terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 2, 2010

Urus Wang Anda: Rancang belanjawan atau tidak?


DALAM artikel terakhir kami, kita sudah membaca mengenai Alisa yang memulakan pekerjaan pertamanya sebagai wartawan penyiaran dan betapa ghairahnya dia terhadap pekerjaannya.

Kita juga sudah membaca bagaimana dia merancang membelanjakan gaji pertamanya secara berhemah – untuk membalas budi ibu bapanya, membayar balik pinjamannya, membiayai dirinya dulu dan akhir sekali tetapi tidak kurang pentingnya, membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Alisa juga tidak lupa nasihat ayahnya, untuk segera menyediakan belanjawan apabila dia mula bekerja. Minggu ini, kita akan berbincang tentang cara dia menentukan prioriti bagi keperluan serta kemahuannya dan bagaimana perkara-perkara ini diambil kira dalam belanjawannya.

ALISA mendapati agak mencabar untuk menyediakan belanjawan kewangan peribadi! Dia asyik menangguhkannya dan selalu mencari alasan untuk tidak menyediakannya.

Rakan-rakannya pula tidak menggalakkannya untuk membuatnya kerana mereka rasa ia bukannya suatu kemestian.

Bagaimana Memulakannya?

Pertama sekali, anda mesti sedar pentingnya mempunyai belanjawan. Ramai orang fikir ia sesuatu yang tidak penting dan menganggapnya sebagai penghalang untuk berbelanja.
Sebaliknya, belanjawan sebenarnya adalah suatu pelan yang membenarkan anda berbelanja tanpa berasa serba salah mengenainya. Ia sebenarnya memberi anda kebebasan!

Sama pentingnya, anda mesti mempunyai keazaman untuk memulakannya. Langkah pertama selalunya sukar tetapi sebaik saja anda sudah mengambilnya, ia semakin mudah. Bagi Alisa, dia tiada pilihan tetapi untuk membuatnya. Jika tidak, ayahnya akan selalu menegurnya mengenai perkara itu.

Ayahnya tahu sungguh bahawa jika Alisa tidak menyediakan belanjawannya dalam tiga bulan pertama, kemungkinan besar dia tidak akan menyediakannya sehinggalah dia bersara! Oleh itu, sememangnya wajar untuk membuatnya secepat mungkin.

Langkah pertama adalah untuk mengakui berapa banyak yang anda peroleh sekarang. Kebanyakan remaja seolah-olah berfokus pada jumlah perolehan mereka dan membuat belanjawan mengikutnya, iaitu mereka lebih cenderung membelanjakan pendapatan masa depan mereka untuk membiayai gaya hidup semasa mereka.

Itulah kesilapan yang lazim dibuat oleh ramai orang dan ini boleh membawa masalah di masa kelak.

Ayah Alisa menasihatinya supaya mencatatkan semua perbelanjaannya bagi 30 hari yang berikutnya dengan menulisnya di dalam perancang (ataupun anda boleh menggunakan spreadsheet Excel, sekiranya anda celik komputer).

Selain itu, dia diminta untuk menyimpan semua resitnya dan catat di sebaliknya tujuan pembelian dibuat. Selepas tempoh 30 hari, dia perlu mengkajinya semula dan mengasingkan keperluan daripada keinginan. Dengan berbuat demikian, dia akan mendapat tahu tabiat perbelanjaannya yang sebenarnya, dan ini akan membantunya menyediakan belanjawan yang lebih realistik.

Godaan Pertamanya

Sama seperti orang lain yang baru mula bekerja, Alisa juga berkeinginan untuk memiliki kereta baru. Buat masa ini, dia memandu kereta Kelisa ibunya yang lama untuk berulang-alik ke bandar.

Kereta ibunya tidak menggunakan minyak yang banyak dan kos penyelenggaraannya tidak seberapa. Namun satu-satu kekurangannya adalah kereta berkenaan sudah kehilangan kilatnya dan ada kalanya memberi masalah.

Ayahnya pernah berkata, bahawa kereta itu suatu liabiliti dan apa yang penting ialah ia boleh membawa anda dari poin A ke poin B dengan selamat. Walau bagaimanapun, ramai daripada rakan lainnya memandu model kereta yang terbaru dan mereka kelihatan amat bergaya memandunya.

Selepas memikirkannya buat seketika, dia mengambil keputusan untuk menangguhkan hasratnya untuk membeli kereta baru. Lagipun, dia tidak betul-betul memerlukan kereta baru sekarang, tambahan lagi dia sudah pun mempunyai kereta ibunya untuk ke sana-sini berbanding orang yang tak mempunyai kereta.

Alisa lebih rela menggunakan tabungannya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik berbanding berbelanja besar untuk membeli kereta baru. Agaknya inilah apa yang disebutkan oleh ayahnya sebagai Keputusan Tertangguh!

Kata-kata Hikmah

Fikirlah sejenak apabila anda teringin membeli sesuatu yang anda MAHU tetapi sebenarnya tidak PERLU. Adakah anda menurut nafsu diri anda untuk membeli ataupun anda bertekad untuk tidak membelinya?

Ini kadang-kala bukannya mudah tetapi satu cara untuk mengatasinya ialah dengan membuat ujian tidur (sleep test). Bila-bila masa anda MAHU membeli sesuatu, jangan membelinya serta-merta tetapi balik ke rumah dulu dan fikir mengenainya.

Jika anda masih ada kemahuan untuk membeli barangan itu pada keesokan paginya, fikir mengenainya lebih lama lagi! Lama-kelamaan anda mungkin akan hilang minat dan tidak mahu membelinya...

Nasihat Ayah:

1. Mulakan Belanjawan anda dalam tempoh tiga bulan pertama anda bekerja

2. Dapat membezakan antara KEPERLUAN dan KEMAHUAN

3. Jangan terburu-buru membeli sesuatu; Amalkan sikap Keputusan Tertangguh

4. Catatkan semua perbelanjaan harian anda dan kaji semula perbelanjaan setiap minggu

5. Kurangkan belanja mingguan sekiranya boleh dan salurkannya ke dalam tabungan kecemasan

6. Ingat, buat belanjawan untuk MEMBIAYAI DIRI ANDA TERLEBIH DULU dengan cek gaji anda sebelum membuat apa-apa bayaran lain.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...