terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 8, 2010

Siri Bijak Urus Wang Anda: Melindungi aset terpenting anda dengan insurans


DALAM artikel yang lalu, kita berbincang mengenai penyediaan belanjawan dan menerangkan beberapa langkah untuk membuat belanjawan peribadi. Kita juga membincangkan soal kepentingan kebolehan dalam membezakan 'keperluan' daripada 'kemahuan' serta menyaksikan bagaimana Alisa tergoda untuk menukar keretanya.

Tetapi sebagai seorang perempuan yang teguh hatinya, dia dapat menahan godaan itu, sekurang-kurangnya ketika ini!

Dalam artikel ini kita akan menerokai bahagian pembangunan keselamatan kewangan anda yang seterusnya – insurans.

PELUANG menikmati makan malam bersama ibu bapa jarang diperoleh Alisa, terutamanya pada malam minggu. Alisa dibanjiri dengan kerja baru-baru ini dan jarang mendapat peluang untuk pulang awal ke rumah.

Ibunya selalu risau mengenai pemakanannya dan apabila Alisa pulang ke rumah untuk makan malam, dia akan menyediakan hidangan kesukaan anak perempuannya iaitu ayam masak merah.

Ayahnya pula lebih bimbang mengenai keadaan kewangan Alisa dan sentiasa memberi nasihat kepadanya semasa makan malam. Kali ini, dia bertanyakan sama ada Alisa sudah melindungi dirinya dengan rancangan insurans yang sesuai.
Mengapa saya perlukan insurans?

ALISA tahu apa yang akan menyusul… satu lagi ‘ceramah makan malam’! Bapanya memberitahu bahawa selepas menyediakan belanjawan, sudah tiba masa untuk Alias mula mendapatkan perlindungan insurans yang perlu.

Ini kerana secara umumnya, lebih murah jika Alisa mendapatkannya ketika dia masih muda dan sihat. Insurans cuma instrumen kewangan untuk melindungi anda daripada akibat kegawatan kewangan yang disebabkan peristiwa yang tidak diingini seperti kematian, kekurangan upaya atau penyakit yang serius.

Insurans akan membantu menyediakan sedikit bantuan kewangan bagi keluarga anda, terutama jika anda adalah pencari nafkah utama.

Bagaimanapun, Alisa menganggap dia bukanlah pencari nafkah utama bagi keluarga dan dia tertanya-tanya adakah ia perlu bagi dirinya buat masa ini. Betul juga katanya itu, tetapi bapanya menanyakan jika Alisa mengalami penyakit yang serius atau kekurangan upaya, adakah keluarganya akan terjejas secara kewangan?

Alisa mengangguk kepala tanda bersetuju tetapi mengatakan bahawa ada terlalu banyak jenis insurans dan ini membuatkannya sedikit keliru.

“Oleh itu, apakah rancangan yang terbaik bagi saya?” tanya Alisa.

Apakah yang terbaik bagi saya?

SEBENARNYA, tiada rancangan yang terbaik. Rancangan yang terbaik ialah rancangan yang memenuhi semua keperluan anda selain menepati belanjawan anda.

Jenis-jenis utama produk insurans nyawa dalam pasaran meliputi sepanjang hayat, bertempoh, endowmen, berkaitan pelaburan, perubatan dan kesihatan serta yang terakhir, insurans bertempoh gadai janji berkurangan (Mortgage Reducing Term Assurance atau MRTA).

Oleh kerana Alisa masih bujang dan tidak mempunyai sebarang tanggungan, dia tidak betul-betul memerlukan apa-apa perlindungan bagi kematiannya. Melainkan Alisa mahu meninggalkan sesuatu bagi ibu bapanya.

Selain itu, ketika ini, Alisa tidak mempunyai liabiliti yang perlu diselesaikan jika terjadi sesuatu yang tidak diingini kepadanya. Tetapi, tunggu dulu…apakah anda ingat bahawa dia mempunyai pinjaman pelajaran PTPTN yang dia masih lagi sedang bayar?

