terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 25, 2010

Tolong jgn REMBAT !!Kenapa mangsa kemalangan sering dirompak brg berharga mereka..ikhlaslah bila nak menolong!!!


PADA petang Sabtu, 21 Ogos lalu, satu kemalangan berlaku di satu simpang empat berhampiran rumah saya di Batu Pahat.

Kemalangan berlaku antara sebuah MPV Avanza dengan sebuah motosikal.

Ketika saya dan suami keluar untuk melihat kemalangan itu, orang ramai telah mengerumuni mangsa iaitu seorang lelaki bersama anak perempuannya.

Lelaki dan anak perempuannya tidak sedarkan diri walaupun masih kelihatan bernafas, anak perempuan mangsa mengalami luka di bahagian kepala.

Oleh kerana ambulans tidak sampai-sampai, saya cadangkan suami agar menghantar mangsa ke hospital. Sebelum itu saya telah bertanya kepada salah seorang yang membantu mangsa di mana barang-barang berharga mangsa seperti beg atau dompet, tapi dengan selamba lelaki itu memberitahu saya bahawa barang-barang itu telah diambil oleh abang mangsa, sambil menunjukkan kepada saya seorang lelaki yang berkemeja-T putih menaiki motosikal.

Ketika itu tidak terbayang saya akan kemungkinan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kerana pada tanggapan saya semua orang yang berada di tempat kejadian itu benar-benar ikhlas hendak membantu apa lagi di bulan Ramadan ini.

Namun kenyataannya ialah ketika sampai di hospital lelaki yang menjadi mangsa kemalangan itu mula sedarkan diri dan bertanya kepada suami saya di mana dompet duitnya.

Nasib menyebelahi lelaki itu kerana telefon bimbitnya masih ada di saku seluarnya dan baru hendak menghubungi keluarganya. Apa yang masih menjadi tanda tanya ialah ke mana hilangnya dompet dan beg tangan anak perempuan mangsa itu?

Namun saya masih berharap, 'abang' mangsa seperti yang diberitahu kepada saya semasa berada di tempat kejadian akan muncul di Hospital Daerah Batu Pahat, jika benar lelaki itu benar-benar abang mangsa. Suami hanya menghantar mangsa dan pulang ke rumah selepas itu.

Semalam, saya bercadang menziarahi mangsa kemalangan itu di hospital, namun apa yang menyedihkan ialah mangsa telah meninggal dunia pada pukul 5.30 petang semalam kerana kecederaan dalaman sementara anak perempuannya masih berada di hospital kerana patah paha.

Suami menziarahi anak mangsa dan menurutnya, rantai leher yang dipakainya juga hilang, selain daripada dompet duit Allahyarham ayahnya dan beg tangan kepunyaannya.

Apa yang ingin saya kongsikan ialah mengapa ada manusia yang sanggup melakukan perkara seperti itu, memberi bantuan tetapi dalam masa yang sama menggunakan kesempatan dengan 'merompak' orang-orang yang tidak berdaya seperti mangsa kemalangan tersebut.

Saya merayu sangat-sangat kepada yang telah melakukan 'rompakan' tersebut, sedarlah di bulan Ramadan ini orang lain berebut-rebut untuk memperbanyakkan amal jariah dan pahala tetapi anda pula sebaliknya.

Sesungguhnya Allah melihat apa-apa yang kamu kerjakan dan ingatlah walau sebesar zarah pun perbuatan baik yang kita lakukan akan Allah balas apa lagi jika kita melakukan dosa sebesar itu.

AISAH

Batu Pahat

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...