terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 16, 2010

Urus Wang Anda: Bayar Tunai atau hutang (kredit kad)?


DALAM artikel yang lalu, kita berbincang mengenai isu melindungi aset kita yang paling berharga – diri kita melalui insurans. Kita juga menerangkan mengapa seorang seperti Alisa memerlukan insurans dan apa yang terbaik buat dirinya. Kita juga menekankan beberapa daripada perkara yang perlu kita beri perhatian semasa membeli polisi insurans.

Minggu ini, Alisa berdepan satu lagi keputusan kewangan penting yang beliau perlu lakukan. Alisa perlu memutuskan sama ada dia mahu memohon kad kredit, debit atau caj yang ditawarkan oleh banyak bank akhir-akhir ini. Ataupun, Alisa boleh terus menggunakan wang tunai untuk beliannya

Ketika menonton televisyen pada suatu petang, Alisa terlihat suatu iklan kad kredit. Ini mengingatkannya mengenai beberapa tawaran yang diterimanya melalui pos, malah juga di kompleks membeli-belah!

Nampaknya agak mudah untuk layak menerima kad kredit pada masa sekarang. Alisa mengambil peluang untuk mendapatkan nasihat daripada perunding kewangan peribadinya - ayahnya, siapa lagi!

Alisa ingin tahu perbezaan antara semua jenis kad plastik yang ada di pasaran. Ramai kawan-kawan dan rakan sekerjanya memiliki kad kredit (malah lebih daripada satu) dan tertanya-tanya jika beliau patut memiliki sekeping kad bagi dirinya.

Jika ya, Alisa ingin tahu apakah kad yang paling sesuai dan ayahnya sudah mengambil kesempatan untuk memberi pandangannya mengenai perkara berkenaan.
Apakah kad yang ditawarkan?

AYAHNYA menerangkan ada tiga jenis kad umum di pasaran. Pertama, adalah kad kredit yang membenarkan anda membeli barangan dan membayar untuk perkhidmatan secara elektronik tanpa menggunakan wang tunai.

Apabila anda menggunakan kad kredit, penyedia khidmat kad kredit akan membayar pedagang bagi pihak anda dan kemudian akan menghantar bil melalui bank yang mengeluarkan kad terbabit. Kad kredit boleh menjadi suatu instrumen bayaran yang berguna sekiranya anda tahu menggunakannya dengan betul dan bijak.

Kad Caj adalah sama seperti kad kredit. Sementara kad kredit membolehkan anda membuat bayaran minimum apabila anda menerima penyata bulanan anda, kad caj itu pula tidak begitu. Dengan kad caj, anda perlu membayar jumlah tertunggak dengan sepenuhnya setiap bulan, dan jika anda gagal berbuat demikian, caj bayaran lambat akan dikenakan.

Sebaliknya, kad debit adalah sama seperti kad ATM kecuali anda tidak perlu mengeluarkan wang tunai daripada mesin ATM anda. Anda boleh menggunakan kad debit di tempat-tempat di mana anda boleh membayar untuk produk dan perkhidmatan. Jumlah yang dibelanjakan akan ditolak serta-merta daripada akaun bank anda. Sama seperti kad kredit, kad debit mudah digunakan kerana anda tidak perlu membawa wang tunai bersama anda.

Apakah pilihan terbaik bagi saya?

SELEPAS diberi penerangan ringkas mengenai pelbagai jenis kad dan ciri-cirinya yang berbeza, Alisa ingin tahu apakah pilihan yang terbaik buat dirinya.

Daripada pemahamannya, Alisa lebih suka kad kredit kerana ia membenarkannya membeli barangan dan hanya membayar untuknya kemudian. Lagipun, Alisa tidak perlu menjelaskan jumlah sepenuhnya. Dengan segera ayahnya menegurnya! Ayahnya memberinya amaran bahawa jika Alisa tidak sanggup atau tidak mampu membayar jumlah sepenuhnya pada setiap bulan, lebih baik dia mendapat dad debit.

Walaupun kad kredit membenarkan anda membeli atas ‘kredit’, amalan membayar jumlah minimum dan membenarkan bakinya di bawa ke depan pada bulan-bulan berikutnya tidaklah digalakkan. Ini akan membawa kepada caj kewangan hampir 20 peratus setahun!

Bagaimanapun, apabila kad kredit digunakan dengan penuh tanggungjawab dan bijak, ia adalah pilihan kad yang lebih baik bagi mereka yang membayar jumlah bulannya sepenuhnya dan tepat pada masanya.

Ayah Alisa menyatakan bahawa beliau lebih suka kad kredit berbanding kad caj dan kad debit kerana ia membenarkannya lebih memanfaatkan wang tunainya dan pada waktu yang sama membolehkannya mengumpulkan mata ganjaran.

Ayah Alisa juga mencatatkan tarikh pembayaran kad kredit dan akan mengatur penggunaannya dengan cara yang membolehkan beliau menikmati tempoh tanpa-faedah yang maksimum, terutamanya untuk pembelian yang besar.

Barulah beliau akan membuat bayaran sepenuhnya, sebelum tarikh pembayaran. Maklum sajalah, bukankah beliau seorang akauntan!

Bagi Alisa pula, beliau menasihatinya mendapatkan kad debit terlebih dulu untuk memantau pola perbelanjaannya. Apabila Alisa sudah membiasakan diri membayar untuk semua pembeliannya sepenuhnya setiap bulan (kerana Alisa tiada pilihan lain), bolehlah Alisa bertukar kepada kad kredit.

Ayah Alisa fikir ini adalah pilihan yang lebih baik kerana pada masa sekarang membawa wang yang banyak tidaklah selamat.

Kata-kata hikmah

TAHUKAH anda tempoh masa yang akan diambil untuk selesai membayar baki kad kredit berjumlah RM10,000 dengan cuma membayar bayaran minimumnya setiap bulan?

Tujuh tahun dan tiga bulan dan itu pun jika anda tidak menambahkan belian kepada kad terbabit! Jika anda kini mempunyai baki guling depan yang belum dijelaskan pada kad anda, anda mungkin mahu mengambil tindakan yang betul sebaik saja anda habis membaca ini, dengan mengeluarkan dompet anda dan memotong semua kad kredit anda!

Tidak masuk akal untuk mengeluh mengenai kadar faedah rendah yang anda peroleh daripada tabungan dan pelaburan anda, tetapi pada masa yang sama, anda tengah membayar caj kewangan yang tinggi atas hutang kad kredit anda… Bukankah begitu?

Nasihat ayah:

1. Bayar jumlah sepenuhnya setiap bulan untuk mengelak caj kewangan yang tinggi. Jika anda betul-betul tidak mampu membayarnya, bayar jumlah yang lebih daripada jumlah minimum 5 peratus yang perlu dibayar dan jangan tambahkan baki kad berkenaan.

2. Jangan lerek kad anda jika anda tidak mempunyai wang yang mencukupi pada waktu pembelian;

3. Jangan gunakan kad kredit anda untuk mendapat wang pendahuluan daripada ATM. Ini kerana ia cuma meningkatkan lagi caj kewangan serta-merta. Ia bukannya kad ATM!

4. Bayar tepat pada masanya untuk mengelak caj bayaran lewat dan kadar penalti (tetapi anda tidak perlu membayarnya terlalu awal pula)

5. Kerap menyemak penyata bulanan anda untuk memastikan transaksi yang betul dicatatkan dan berhati-hati untuk apa-apa transaksi luar biasa


1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...