terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 30, 2010

lihatlah gambar ini, betapa pemaafnya org Melayu... walaupun rumah ibadat di simbah cat dan dibaling botol arak!!!


PENGERUSI Jawatankuasa Surau Taman Pulai Impian, Mohd. Hasbi Ismail bersalaman dan menerima permintaan maaf tiga daripada empat remaja Cina yang menyimbah cat dan membaling botol arak ke arah surau berkenaan, di Sikamat, Seremban, semalam. - BERNAMA


SEREMBAN - Majlis berbuka puasa di surau Taman Pulai Impian, Sikamat dekat sini malam semalam berlangsung dalam suasana ceria dan mesra.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang kira-kira 200 orang masyarakat Melayu, Cina dan India untuk bersama-sama menikmati juadah yang dihidangkan, di bawah khemah yang disediakan, sebaik azan Maghrib berkumandang.

Majlis anjuran bersama MCA Negeri Sembilan, jawatankuasa surau dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman perumahan itu antara lain bertujuan untuk merapatkan hubungan antara kaum ekoran insiden empat remaja di kawasan itu menyimbah cat dan membaling botol arak pada surau itu Isnin lepas.

Majlis itu bertambah ceria dengan kehadiran empat remaja terbabit berusia 16 dan 18 tahun itu bersama ibu bapa mereka untuk bersama-sama di majlis itu.

Mereka ditahan untuk membantu siasatan polis Selasa lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi MCA Negeri Sembilan Senator Datuk Dr Yeow Chiam Thiam, Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Abdul Halim Hassan dan pengerusi jawatankuasa surau Mohd Hasbi Ismail.

Khamis lepas, MCA Negeri Sembilan mengambil inisiatif membawa ibu bapa kepada empat remaja terbabit iaitu Cheng Kok Foo, 38, Wong Seow Wai, 43, Loh Teck Ai, 53 dan Leong Foong Kuen, 53, ke surau itu untuk memohon maaf kepada jawatankuasa surau dan masyarakat Islam akibat perbuatan anak mereka itu.

Petang semalam, tiga remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini terhadap pertuduhan berkaitan insiden tersebut.

Majistret M. Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 22 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Halim berkata majlis ini menunjukkan keunikan masyarakat Malaysia yang datang dari latar belakang yang berbeza tetapi dapat duduk bersama-sama dan meraikan antara satu sama lain.

Katanya dengan kepelbagaian kaum dan pegangan agama yang berbeza kadang- kadang berlaku salah faham dan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

"Namun, apa yang penting ialah bagaimana kita menangani perbezaan yang ada.

Kalau ada pertelingkahan, bagaimana kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut.

Justeru itu, saya merakamkan penghargaan kepada pemimpin tempatan dan pihak yang terlibat yang telah berjaya menangani insiden seperti yang semua maklum yang berlaku di kawasan ini.

"Inilah persefahaman dan pemuafakatan yang telah kita jalin sekian lama sejak usaha untuk mencapai kemerdekaan lagi. Kita telah menyelesaikan banyak perkara melalui perundingan, bersemuka, berbincang dan menyelesaikan secara baik. Kerana itu kita perlu terus mengekalkan formula yang telah berjaya mewujudkan keamanan selama ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di negara ini supaya jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kemarahan rakan-rakan daripada kaum yang lain.

"Jauhi dari perbuatan yang menyentuh sesitiviti kaum dan agama. Pelihara kesucian tempat-tempat ibadat dan jangan cemari tempat-tempat ibadat dengan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan. Hormatilah budaya dan agama masyarakat pelbagai kaum yang ada di negara ini.

"Bagi mencapai matlamat tersebut sikap toleransi, faham memahami dan hormat menghormati perlu menjadi amalan setiap masyarakat yang ada. Usaha-usaha bagi menyatupadukan masyarakat merupakan satu proses yang berterusan. Dari semasa ke semasa proses tersebut berhadapan dengan pelbagai cabaran selari dengan perubahan yang sentiasa berlaku.

"Antara cabaran yang dihadapi masakini ialah kehadiran generasi baru yang tidak lagi memahami semangat pemuafakatan yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dalam usaha untuk kita mencapai kemerdekaan.

"Justeru itu, muncullah tuntutan yang tidak lagi mengambil kira perkara- perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan. Oleh itu, kita perlu berpegang kepada perlembagaan negara dan prinsip Rukun Negara yang menjadi teras bagi memastikan perpaduan masyarakat terus utuh," katanya.

Yeow yang ditemui pemberita berkata MCA dengan kerjasama badan bukan kerajaan di taman perumahan itu akan menganjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan bagi menyatupadukan lagi masyarakat di taman perumahan itu.

"Saya percaya tak kenal maka tak cinta, biarlah kita wujudkan satu landasan untuk kaum Melayu, Cina dan India kenal mengenali di antara satu sama lain. Di sini saya pasti dengan kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN), kita mesti boleh capai matlamat ini," katanya.

Mohd Hasbi pula berkata beliau amat gembira kerana majlis itu dapat dijalankan dengan lancar di mana satu toleransi telah ditunjukkan oleh pelbagai kaum yang tinggal di taman perumahan itu.

Katanya melalui majlis itu satu hubungan baru telah dibina bagi perpaduan kaum Melayu, Cina dan India terutama di taman perumahan itu. - BERNAMA

3 comments:

  1. Sekurang-kurangnya mereka telah mengambil ikhtiar supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk dengan mengadakan majlis berbuka puasa ini.

    Saya bersyukur.

    Tidak perlulah kita menyanjung mana-mana pihak seolah-olah mereka sahajalah yang berupaya untuk beralah kerana sedikit-sebanyak kita akan menyemarakkan semula isu perkauman/agama itu dengan demikian.

    Pokoknya niat kita tercapai supaya natijah dari peristiwa ini dapat dibendung. Semua pihak menyumbang kepada penjernihan peristiwa itu - itulah yang lebih penting.

    Kita mesti ingat dalam kes-kes pengkhianatan terhadap kuil Hindu dan gereja, tiada majlis seperti di Sikamat ini dilakukan sayugia untuk menjernihkan keadaan.

    Dalam bulan Ramadan ini kita seharusnya lebih prihatin dan seimbang semasa membuat sebarang komen supaya apa yang kita luahkan itu akan menjernih dan bukan memburukkan lagi keadaan.

    Kita terdiri dari umat yang dirahmati Allah dan dengan itu kita harus bertindak setimpal dengan darjat kita itu.

    Salam.

    mat royan

    ReplyDelete
  2. aduh..kenapa tajuk ini begini?

    seharusnya begini

    SALAH FAHAM TERUNGKAI
    CARIK CARIK BULU AYAM
    PERSAHABATAN TETAP UTUH

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...