terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 17, 2010

Rambang juadah berbuka


ADUH! Yang itu sedap, yang ini pun membuka selera. Ayam percik, nasi kerabu, daging salai - semuanya menggoda. Tidak cukup sajian utama, tekak teringin pula menjamah manisan. Pengat pisang, puding karamel dan bubur cha cha semuanya tampak menyelerakan selepas seharian menahan diri dari lapar dan dahaga.
Inilah dialog yang biasa kedengaran atau terlintas di hati sebaik menjejakkan kaki di bazar Ramadan. Apatah lagi bagi golongan pekerja, mustahil saban hari berkejar ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka selepas waktu pejabat. Paling mudah, pandu saja ke bazar Ramadan yang menyediakan 1,001 jenis makanan dan lauk pauk untuk dijamah waktu berbuka.
Dugaan betul! Belum sempat melunaskan kewajipan berpuasa, hati diduga dengan limpahan juadah yang di ceruk mana sekalipun dan apa saja yang teringin dijamah, ada di depan mata. Tidak cukup satu, dua tiga lauk dibeli. Tidak keterlaluan dikatakan, kunjungan ke bazar Ramadan andai dilakukan tanpa matlamat atau tujuan tertentu, ditambah pula dengan nafsu yang sukar dikawal, pasti membawa kepada pembaziran yang merugikan.

Tidak hairanlah, niat membeli sekeping murtabak saja misalnya, terbawa-bawa hingga akhirnya habis ‘diborong’ pelbagai jenis kuih-muih. Itu belum lagi dikira pelbagai jenis air manis dari air mata kucing, cincau dan tebu yang akhirnya ‘terperam’ saja dalam peti ais kerana tidak mampu dihabiskan.

Begitulah senario sama yang dilihat setiap kali tibanya Ramadan. Tidak salah jika mahu memuaskan hati dengan memenuhi selera. Bak kata orang, jika sudah teringin, haruslah segera dicari. Namun, sikap sebegitu ada kalanya membawa kepada pembaziran. Mengapa segelintir daripada kita cukup sukar mengawal nafsu sedangkan tahu segala keburukannya?

Berbicara soal kemaruk berbuka, sisipan Sabtu berkongsi pandangan Pensyarah Psikologi Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor yang menjelaskan Teori Keperluan Maslow (Abraham Maslow) berhubung keinginan untuk makan yang jatuh dalam kategori keperluan fisiologi.
Keperluan Fisiologi bermaksud keperluan manusia yang paling asas iaitu untuk hidup. Untuk hidup manusia perlukan udara, air, makanan dan tempat tinggal bagi memenuhi keperluan utama ini. Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintegrasi, jadi sekiranya individu ini lapar, bukan sebahagian daripada diri individu berkenaan lapar sebaliknya keseluruhan dirinya menunjukkan rasa lapar.

Gelojoh atau pelahap makan adalah sikap yang biasa di kalangan masyarakat sama kita sedar atau tidak. Jangan merasa jauh kerana secara tidak langsung sikap ini sudah ada dalam diri akibat amalan rutin pemakanan sejak dari kecil lagi.

“Ada orang yang makan tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Sementara ada pula yang mengamalkan makan lewat malam atau supper selepas makan malam.

“Melihat dari aspek gelojoh dan pelahap, kita tahu sewaktu bulan puasa individu menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Maksudnya untuk jangka waktu tertentu, kita berjaya menahan diri dari makan. Bila tiba masa untuk makan, desakan sudah sampai pada tahap yang tinggi,” katanya.

Jelasnya keadaan ini wujud akibat individu tidak dapat memberi maklum balas kepada rangsangan (lapar) yang berlaku pada siang hari iaitu sewaktu berpuasa. Oleh itu individu menyimpan keinginan untuk makan lebih dari biasa kerana sudah beberapa jam berlapar.

Ada dua jenis pelahap pertama individu yang makan secara berlebihan dan selagi termampu, keduanya individu yang bukan saja makan berlebihan tetapi terdorong dengan makanan yang tidak biasa di makan pada hari-hari biasa. Mengikut logik, orang dewasa seharusnya lebih bijak dan rasional berbanding kanak-kanak dalam menahan diri dari makan berlebihan. Namun, malangnya, perlakuan gelojoh atau pelahap makan lebih cenderung berlaku di kalangan orang dewasa.

“Bulan Ramadan mengajar umat Islam untuk merasai sendiri susahnya kehidupan orang miskin dengan mengurangkan makan minum dan memperbanyakkan amal ibadat, sebaliknya niat suci dan penuh berkat ini bertukar menjadi sesuatu yang memudaratkan,” katanya.

Dr Mariani berkata, peranan peniaga makanan bazar Ramadan menggunakan psikologi untuk tarik minat pembeli dengan menghidangkan bukan saja juadah enak dan pelbagai tetapi juga berwarna warni juga banyak memberikan kesan terhadap tabiat pemakanan.

Untuk mengawal nafsu makan, kita perlu tahu keperluan makanan mengikut keperluan tubuh, bertanya diri mengapa kita perlu mengambil makanan tertentu dan adakah makanan yang diambil itu memudaratkan.

Bagaimanapun, hanya dengan keupayaan mengawal diri, selain melihat apa sebenarnya matlamat menjalani ibadat berpuasa, individu akan lebih terkawal dan mengecap nikmat sebenar rukun islam ketiga itu.

Sementara itu, Penasihat Pemakanan Hospital Pakar KPJ Selangor, Norhafizah Zainal Arifin, berkata nafsu makan sebenarnya hanya boleh dikawal seseorang individu itu sendiri.

“Bagi mengelak daripada membeli juadah berbuka secara berlebihan, senaraikan terlebih dulu makanan yang perlu dibeli.

“Jangan terlampau menurut hawa nafsu kerana ia boleh mendatangkan kesan tidak baik terhadap kesihatan.

“Ketika berbuka, amalkan memakan buah kurma dan minum segelas air kosong dulu. Dengan cara ini, kita dapat elak daripada makan berlebihan kerana perut sudah diisi air dan buah,” katanya.

Norhafizah menambah, banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada berpuasa. Antaranya, menurunkan berat badan yang berlebihan, mengawal aras glukosa dan lipid dalam badan serta mengawal tekanan darah. Beliau turut berkongsi tip pengambilan makanan untuk sahur dan berbuka sepanjang Ramadan.

Tip sahur dan berbuka

  • Pengambilan makanan yang mengandungi karbohidrat perlulah cukup bagi membekalkan tenaga hingga waktu berbuka puasa.

  • Makanan daripada kumpulan ikan, daging dan telur pula perlu diambil secara sederhana.

  • Sayuran juga perlu diambil untuk memastikan tubuh mendapat vitamin dan mineral secukupnya untuk keperluan.

  • Banyakkan minum air kosong bagi mengelakkan tubuh mengalami dehidrasi.

  • Untuk sahur dan berbuka, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu seperti mentega dan santan kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol dalam darah.

  • Kurangkan penggunaan minyak ketika menggoreng dan menumis. Makanan yang tinggi kandungan garamnya juga harus dikurangkan untuk mengelak penyakit serta mudah rasa dahaga ketika berpuasa.

  • Elak pengambilan minuman manis dan berkafein
  • Oleh Hazirah Che Sab, Suzan Ahmad dan Diyanah Anuar

  • No comments:

    Post a Comment

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...