terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 7, 2010

Wujudkan akuan bersumpah guru berpolitik


APABILA kerajaan memutuskan para guru siswazah layak berpolitik tentulah mereka telah membuat kajian yang betul agaknya. Namun begitu janganlah tergopoh-gapah kita membenarkan para guru mencebur diri dalam politik.

Saya tidak sedikit pun iri hati mendengarnya tetapi ingin memberi nasihat berdasarkan pengalaman saya mencebur diri dalam politik khasnya UMNO.

Saya cadangkan, para guru yang dibenarkan aktif dalam politik ini dihadkan aktiviti mereka. Mereka tidak digalakkan memegang jawatan sebagai pengerusi atau setiausaha JKKK, masjid, pegawai adat bagi majlis nikah kahwin dan ahli majlis perbandaran.

Jika di peringkat UMNO bahagian pula, mereka sekadar menjadi ahli jawatankuasa atau pemeriksa kira-kira sahaja kerana, jika mereka memegang jawatan yang penting dan aktif, kita semua jangan menyesal apabila ramai guru yang memegang jawatan penting ini akan meninggalkan sekolah mereka apabila ada mesyuarat/majlis penting yang menjemput mereka hadir.

Malah lebih merisaukan jika mereka dilantik menjadi ahli majlis perbandaran yang mana mereka perlu menghadiri banyak majlis dan mesyuarat kerana dibayar elaun bulanan hingga RM1,000 sebulan dan mendapat kemudahan lain.

Apabila mereka menjadi ahli jawatankuasa mana-mana UMNO bahagian pula, yang bernasib baik dilantik pula menjadi ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat kerajaan negeri dan menerima elaun khas lagi.

Jadi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran harus berhati-hati membenarkan para guru yang memohon berpolitik. Wujudkan satu akuan bersumpah supaya mereka boleh diambil tindakan tata-tertib jika melanggar akuan bersumpah itu.

Ini kerana jika hendak memberi sumbangan dan pandangan, mereka boleh menyalurkan pendapat melalui mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan jika terpilih menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO, carilah peluang untuk berhujah dengan bernas malah jika menghantar e-mail pada Perdana Menteri kita pun boleh juga.

AHLI SETIA UMNO

Klebang Besar, Melaka

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...