya berbuka puasa, Syafiq tetap mahu melengkapkan puasanya. Adik Syafiq, Syabil Amsyar juga akan mula belajar berpuasa tahun ini kerana teringin memperoleh permainan seperti yang diterima abangnya.

Mengenai pemberian upah oleh sesetengah ibu bapa untuk melatih anak mereka berpuasa, Shuhaya berpendapat cara itu tidak salah, tapi ia perlu disertai dengan didikan yang betul.

”Ibu bapa perlu menerangkan kepada anak bahawa puasa itu masih tetap wajib dilaksanakannya sebagai umat Islam walaupun kami tidak memberikannya upah atau hadiah.

”Alhamdulillah, apabila Syafiq mula bersekolah dan menerima pendidikan agama di sekolah, dia mula faham mengenai ibadat puasa,” ujarnya.

Pasangan suami isteri ini berpendapat, upah puasa boleh dijadikan cara untuk menggalakkan anak-anak yang masih belum bersekolah untuk berlatih berpuasa.

”Apabila sudah mula belajar di sekolah dan bergaul dengan rakan, secara tidak langsung mereka akan faham mengapa mereka perlu berpuasa.

“Ketika itu juga upah atau hadiah tidak lagi menjadi keutamaan dan ada di antara mereka yang mula merasai nikmat berpuasa yang sebenar,” jelas Sharul.

Ditanya, wajarkah jika anak diberikan upah atau hadiah yang mahal harganya, Shuhaya menjawab, ia terpulang kepada kemampuan ibu bapa itu sendiri.

”Permainan elektronik misalnya, jika tidak kerana puasa pun, anak-anak akan meminta ibu bapa membelikannya. Jadi, apa salahnya kita mendidik anak bahawa mereka perlu berbuat sesuatu untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.

”Lagipun, permainan ini boleh digunakan untuk tempoh yang lama. Bagi yang tidak mahu memanjakan anak dengan barangan mahal, mereka boleh juga mengupah anak mereka dengan menyediakan makanan kegemaran anak untuk berbuka puasa sebagai galakan untuk anak itu berpuasa,” katanya.


Upah sebagai dorongan, ditegah jika usia matang

PENCERAMAH bebas, Ustaz Dr Mohamad Zulkifli Al-Bakri melihat dua situasi berhubung amalan memberi upah dalam bentuk wang ringgit kepada anak yang baru belajar berpuasa.

Pertama, sekiranya amalan berpuasa yang cuba diterapkan dijadikan sebagai mukadimah untuk mendidik dan mengajar anak-anak, maka ini amat digalakkan dan dibolehkan kerana tujuannya adalah untuk memberikan motivasi.

“Seperti amalan para sahabat nabi di kalangan ibu dan wanitanya pada zaman itu yang melatih anak-anak kecil mereka berpuasa dengan cara melalaikan mereka dengan permainan.

“Jadi apabila kita kaitkan atau kiaskan keadaan ini dengan amalan memberi ganjaran berupa wang kepada anak-anak sebagai pendorong atau perangsang, itu tidak jadi masalah kerana mereka masih kecil dan belum akil baligh,” katanya.

Dalam situasi kedua, Dr Mohamad Zulkifli berkata, jika amalan upah ini berlanjutan sehingga kanak-kanak matang, maka itu tidak boleh sama sekali kerana apabila usia meningkat dewasa, anak-anak sudah sepatutnya faham bahawa amalan puasa itu adalah ibadat yang dilakukan kerana Allah SWT bukan kerana duit.

“Seperti mana maksud doa berbuka puasa, Ya Tuhanku, kerana mu juga aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihmu Ya Allah Yang Amat mengasihi. Maksud ini secara terang-terangan menunjukkan betapa ibadat puasa ini dijalankan khusus untuk Allah SWT.

Melihat dari perspektif berbeza, Dr Mohamad Zulkifli lebih bersetuju jika anak-anak diberi upah ke arah kebaikan atau hadiah yang boleh menolong agama dan pendidikan iaitu hadiah yang berbentuk serampang dua mata.

“Sebagai contoh, seperti berjanji, wahai anakku jika anak berjaya berpuasa penuh tahun ini kita sekeluarga akan pergi menunaikan umrah atau abah akan beli set buku agama.

“Oleh itu, sebagai ibu bapa kita perlu faham bahawa niat untuk memberi ganjaran kepada anak-anak adalah baik tetapi bukan untuk selama-lamanya. Selain sebagai mukadimah kita juga perlu mengajar maksud, erti, hikmah dan nikmat puasa itu,” katanya.

Beliau berkata, sifat mengajar anak-anak berpuasa adalah tradisi para sahabat sejak sekian lamanya. Untuk itu, sebagai ibu bapa, kita hendaklah melengkapi anak-anak dengan tabiat puasa sejak awal lagi sama seperti bagaimana kita kiaskan dengan kewajipan sembahyang.

Seperti Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 183 dan 185) mengenai kewajipan berpuasa yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana yang diwajibkan atas orang orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa"

Oleh Suzan Ahmad & Diyanah Anuar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...