Adakah perkara itu perlu diselesaikan selepas kematiannya? Ya, tetapi sudah ada satu insurans yang terangkum bagi pembayaran balik pinjaman berkenaan dan pinjaman itu akan diselesaikan jika apa-apa terjadi kepadanya. Oleh itu, adakah Alisa masih memerlukan apa-apa insurans?

Jenis insurans yang paling sesuai Alisa dapatkan pada masa ini mungkin ialah rancangan insurans perubatan dan kesihatan. Sesiapa saja boleh diserang penyakit pada bila-bila masa dan kos rawatan boleh memakan belanja besar, terutamanya yang membabitkan penjagaan kesihatan swasta.

Alisa mungkin dilindungi majikannya pada masa ini, tetapi dengan rancangan insurans anda sendiri sebagai tambahan kepada rancangan majikan anda, atau sebagai rancangan sokongan sentiasa digalakkan.

Oleh itu, dalam kes Alisa, apa yang sesuai dan perlu ialah rancangan kemasukan hospital dan pembedahan yang baik digandingkan dengan perlindungan penyakit kritikal beramaun yang berpatutan (lazimnya sekurang-kurangnya antara tiga hingga lima tahun gaji seseorang).

Tetapi adakah perlu untuk mempunyai perlindungan penyakit kritikal jika anda sudah mempunyai rancangan kemasukan hospital dan pembedahan? Tidakkah ada pertindihan? Sebenarnya, mereka saling melengkapi satu sama lain – satu daripadanya melindungi anda semasa anda di dalam hospital manakala satu lagi memberikan anda tunai sekali gus untuk anda menyelesaikan perbelanjaan selepas keluar dari hospital.

Ini juga akan membantu menggantikan amaun kehilangan gaji yang mungkin akibat penyakit yang serius atau kekurangan upaya.

Apa yang perlu diawasi?

ALISA akhirnya menghabiskan sajian ayam masak merah ibunya dan menanyakan bapanya jika ada apa-apa lagi yang perlu diawasi. Bapanya menekankan perkara yang perlu dia ketahui seperti berikut:

  • Jenis rancangan yang boleh didapati serta ciri-ciri serta manfaat yang berkaitan dengannya
  • Apa yang dilindungi dan apa yang tidak
  • Premium yang mesti anda bayar dan tempoh komitmennya
  • Cara membuat tuntutan

    Kata-kata Hikmah

    APAKAH aset terpenting anda? Tidakkah anda fikir perlu untuk melindungi aset terpenting kita daripada apa-apa kejadian yang tidak dijangka?

    Aset terpenting kita tidak lain dan tidak bukan ialah diri kita sendiri! Adakah anda dilindungi pada ketika ini dan tahukah anda perkara-perkara yang dilindungi?

    Kebanyakan orang mungkin mengatakan mereka sudah mempunyai insurans (mungkin terlalu banyak!) tetapi selepas analisis lanjut, kebanyakan orang tidak dilindungi secukupnya. Untuk memberi perlindungan kepada keluarga kita, kita mestilah melindungi pencari nafkah utama terlebih dulu!

    Nasihat Ayah:
    1. Melabur dalam pelan insurans semasa anda masih muda dan sihat.

    2. Insurans secara amnya dibeli untuk perlindungan terhadap peristiwa yang tidak diingini supaya anda serta waris anda tidak mengalami kegawatan kewangan.

    3. Asas membina kekayaan yang utama adalah untuk melindungi pembina kekayaan itu.

  • 2 comments:

    1. thanks for info..
      salam ziarah...

      ReplyDelete
    2. PELAN INSURANCE ADALAH PELAN SIMPANAN TERBAIK.. AMBIL MASA UNTUK FAHAMI APE KEPENTINGAN INSURANC KEPADA DIRI DAN KELUARGA..

      ReplyDelete

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...