terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 2, 2010

Urus Wang Anda: Simpan dulu, belanja kemudian


SEBELUM ini, kami menyiarkan siri artikel mengenai seorang pemuda bernama Adam serta isterinya yang jelita, Aida.

Kita sama-sama mengharungi perjalanan hidup mereka dan melihat bagaimana mereka berlandaskan kehidupan keluarga serta kerjaya mereka pada prinsip pengurusan kewangan yang kukuh.

Jika anda masih ingat, mereka mempunyai seorang anak bernama Alisa yang kini sudah dewasa.

Sekiranya anda tidak sempat membaca siri artikel yang lalu, anda boleh mendapatkannya di laman web kami (www.akpk.org.my).

Dalam siri artikel ini, kita akan mengharungi perjalanan hidup Alisa dan melihat bagaimana Alisa mengamalkan prinsip yang dipupuk oleh kedua-dua ibu-bapanya di zaman kanak-kanaknya.

Seperti mana yang ditekankan sebelum ini, salah satu daripada pengukur untuk mengetahui sama ada ibu bapa telah mendidik anak dengan berjaya ialah dengan ‘mendidik anak untuk melakukan amalan baik dan apabila dia dewasa, dia tidak meninggalkan amalan itu’.
Pengenalan

Alisa kini seorang gadis yang baru saja menamatkan pengajiannya dengan memperoleh ijazah dalam bidang Komunikasi Massa.

Berbeza daripada ayahnya, Alisa tidak bekerja secara sambilan pada cuti semester. Sebaliknya, Alisa membuat kerja sosial secara sukarela dengan memberi tuisyen kepada kanak-kanak orang asli, melawat rumah warga tua dan anak yatim dan terbabit dalam beberapa kempen pengumpulan dana untuk membantu golongan miskin.

Alisa betul-betul prihatin mengenai orang yang kurang bernasib baik dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan apabila keadaan memerlukannya.

Sebagai mahasiswi, Alisa mungkin tidak mampu memberi sumbangan dalam bentuk derma tetapi dia sedia meluangkan masa lapangnya untuk berkongsi dan melakukan kerja amal yang baik.

Hari Pertama Bekerja

Selepas memperoleh ijazah, Alisa tidak terburu-buru mencari kerja seperti orang lain. Malah Alisa meneruskan kerja amalnya secara sukarela di beberapa rumah kebajikan. Sepanjang tiga bulan itu, Alisa mendapat pengalaman berharga dan tanpa disedarinya, ia seolah-olah suatu 'orientasi' sebelum menceburi dunia kerja yang sebenarnya.

Pada suatu hari, Alisa menerima panggilan untuk hadir untuk temu duga di sebuah stesen televisyen untuk jawatan wartawan penyiaran. Mereka kagum dengan pengalaman serta keghairahannya membantu di rumah kebajikan serta pencapaian akademiknya yang cemerlang, dan terus mengesahkan jawatannya.

Tugasan pertamanya adalah untuk menjalankan penyelidikan di pelbagai rumah kebajikan di Malaysia dan ini bagaikan impian yang lama diidam-idamkan. Alisa segera setuju (tanpa bertanya gajinya terlebih dulu) dan terus memulakan tugasnya. Pada hakikatnya, hari pertama kerjanya telah bermula jauh sebelum Alisa menerima tawaran berkenaan.

Cek Gaji Pertamanya

Dalam sekelip mata, sebulan telah berlalu. Alisa hanya menyedarinya apabila melihat penyata gaji di atas mejanya.

Alisa terfikir apa yang harus dia buat dengan wang cek gaji pertamanya dan teringat pesan ayahnya. “Wang umpama baja; anda perlu mengagihkannya untuk pulangan yang lebih lumayan.” Jadi Alisa mengambil keputusan untuk membelanjakan kesemuanya… tetapi bukan atas dirinya!

Pertama sekali, Alisa ingin tunjukkan penghargaannya kepada kedua-dua ibu bapanya dan bercadang menjemput mereka keluar makan malam di sebuah restoran mewah. Dia juga ingin membelikan mereka hadiah istimewa. Lagipun, ibu bapanya telah banyak berjasa dan berkorban pada dirinya.

Seterusnya, Alisa segera mula membayar balik pinjaman pengajian PTPTN melalui Arahan Tetap (SI) kepada bank yang telah diambilnya untuk membiayai pengajiannya. Alisa masih teringat kata-kata ayahnya - “Jangan sekali-kali meminjam, tetapi sekiranya tiada pilihan lain, anda mempunyai tanggungjawab untuk membayar balik jumlah sepenuhnya dan dengan secepat mungkin.” Alisa mengetepikan kira-kira RM120 setiap bulan bagi tujuan ini dan mampu menjelaskan pinjamannya sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Kemudian Alisa teringat pula nasihat ayahnya: “Tabunglah Dahulu, Belanja di Hari Kelak!” Alias mengambil keputusan untuk melabur dalam skim Amanah Saham dengan memberikan arahan tetap kepada banknya untuk memotong 10 peratus daripada gajinya.

Akhir sekali, Alisa tidak lupa mengenai rumah kebajikan di mana dia bekerja secara sukarela. Alisa membelanjakan baki wang yang ada untuk membeli beberapa permainan, makanan dan pakaian bagi anak yatim piatu serta warga tua.

Wajah mereka tersenyum berseri-seri dan bagi Alisa, ini tak ternilai! Ketika itu, Alisa sedar akan hikmah di sebalik nasihat ayahnya...

Kata-Kata Hikmah

Masih anda ingat bagaimana anda membelanjakan gaji pertama anda? Kebanyakan orang menghabiskan gaji mereka atas diri masing-masing sebagai suatu ganjaran kerana mampu bertahan dalam bulan pertama! Bukan salah bagi kita memberi ganjaran kepada diri masing-masing tetapi ada kalanya cara kita membelanjakan gaji pertama kita boleh dijadikan tabiat bagi cara kita akan membelanjakan gaji kita yang seterusnya.

Langkah terbaik adalah dengan mengikut nasihat ayah Alisa. Sekiranya anda menghabiskan kesemua gaji anda atas diri sendiri - anda masih akan menerima cek pada bulan berikutnya dan masih boleh menentukan cara anda mahu membelanjakannya (ataupun menabung), bukankah begitu?

Nasihat Ayah:

1. Wang umpama baja; anda perlu mengagihkannya untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan.

2. Jangan sekali-kali meminjam, tetapi sekiranya tiada pilihan lain, anda mempunyai tanggungjawab untuk membayar balik jumlah sepenuhnya dan dengan cepat mungkin.

3. Menabung dulu, belanja di kemudian hari!

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...